Jumaat, Julai 31, 2009

DATUK SHAHIR DALAM KENANGAN

Bekas Imam Besar Masjid Negara Datuk Ahmad Shahir Daud, sempat menyambung tugas arwah bapanya mengajar agama di surau di kampung kelahirannya di Kampung Selingsing di sini sebelum meninggal dunia akibat barah usus, petang semalam.
Menurut balunya, Datin Naimah Mohd Nawi, 60, itulah khidmat terakhir Allahyarham sebelum menghabiskan sisa-sisa hidupnya sebagai pendakwah selepas berkhidmat dengan kerajaan selama 24 tahun.Ahmad Shahrir, 73, pernah menjadi Pegawai Agama Istana Negara, berkhidmat sebagai Imam Besar Masjid Negara dari 1975 hingga 1980 dan dari 1984 hingga 1992. Allahyarham adalah juga bekas pegawai kanan Jabatan Kemajuan Islam Malasyia (Jakim)
."Arwah lebih suka bercakap (berceramah) daripada menulis, sebab itu bila berkhutbah di masjid dia tidak suka membaca teks, walaupun disediakan pihak berkenaan," katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Lorong Merican, Jalan Telipot, di sini Khamis.
Beliau berkata, Allahyarham merupakan pendakwah yang dedikasi, kerana walaupun dalam keadaan uzur beliau sanggup menyampaikan ceramahnya dan semasa hayatnya arwah sering diundang menyampaikan ceramah di Radio Televisyen Malaysia (RTM) cawangan Kota Baharu.
Menurut Naimah lagi, allahyarham uzur sejak beberapa tahun lalu selepas terjatuh ketika mengubah suai rumahnya.Ahmad Shahir meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini, kira-kira jam 5.30 semalam, selepas dimasukkan ke hospital kerana menghidap penyakit barah usus pada Selasa lepas.
"Itulah khidmat terakhir arwah sebagai mewarisi tugas arwah ayahnya, Tuan Guru Haji Daud Mohd Amin," kata Naimah. Jenazahnya dikebumikan di tanah perkuburan Islam Tok Kenali, Kubang Kerian, dekat sini jam 11 pagi tadi. Allahyarham meninggalkan tiga anak perempuan dan seorang lelaki serta tujuh cucu.

Khamis, Julai 30, 2009

PENGARAH CTOS DIDENDA RM12,600


Seorang pengarah syarikat pembekal maklumat kewangan yang pernah didakwa 85 pertuduhan dua tahun lepas, Rabu didenda RM12,600 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap 26 pertuduhan mengikut Akta Syarikat.


Chung Tze Wen, 51, yang merupakan pengarah bagi tiga syarikat iaitu Saham Ctos Sdn Bhd, Ctos EMR Sdn Bhd dan Ctos Data System Sdn Bhd, didenda RM3,600 atas 18 pertuduhan iaitu gagal menyerahkan laporan tahunan syarikat bagi tahun 2003, 2004 dan 2005 kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).


Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 143(1) Akta Syarikat 1965, yang memperuntukkan denda RM30,000 atau lima tahun penjara, jika sabit kesalahan.Tze Wen turut didenda RM3,000 selepas mengaku bersalah terhadap enam pertuduhan iaitu gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan untuk tiga syarikat itu bagi tahun 2006.


Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 165 (4) Akta Syarikat 1965, dan boleh dihukum di bawah Seksyen 165(7) Akta yang sama dan jika sabit kesalahan mereka boleh didenda sehingga RM2,000 bagi setiap pertuduhan.


Sementara itu, Tze Wen turut didenda RM6,000 bagi dua pertuduhan iaitu gagal membentangkan akaun untung dan rugi syarikat bagi tahun 2005, seperti mana mengikut Seksyen 169 (1) Akta Syarikat 1965, yang membawa hukuman penjara lima tahun atau denda RM30,000, jika disabitkan dengan kesalahan itu.


Peguam bela, Ashok Kandiah yang mewakili Tze Wen, merayu kepada mahkamah bahawa kesalahan itu bukan disengajakan tetapi hanya terlepas pandang berikutan ketika itu syarikat milik anak guamnya sedang berkembang dan menghadapi perubahan struktur organisasi.


Ashok berkata, sejak dari kejadian itu, anak guamnya akan menghantar semua laporan dan penyata tahunan kepada SSM yang dikemaskini secara rutin.


Dahulu ketika Datuk M. Kayveas menjadi timbalan menteri di jabatan perdana menteri beliau telah memperjuangkan masalah CTOS. Tetapi sampai sekarang pihak bank masih merujuk kepada CTOS. Oleh itu sudah sampai masanya bagi semua pihak tidak merujuk kepada CTOS yang banyak mendera orang Melayu.

Rabu, Julai 29, 2009

PERGI JAHANAMLAH PAS


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebagai seorang ulama, Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata kesat atau memaki hamun pihak lain.


Katanya, Menteri Besar Kelantan itu seharusnya memberi contoh terbaik kepada ummah dan bukannya memaki hamun dan mengeluarkan kenyataan yang kurang sopan kepada pihak lain.


"Nik Aziz juga tidak sepatutnya melabelkan mana-mana pihak yang tidak sehaluan dengannya sebagai menyimpang dari perjuangan Islam sebenar.


"Ini kerana, Nik Aziz sendiri bukan seorang pejuang Islam sebenar dan tidak bersifat sempurna atau maksum seperti Nabi. Justeru, beliau tidak berhak mengeluarkan kenyataan yang bersifat seolah- olah tidak bertamadun," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur semalam.


Ahmad Zahid mengulas kenyataan Nik Aziz yang menyebut ungkapan kurang sopan 'pergi jahanamlah UMNO' ketika diminta mengulas 'salam' kerjasama di antara UMNO dan Pas.


Semalam, Mursyidul Am Pas itu menjelaskan, 'salam' kerjasama yang dihulurkan sebelum ini adalah atas hubungan antara kerajaan Pusat dan negeri yang tiada kaitan sama sekali dengan kesediaan membentuk kerjasama antara Pas dan UMNO.


Menurut Nik Aziz, beliau tetap dengan pendirian menolak sebarang perbincangan atau kerjasama dengan UMNO kerana menganggap parti itu telah menyimpang daripada perjuangan Islam.


Ahmad Zahid menambah, jika Nik Aziz atau kerajaan negeri Kelantan mahu berbaik-baik dengan kerajaan Pusat hanya kerana ada udang di sebalik batu, lebih baik lupakan sahaja hasrat tersebut.


Ini kerana, jelasnya, Nik Aziz sendiri tidak pernah ikhlas untuk menjalin hubungan dengan mana-mana pihak sama ada kerajaan Pusat atau UMNO sendiri.


"Lupakan saja hasrat tersebut," ujarnya.


Ulasan saya terhadap isu ini sepatutnya pemimpin UMNO kata pergi jahanamlah PAS. PAS bukannya agama. Ia adalah parti ciptaan manusia. Kalau Nik Aziz boleh kata pergi jahanamlah UMNO, jadi apa salahnya kita kata pergi jahanamlah PAS.


Macam ini ke pemimpin Islam? Saya teringat kepada kisah kawan saya dari Besut, Asri yang dikenali sebagai Mat Sabu. Dia pernah pergi ke rumah Nik Aziz di Pulau Melaka. Masa itu Nik Azir tidur sebelah tengah hari. Nik Aziz marahi Mat Sabu kerana datang ke rumahnya nak minta tolong urusan kawannya. Dia marah kerana tak cukup tidur kot. Beginikah pemimpin Islam?

Isnin, Julai 27, 2009

GUAN ENG GILAKAN WANG?


Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng memberitahu Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bahawa mereka hanya boleh bertemu bagi berbincang mengenai isu Kampung Buah Pala sekiranya sejumlah wang yang dijanjikan oleh Samy Vellu bagi menyelesaikan isu tersebut ditunaikan terlebih dahulu.


"Bagi wang dulu, baru kita jumpa dan berbincang. Kalau tak ada wang, nak jumpa buat apa," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Pulau Pinang hari ini.


Beliau diminta mengulas mengenai kenyataan Samy Vellu semalam bahawa beliau sanggup menemui Lim dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah Kampung Buah Pala, di mana penduduknya tidak mahu berpindah bagi memberi laluan kepada projek pembangunan dilakukan di situ.


Samy Vellu turut dilaporkan memberitahu pemberita sebelum merasmikan Mesyuarat Perwakilan MIC Pulau Pinang ke-63 di Butterworth, bahawa MIC sanggup membayar sejumah premium yang sama dibayar Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang kepada kerajaan negeri sebelum ini iaitu sebanyak RM3.2 juta bagi memiliki tanah tersebut, sekiranya jumlah itu diperlukan bagi menyelesaikan isu tersebut.


Lim turut melahirkan rasa terkejut apabila perbualan telefonnya dengan Samy Vellu mengenai isu Kampung Buah Pala sebelum merasmikan mesyuarat perwakilan itu, dijadikan bahan untuk Samy Vellu bercakap kepada perwakilan di konvensyen tersebut.

DUN TERENGGANU SAMBUT JUBLI EMAS


Terengganu akan mengadakan majlis sambutan Jubli Emas Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, mulai Isnin hingga Disember depan, sempena 50 tahun kewujudan dewan itu.


Yang Dipertua DUN Datuk Tengku Putera Tengku Awang berkata, pelbagai acara dan program telah diatur bagi menyambut ulang tahun DUN itu.


Beliau berkata, sambutan malam esok bermula dengan solat maghrib, solat hajat, bacaan surah yasin, tahlil dan solat isyak bertempat di DUN, Wisma Darul Iman, di sini.


"Tujuan sambutan antara lain bagi memberi kesedaran kepada semua pihak terutama Ahli-ahli Yang Berhormat tentang pentingnya kewujudan DUN dan mempertahankannya sebagai satu institusi yang mulia yang menjadi tempat perbahasan dan percambahan ilmu serta idea, semata-mata untuk kepentingan rakyat," katanya pada sidang media di sini Ahad.


"DUN Terengganu kali pertama bersidang ialah pada 27 Julai 1959, sebab itu dicadangkan tarikh untuk diadakan sambutan bermula Julai hingga Disember depan," katanya.


Tengku Putera berkata, antara acara menarik ialah pidato rakyat jubli emas dan persidangan mini Dewan Undangan Negeri yang dijayakan oleh pelajar sekolah, wacana ilmu jubli emas dan kuiz 'Ingat Sokmo Ganu Kita'.


Katanya, acara kemuncak ialah majlis makan malam yang akan disertai Yang di-Pertuan Agong serta Raja Permaisuri Agong pada Disember.

Ahad, Julai 26, 2009

YASMIN TETAP DIKENANG


Yasmin Ahmad, yang meninggal dunia Sabtu malam, akan dikenang kerana setiap sentuhan karyanya, baik dalam filem mahupun iklan, begitu sinonim dengan garapan yang penuh dengan elemen kasih sayang, cinta, kekeluargaan dan jenaka yang disampaikan cukup bersahaja berlatarbelakangkan masyarakat majmuk di negara ini.


Pengarah filem dan iklan terkenal itu, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Pakar Damansara di sini kira-kira 11.25 malam selepas menjalani pembedahan pada Khamis lepas setelah diserang strok dan mengalami pendarahan di bahagian otak.


Dilahirkan di Bukit Treh, Muar, Johor pada 1 Julai 1958, Yasmin, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Psikologi dari Universiti Newcastle, United Kingdom, memenangi pelbagai anugerah di dalam negara dan antarabangsa bagi karya-karya kreatifnya.


Isteri kepada Abdullah Tan Yew Leong itu memulakan kerjaya dalam industri pengiklanan sebagai penulis iklan di Ogilvy & Mather, sebelum menyertai firma Leo Burnett sebagai pengarah kreatif bersama pada tahun 1993 sehinggalah memegang jawatan sebagai pengarah kreatif eksekutif di Leo Burnett kini.


Kehebatan Yasmin dapat dilihat dalam banyak iklan komersial Petronas kerana mampu mencuit dan meruntun hati penonton dengan sentuhan karyanya.Tidak keterlaluan sekiranya ramai yang akan merindui buah tangan pengarah kreatif itu terutamanya untuk iklan-iklan menjelang sambutan Hari Raya Aidlfitri September ini.


Sering dipuji sebagai pengarah iklan, nama Yasmin bagaimanapun cukup kontroversi di arena pefileman tanah air berdasarkan keterbukaan dan keberaniannya dalam mengupas isu-isu kemasyarakatan.


Malah tidak sah jika filem nukilan Yasmin tidak dikritik kerana sejak filem pertamanya Rabun pada 2003, filem-filem lain arahan Yasmin iaitu Sepet (2004), Gubra (2006), Mukhsin (2006), Muallaf (2008) dan Talentime (2009), turut menerima nasib sama.


Bagaimanapun, di sebalik kritikan, masih ada yang menilai filem-filem Yasmin dari sudut berbeza sehingga beberapa filem beliau termasuk Sepet diangkat untuk memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakon Layar Asli Terbaik pada Pesta Filem Malaysia 2005.


Filem Sepet juga memenangi anugerah di peringkat antarabangsa iaitu Anugerah Filem Asia di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo pada 2005 dan meraih Anugerah Grand Prix di Pesta Filem Wanita Antarabangsa Creteil pada 2005.


Filem Gubra pula memenangi Anugerah Filem Terbaik dan Lakonlayar Terbaik di Pesta Filem Malaysia 2006.Filem Muhsin mencatat kejayaan dengan mengungguli Generasi kplus - Filem Cereka Terbaik dan Deutsches Kinderhilfswerk Grand Prix di Pesta Filem Antarabangsa Berlin selain diangkat sebagai Filem Asean Terbaik di Pesta Filem Antarabangsa Cinemanila 2007.


Filem Muallaf pula memenangi Anugerah Filem Asia - Sebutan Khas di Pesta Filem Antarabangsa Tokyo 2008.Selain memenangi anugerah antarabangsa, filem arahan Yasmin banyak menerima pujian dan kritikan daripada masyarakat serta mendapat liputan media tempatan dan luar negara yang meluas.


Filem-filem Yasmin juga mendapat pengiktirafan dari negara luar apabila ditayangkan di Berlin, San Francisco, Singapura dan di Festival Filem Cannes yang memberi peluang kepada Yasmin untuk terus menghasilkan filem yang dikatakan mempunyai identiti tersendiri.

Jumaat, Julai 24, 2009

KAYANYA MIC


MIC bersedia menawarkan RM3.2 juta jika kerajaan Pulau Pinang boleh mendapatkan semula tanah di Kampung Buah Pala, Bukit Gelugor daripada pemaju.




Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkata tindakan itu bagi membolehkan penduduk kampung itu terus menetap di kawasan berkenaan."Kita sanggup bayar RM3.2 juta jika kerajaan negeri boleh mendapatkan semula tanah itu," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng melalui setiausaha politiknya Ng Wei Eik di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) di Georgetown semalam.




Mohan bersama sekumpulan lelaki tiba di Komtar pada kira-kira pukul 5.30 petang ini untuk menyerahkan memorandum itu sebaik dibebaskan daripada tahanan polis.Pada kira-kira pukul 10 pagi ini kumpulan itu ditahan di Jalan Datuk Keramat di sini kerana berhimpun secara haram untuk menyerahkan memorandum berkenaan kepada Ketua Menteri.




Sementara itu ditanya kemungkinan nilai harga tanah berkenaan lebih tinggi berbanding harga RM3.2 juta yang dijual sebelum ini, Mohan berkata: "Mengapa kerajaan negeri Pakatan Pembangkang meneruskan proses jual beli tanah berkenaan sedangkan mereka tahu nilai tanah itu lebih tinggi sekarang ini."




Menurut rekod inisiatif jual beli tanah itu dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) bagaimanapun surat pengesahan pemilikan tanah berkenaan disempurnakan kerajaan negeri di bawah pimpinan Lim pada 27 Mac tahun lepas.




Selepas penyerahan memorandum berkenaan berlaku kekecohan di kompleks itu apabila seorang lelaki mengeluarkan kata-kata kesat kepada kumpulan berkenaan.Tindakan itu menyebabkan kumpulan itu marah dan bertindak mengejar untuk memukul lelaki berkenaan. Bagaimanapun polis berjaya meleraikan kekecohan tersebut.




Kontroversi pemilikan tanah kampung itu timbul apabila kerajaan negeri menjual tanah seluas 2.6 hektar di situ kepada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang Bhd.Koperasi itu kemudian melantik pemaju Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd untuk membangunkan kawasan itu.Nusmetro mendapat perintah mahkamah supaya penduduk kampung berkenaan mengosongkan tanah berkenaan sebelum 3 Ogos ini.




Kayanya MIC sehingga sanggup beli tanah berhaga RM3 juta lebih. Yang peliknya dari mana MIC dapat duit sebanyak ini. MIC adalah parti yang kaya tetapi majoriti ahlinya miskin. Sebab itulah ramai ahli MIC menyokong Hindraf kerana melihat kekayaan yang luar biasa Presidennya, Datuk Seri S. Samy Vellu.

Khamis, Julai 23, 2009

WANITA MCA PERJUANG ANAK HARAM


Wanita MCA hari ini menggesa Kementerian Dalam Negeri memberi kebenaran supaya Teoh Beng Hock didaftarkan sebagai bapa kepada anaknya yang masih dalam kandungan.


Ketua pergerakan itu Datin Paduka Chew Mei Fun berkata anak Teoh sepatutnya didaftarkan atas nama Teoh sebaik sahaja dilahirkan berdasarkan kepada keadaan yang menyelubungi kematiannya dan atas dasar kemanusiaan.


"Ini satu ketidakadilan kepada anak yang belum dilahirkan itu untuk didaftarkan atas nama ibunya memandangkan anak yang tidak berdosa akan menanggung aib sepanjang hayatnya kerana dikenali sebagai anak luar nikah ibunya dan bukan sebagai anak kepada kedua-dua ibu bapa," kata Chew dalam satu kenyataan pada Rabu lalu.


Teoh, 30, pembantu politik anggota Exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada Khamis lepas setelah memberi kenyataan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor yang terletak di tingkat 14.


Tunangnya, Soh Cher Wei sedang hamil dua bulan.Chew berkata pasangan itu telah pun memaklumkan kepada kaum keluarga dan sahabat handai bahawa mereka akan mendaftarkan perkahwinan pada 17 Julai.


Lucu juga bila wanita MCA memperjuangkan nasib anak haram. Pelik juga kerajaan terpaksa menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat orang yang bunuh diri. Saya percaya Teoh bunuh diri kerana tertekan. SPRM bukan sebodoh itu untuk membunuh saksi dalam kes siasatannya. Kerajaan hanya buang masa saja untuk menubuhkan suruhanjaya ini.

Rabu, Julai 22, 2009

ZAID RENDAHKAN KEWIBAWAAN KU LI


Tindakan bekas Menteri Undang-undang yang kini anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zaid Ibrahim mengajak Tengku Razaleigh Hamzah menyertai pembangkang sebenarnya cuba merendah-rendahkan kewibawaan veteran Umno itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno itu berkata ini kerana Tengku Razaleigh bukan sembarang orang sebaliknya merupakan seorang pejuang parti Umno.


"Beliau menjadi pengasas parti sejak dari dulu lagi, ini macam Zaid merendah-rendahkan kewibawaan politik Tengku Razaleigh, walaupun beliau tidak berjawatan tetapi beliau masih aktif dan cergas (dalam Umno)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan dan Mesyuarat Agung Gabungan Majlis Guru Besar Malaysia semalam.


Beliau menegaskan Tengku Razaleigh merupakan satu daripada sebab Umno mendapat kemenangan moral pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Manik Urai di Kelantan pada 14 Julai lepas apabila calon Barisan Nasional (BN) kalah tipis dengan majoriti 65 undi kepada PAS.


"Jadi saya fikir, Zaid kena hormatlah, dia sudah masuk PKR tidak mengapa," katanya mengulas pelawaan Zaid supaya tokoh politik tersohor Umno itu yang juga anggota Parlimen Gua Musang menyertai parti pembangkang yang dibuat melalui blognya.

Selasa, Julai 21, 2009

POLIS SAHKAN BERITA HARIAN METRO PALSU

Polis yang menyiasat lokasi "Restoran Berahi" seperti yang dilaporkan dua wartawan akhbar Harian Metro hanya menemui sebuah tangki air dan reban ayam di atas bumbung restoran yang dimaksudkan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata restoran berahi yang didakwa dua wartawan itu sebenarnya tidak wujud.
Katanya polis sudah mengambil keterangan daripada dua wartawan itu dan mereka memberitahu tidak memasuki restoran terbabit sebaliknya hanya mereka-reka cerita.
"Dalam keterangan, mereka (dua wartawan) mendakwa kegiatan itu berlaku di atas bumbung restoran terbabit tetapi mereka tidak naik ke atas bumbung berkenaan dan hanya melawat sehingga tangga restoran.Jadi kita percaya mereka hanya mereka-reka cerita yang sensasi tetapi hakikatnya tempat itu tidak wujud dan mendapatkan gambar melalui internet," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.
Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.
Beliau berkata satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat oleh Ketua Balai Polis Brickfields pada hari yang sama laporan berita itu disiarkan.
Kedua-dua wartawan itu yang sering memaparkan isu-isu sensasi menulis artikel mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera, yang disiarkan di muka hadapan akhbar tersebut Sabtu lepas.
Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan oleh wanita seksi hanya disediakan untuk pelanggan terpilih restoran itu pada hujung minggu tertentu sahaja.Menurut laporan itu kedua-dua wartawan tersebut berjaya menyelinap masuk antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.

Isnin, Julai 20, 2009

APA NAK JADI?


Dua wartawan sebuah akhbar tempatan yang sering memaparkan isu-isu sensasi dipanggil polis bagi memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur berhubung laporan muka hadapan akhbar tersebut semalam yang bertajuk "Restoran Berahi".


Kedua-dua wartawan tersebut dipanggil memberi keterangan selama dua jam iaitu dari pukul 8 hingga 10 malam.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPKKL Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan pihaknya memanggil kedua-dua wartawan tersebut berhubung pendedahan berani mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggannya semasa menjamu selera.


Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan itu hanya terbuka kepada ahli restoran itu dengan perkhidmatannya diadakan pada hujung minggu tertentu sahaja.


Ku berkata laporan yang dikeluarkan itu adalah palsu kerana siasatan mendapati restoran tersebut tidak wujud.Difahamkan gambar yang didedahkan wartawan tersebut diperoleh melalui internet dan restoran tersebut sebenarnya berada di sebuah negara jiran terdekat.


Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.Akhbar itu berkata maklumat itu diperoleh berdasarkan e-mail yang dihantar orang ramai ke akhbar tersebut dan setelah sebulan membuat risikan, wartawannya berjaya menyelinap masuk di antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari jam 10 pagi hingga 11 malam.


Apa nak jadi dengan wartawan sekarang? Untuk melariskan Harian Metro, setiap hari berita sensasi dijadikan bahan muka depan. Kalau benar ia adalah berita palsu, ia amat menyedihkan kerana ia melanggar etika kewartawanan. Yang lebih menyedihkan ia dilakukan oleh sebuah akhbar yang diterbitkan oleh sebuah syarikat gergasi. Jika benar Harian Metro menyiarkan berita palsu, maka KDN perlu menggantung penerbvitan akhbar ini.

Sabtu, Julai 18, 2009

CAKAP ORANG TAK ADA KUASA


Keselamatan Dalam Negeri (ISA) wajar dimansuh dan diganti dengan perundangan baru yang membenarkan penahanan pencegahan terhadap tertuduh.


Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi berkata, undang-undang baru itu mampu menjamin hak asasi rakyat apatah lagi ISA sering dikaitkan dengan persepsi negatif.


Beliau berkata, ISA memberi skop kuasa yang terlalu besar kepada pihak berkuasa untuk menentukan apa yang boleh dianggap sebagai ancaman keselamatan.


"Oleh itu, akta baru boleh dihadkan khusus untuk mencegah kegiatan keganasan sahaja dan mengurangkan kemungkinan penyalahgunaan kuasa demi matlamat politik," katanya

.
Beliau menyatakan demikian dalam ucapan selepas menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Demokrasi di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini semalam.


Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyempurnakan penganugerahan berkenaan.


Menurut Abdullah, untuk benar-benar melakukan pembaharuan, kerajaan perlu berani melangkaui kerangka lama dan membuka lembaran baru.


"Saya percaya kerajaan perlu berani melakukan perubahan seumpama itu sebagai satu petanda komitmen kepada agenda pembaharuan demokrasi negara," ujarnya.


Jelas beliau, ia merupakan transformasi yang rakyat harapkan kerana tindakan pencegahan itu seharusnya tidak mengorbankan kebebasan hak asasi manusia atau disalahgunakan untuk tujuan politik.


Sementara itu, Abdullah menyifatkan anugerah yang diterimanya hari ini sebagai pengiktirafan kepada wawasan, pendekatan dan kaedah kepimpinan beliau dalam kerajaan.


"Falsafah demokrasi mencerminkan pengiktirafan kepada aliran falsafah yang amat dekat dengan pendirian dan prinsip kepimpinan yang telah saya pelopori.


"Sejak kecil saya telah diasuh untuk mencari kejernihan, menjalinkan silaturahim menyatakan kebaikan serta membina persahabatan," ujarnya.


Saya ingin komen sikit cadangan Pak Lah supaya kerajaan memansuhkan ISA. Nampaknya beginilah cakap orang tak ada kuasa. Kenapa sewaktu beliau jadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri beliau tidak berusaha memansuhkan ISA? Sedangkan ketika itu beliau ada kuasa penuh untuk berbuat demikian.


Sebab itulah bila sudah bersara dari politik, Pak Lah tak payahlah cakap banyak. Sewaktu beliau jadi Menteri Dalam Negeri, betapa polis dilihat terlalu mengongkong rakyat dengan menyuraikan banyak perhimpunan haram seperti perhimpunan Bersih dan Hindraf. Jika polis liberal di zaman Pak Lah, rakyat tidak berarak di jalan raya jika permit diluluskan.


Oleh itu tak perlulah Pak Lah komen mengenai ISA. Beliau sepatutnya memansuhkannya sewaktu beliau jadi Perdana Menteri.

Jumaat, Julai 17, 2009

SEPETANG DI THE MALL


Sejak saya bekerja dengan majalah BUSINESS KINI minggu lepas, saya tidak ada peluang lepak di The Mall lagi. Petang semalam saya berpeluang pergi ke The Mall kerana mahu cari orang masuk iklan dalam majalah business yang saya kendalikannya.



Majalah ini sudah enam bulan berada di pasaran. Sebagai majalah baru, sudah tentu bukan mudah untuk mendapatkan iklan. Saya terhutang budi kepada bekas kolumnis WATAN, abang Zek yang merekomen saya kepada Puan Azizah tuan punya majalah tersebut.


Dua bulan lepas, Abang Zek suruh saya temui Puan Azizah. Tetapi ketika itu tidak ada kekosongan. Kebetulan minggu lepas Puan Azizah hubungi saya, maka saya terima tawaran itu setelah tidak bekerja selama tiga bulan lebih selepas meletakkan jawatan sebagai Editor Watan pada 30 April lalu.



Sebenarnya sembilan bulan saya tidak ada pendapatan. Lima bulan bekerja dengan WATAN, WATAN tak bayar gaji. Tunggakan gaji lima bulan sebanyak RM17,500.00 tak tahulah bila akan dapat. Saya tidak akan halal dunia akhirat wang gaji itu. Akibat tak ada gaji, bini ada, bini lari. Ada girl friend pun, girlfriend pun lari. Maklum sahajalah sembilan bulan tak ada pendapatan.



Ketika saya sampai, kebetulan Datuk Rosli Mat Hassan, bekas Setiausaha Perhubungan UMNO Terengganu ada. Saya join mejanya. Banyak juga isu yang saya perbualkan dengan beliau. Syed Abdul Rahman Tuan Kuning yang juga bekas Setiausaha UMNO Bahagian Kuala Terengganu join meja Pok Li juga. Beliau orang kuat bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar.


Zaharin Mohd. Yassin yang join meja kami beritahu Syed Abdul Rahman bahawa Hishamuddin Tun Hussein perli Syed Hamid dalam akhbar hari ini.



"Banyak fail tidak terjawab. Maknanya Hishamuddin perli Syed Hamidlah tu," kata Zaharin.



Musli Oli yang lebih awal join meja kami tidak cakap banyak. Dia kurang minat bila saya sebut nama Hishamuddin akan hadiri malam wartawan anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan pada malam itu di hotel The Legend.



Zaharin memang kaya sekarang. Dahulu dia pau orang, sekarang orang pau dia pula. Semalam saya pau Zaharin. Zaharin ajak saya pergi ke ATM di hujung The Mall. Terkejut saya banyaknya duit Zaharin dalam akaunnya.


Zaharin kata pemimpin UMNO tidak pernah menghargai blogger. Kalau blogger memuji UMNO atau kerajaan, tak ada pemimpin UMNO yang call yang ucap terimakasih kepada blogger.



Sebelum pulang saya sempat temui kawan dari Kemaman, Kisfi Zainal.Turut berada di meja kami ialah Datuk Ibrahim Azmi Hassan, bekas ahli parlimen Kuala Nerus. Beliau banyak menasihati kami mengenai ciri-ciri rumahtangga yang bahagia.



Ustaz Ibrahim Azmi yang bertanding di Kuala Nerus pada tahun 1995 sebagai calon Semangat 46 telah menang tetapi dikalahkan oleh undi pos. Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Wan Abu Bakar yang diarahkan untuk mengalahkan Ustaz Ibrahim Azmi telah memohon maaf kepadanya. Kata Wan Abu Bakar, dia terima arahan dari atas. Jadi dia minta maaf kerana rasa bersalah di atas arahan itu.




Khamis, Julai 16, 2009

MB NAFI ROMBAK EXCO


Menteri Besar, Datuk Ahmad Said menafikan desas-desus berlakunya rombakan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Terengganu dalam tempoh terdekat.


Sehubungan itu, Ahmad turut menegaskan bahawa setakat ini pihaknya tiada perancangan untuk melakukan perubahan ke arah itu.


“Tiada. Setakat hari ini tidak ada sebarang perancang, orang lain yang bercakap tidak tahulah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Pejabat Menteri Besar, di sini, semalam.


Sebelum ini, terdapat desas-desus mengatakan rombakan Exco akan berlaku dalam masa terdekat berikutan wujud beberapa Exco tertentu yang dikatakan tidak ‘sebulu’ dengan beliau.


Desas-desus itu bertiup kencang apabila beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut dikatakan ingin membuat undi tidak percaya kepada Ahmad ketika Sidang Dewan Undangan Negeri yang lepas.


Bagaimanapun, Ahmad tetap optimis terhadap perkara itu dan berharap barisan Exco sedia ada mampu berkhidmat dengan kerajaan negeri sekurang-kurangnya satu penggal.


Ditanya sama ada beliau berpuas hati dengan barisan Exco sedia ada, Ahmad me-ngakui kesemuanya tiada masalah.


“Setakat ini ok, kita beri peluang, sekurang-kurang-nya pegang jawatan sampai satu penggal, kalau dua tahun setengah nak berpuas hati memang tidak dapatlah.


“Tahun pertama kata orang tahun berbulan madu, tahun kedua baru nak siapkan perancangan. Kita bagi peluang untuk selesaikan satu penggal,” katanya.

Selasa, Julai 14, 2009

BESUT MAHU MERDEKA?


Lucu juga membaca sebuah blog yang menghasut rakyat Besut menuntut kemerdekaan dari negeri Terengganu? Bukan saja Besut yang dikatakan mahu menuntut kemerdekaan, malah Setiu juga mahu menuntut kemerdekaan.


Blog itu sengaja menghasut rakyat Besut dan Setiu memberontak kepada kerajaan Terengganu. Ini bermakna mereka sudah derhaka kepada Sultan Terengganu. Oleh itu polis hendaklah menyiasat penulis blog itu dan mengambil tindakan yang sewajarnya kepada penulis berkenaan yang menghasut rakyat Besut dan Setiu.


Apakah Idris Jusoh nak jadi Yang Dipertua Negeri Besut bila Besut diisytiharkan sebagai negeri baru? Atau beliau mahu jadi Ketua Menteri Besut. Negeri paling kecil di Malaysia dengan empat dewan undangan negeri sahaja.


Nampak sangat penulis blog ini tidak ada otak. Adakah patut disarankan supaya Besut memnuntut kemerdekaan dari Terengganu, sesuatu yang mustahil berlaku. Apa kata Sultan Terengganu jika benar rakyat Besut mahu merdeka?


kenapa rakyat Besut perlu merdeka? Adakah mereka dianaktirikan oleh kerajaan terengganu? Sedangkan di Besutlah paling banyak pembangunan. Universiti dah harga RM200 juta. Begitu juga Taman Ilmu RM200 juta. Oleh itu Besut tidak pernah dianaktirikan oleh kerajaan terengganu.

Sabtu, Julai 11, 2009

100 HARI NAJIB DARI KACAMATA DR.MAHATHIR

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pentadbiran Datuk Seri Najib Razak "lebih banyak yang negatif daripada yang positif".

Tambahnya, ia berdasarkan penilaian peribadinya terhadap pentadbiran Najib yang genap 100 hari pada hari ini.

bukit gantang by election mahathir ceramah and luncheon 060409 04Bercakap kepada pemberita di PWTC hari ini, Dr Mahathir berkata, yang negatifnya termasuklah cadangan pembinaan jambatan ketiga antara Johor dan Singapura.

Bercakap selepas menyampaikan ucap utama program "Wacana Kedudukan Institusi Beraja dan Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan dari Perspektif 1Malaysia" yang diadakan secara tertutup, Dr Mahathir ditanya sama ada pentadbiran Najib telah membuat kajian mengenai cadangan pembinaan jambatan tersebut.

Menurutnya, pembinaan jambatan berkenaan tidak boleh menyelesaikan masalah kesesakan di Johor Bahru.

Satu perkara lagi yang dianggap negatif, menurut Dr Mahathir lagi, ialah pelantikan orang yang korup dalam pentadbiran Najib.

Ditanya mengenai perkara positif mengenai pentadbiran Najib, beliau berkata: "Yang positif ialah Najib berjumpa ramai orang dan dia tidak tidur malam."

Jawapannya disambut dengan gelak ketawa para hadirin.


Ketika ditanya mengenai nasib orang Melayu di negara ini, Dr Mahathir berkata, ianya bergantung kepada orang Melayu sendiri.

“Mereka harus bertindak untuk orang Melayu tetapi lima tahun pentadbiran (Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi rosak semua - rakyat, ekonomi, kewangan dan parti-parti BN.

“Tetapi saya tidak dengar orang Melayu komplen terhadap Tun Abdullah,” katanya.

Mantan perdana menteri itu berkata, orang Melayu hari ini tidak puashati kerana dituduh menjadi penghalang perpaduan, pertumbuhan ekonomi dan sebagainya.

Katanya, mereka bimbang apa yang akan berlaku kepada mereka nanti dan mereka harus tahu apa yang akan berlaku dalam negara mereka sendiri.

Dr Mahathir juga berkata, parti pembangkang tetap diperlukan untuk menegur kerajaan jika membuat salah.

“Tidak pedulilah DAP atau PAS, kita perlukan pembangkang kerana orang kita tidak tegur walaupun kerajaan buat tidak semuanya benar,” tambahnya.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan memansuhkan Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dr Mahathir berkata, sepanjang 38 tahun penggubalan dasar tersebut, ia menyaksikan pertumbuhan ekonomi yang terbaik.

Sepatutnya, kata beliau, orang Melayu menggunakan DEB untuk kepentingan ekonomi mereka tetapi sebaliknya menyalahgunakannya.

Orang Melayu, katanya, menyalahgunakan lesen, kontrak dan permit import yang diluluskan (AP)

'DEB tidak salah tetapi yang salah (ialah) kerana orang yang menyalahkan lesen, kontrak dan AP itu,” katanya.

(dipetik dari malaysiakini.com)

Jumaat, Julai 10, 2009

ARMANI WANITA PERTAMA JADI TYDP DEWAN NEGARA


Senator Datuk Armani Mahiruddin hari ini mencatat sejarah sebagai wanita pertama dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara.

Exco Pergerakan Wanita UMNO itu yang merupakan Timbalan Yang Dipertua ke-11 mengangkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Dewan, Datuk Wong Foon Meng sejurus selepas sidang bermula pada pukul 10 pagi.

Pelantikan Armani yang juga ahli Dewan Negara selama dua penggal dari 9 Disember 2005 sehingga 20 Disember 2011 dicadangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Usul pelantikan beliau dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon sebaik sahaja sesi Dewan bermula dan disokong oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom.

Armani, 52, yang juga Ketua Wanita UMNO Sabah pernah berkhidmat sebagai guru selama 17 tahun sebelum meninggalkan dunia pendidikan pada 1995 untuk terlibat aktif dalam politik.

Pada sidang akhbar selepas mengangkat sumpah, ibu kepada empat anak itu melahirkan rasa terharu kerana dilantik memegang jawatan kedua tertinggi dalam badan penggubal undang-undang negara itu.

Menurutnya, beliau hanya mengetahui mengenai pelantikan itu pada pukul 3 petang Rabu lalu selepas dimaklumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Parlimen.

''Pelantikan ini merupakan satu penghormatan terhadap golongan wanita di negara ini dan merupakan detik bermakna dalam sejarah negara. Saya yakin ia akan membantu memperkasakan wanita di negara ini.

''Saya juga bersyukur kerana keputusan bersejarah ini dibuat pada tahun ini ketika Parlimen Malaysia menyambut ulang tahun Jubli Emas.

''Mungkin ini yang dikatakan 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu," ujarnya.

Adik kepada Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Juhar Mahiruddin, yang juga bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu, mengakui tanggungjawab berat yang perlu dipikulnya termasuk bagi memastikan Dewan berkenaan menjadi badan penggubal undang- undang yang dihormati.

''Saya berharap dapat menimba ilmu daripada abang saya. Syukur adik-beradik mendapat rezeki yang sama.

''Abang turut meluahkan rasa gembira dan berjanji untuk memberikan segala ilmu yang beliau ada bagi memastikan saya dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin," katanya.

Dewan Rakyat sehingga kini belum mempunyai Yang Dipertua dan timbalan daripada kalangan wanita.

Ketika saya berada di Sabah dari tahun 1989-1991, saya agak rapat dengan abang Armani, Juhar Mahiruddin yang pernah aktif dalam Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) bersama Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Ketika saya bekerja dengan ahli parlimen Kemaman yang baru menang pilihanraya pada tahun 1995, Dr. Ramli Taib, Juhar adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Sebagai orang baru Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Zahir Ismail tidak kenal ramai ahli parlimen yang baru.

Masing-masing bangun untuk berucap membahaskan ucapan titah Yang Dipertua Agong meramikan pembukaan sesi Dewan Rakyat yang baru, tetapi Zahir Ismail memanggil orang yang dia kenal terutamanya orang lama untuk berucap.


Dah dua hari Dr. Ramli Taib bangun untuk berucap tetapi Yang Dipertua tidak memanggilnya untuk berucap. Maka saya pergi jumpa Juhar yang akan masuk pada jam 3.30 petang nanti mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

"Ada apa Zabidi?" tegur Juhar yang amat soft-spoken.

"Saya nak minta tolong YB panggil Kemaman berucap," kata saya yang memberitahunya bekerja sebagai pegawai media Dr. Ramli Taib.

"Okay," jawabnya ringkas.

Tiba gilirannya masuk Dewan, Juhar terus panggil Dr. Ramli Taib berucap. Itulah kenangan bersama abang Armani. Ketika saya bertugas di Sabah, Armani belum lagi aktif dalam politik. Sebab itu saya tidak kenali Armani.


Khamis, Julai 09, 2009

SEMUA PUJI LANGKAH MUHYIDDIN


Pemimpin-pemimpin daripada pakatan pembangkang menyambut baik keputusan kerajaan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) berkuat kuasa pada 2012.


Ketua Angkatan Muda Keadilan Pulau Pinang, Yusmadi Yusoff berkata, beliau menyokong penuh keputusan itu kerana partinya telah menanti-nantikan keputusan itu sejak sekian lama lagi.


Katanya, pihaknya menyeru kerajaan agar mengeluarkan kertas putih berhubung keputusan itu memandangkan pelaksanaan PPSMI sejak 2003 lalu telah memakan kos yang begitu banyak.


''Pengeluaran kertas putih itu dapat menerangkan matlamat utama pemansuhan PPSMI yang dilihat tidak mempunyai motif politik.


''Ia juga dapat memberi penjelasan secara telus kepada pihak-pihak yang tidak lagi berpuas hati dengan keputusan baru kerajaan itu,'' katanya ketika dihubungi semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan kerajaan berhubung mata pelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah dan kebangsaan yang akan diajar dalam bahasa Melayu berkuat kuasa pada 2012.


Manakala, pengajaran dan pembelajaran kedua-dua mata pelajaran itu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil pula dalam bahasa ibunda masing-masing.


Tambah Yusmadi lagi, kini tanggungjawab kerajaan adalah memberi penjelasan tepat kepada semua pihak termasuk ibu bapa dan orang ramai berhubung pemansuhan PPSMI tersebut.
''Tindakan itu akan membantu kerajaan untuk melaksanakan keputusan baru tanpa apa-apa halangan daripada beberapa pihak yang masih menyokong dasar PPSMI,'' jelasnya.


Dalam pada itu, Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam, daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, dasar yang baru diperkenalkan itu membuktikan bahawa kerajaan prihatin terhadap masyarakat negara ini.


''Akhirnya kami berjaya dalam perjuangan kami. Inilah yang kami menanti-nantikan selama ini,'' jelasnya.


Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang menyifatkan keputusan Kabinet itu bukan penyelesaian mutlak kerana ia tidak bersifat serta-merta.


Menurutnya, apa yang perlu ialah keputusan yang berani melalui pendekatan pendidikan baru dengan matlamat untuk meningkatkan pencapaian murid dalam Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.


''Tentu ada cara untuk capai matlamat ini setelah PPSMI gagal. Mungkin perlu ada cara yang berbeza kepada setiap aliran. Sebab murid SJKC mantap dalam Matematik dan Sains manakala untuk aliran kebangsaan lemah dalam ketiga-tiga subjek itu.


''Jadi perlu keputusan berani dan fleksibel ikut keperluan aliran. Ada tinjauan pendapat kata majoriti ibu bapa Melayu di bandar mahu PPSMI diteruskan, mungkin kita perlu fleksibel. Patut beri ibu bapa hak memilih PPSMI atau sebaliknya. Tak boleh tangguh sampai tiga tahun,'' ujarnya.

Sabtu, Julai 04, 2009

BN PERLU EKSPLOIT ISU INI


Wakil rakyat tunggal DAP di Kedah, Lee Guan Aik semalam mengisytiharkan dirinya sebagai Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan berkecuali dan tidak lagi menjadi penyokong kerajaan negeri.

Sebagai ADUN Bebas dan berkecuali, katanya, beliau juga tidak akan menyokong Barisan Nasional (BN) tetapi sebaliknya hanya menyokong pihak yang benar sahaja.

Guan Aik, ADUN Kota Darul Aman itu, berkata, pendirian DAP negeri untuk keluar dari pakatan pembangkang Kedah telah dimaklumkan kepada DAP pusat menerusi sepucuk surat dua hari lepas.

"Bagaimanapun, kita tidak menghantar surat kepada Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Azizan Abdul Razak)," katanya kepada Bernama di Alor Setar semalam.

Katanya, DAP negeri sedang menunggu jawapan balas dari DAP pusat mengenai keputusan mereka berundur dari Pakatan Rakyat di negeri tersebut.

Guan Aik berkata, kerajaan negeri pimpinan Pas mungkin tidak sedar bahawa DAP telah memainkan peranan untuk memancing undi kaum Cina menyokong Pakatan Rakyat termasuk memberi undi kepada Pas pada pilihan raya umum lepas.

"Kita kesal dengan layanan yang diberikan kepada DAP kerana saya telah naik turun berjumpa Menteri Besar untuk meminta agar Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) menangguh operasi meroboh pusat penyembelihan babi itu sementara menunggu keputusan kerajaan negeri meluluskan tapak pusat yang baru," katanya.

Rabu lepas, DAP Kedah membuat kejutan apabila mengumumkan untuk keluar daripada pakatan pembangkang negeri itu kerana tidak yakin dengan keadilan kerajaan negeri dalam mentadbir negeri.

Tindakan itu berpunca daripada kegagalan kerajaan negeri menangani isu merobohkan pusat penyembelihan babi di Kampung Berjaya, dekat sini.

Pengerusi DAP negeri Thomas Su berkata, selain Guan Aik yang akan bertindak seperti ADUN Bebas, tiga ahli majlis pihak berkuasa tempatan dan 43 ketua komuniti dari DAP negeri ini juga akan meletak jawatan jika DAP pusat bersetuju dengan keputusan mereka.

Menjelang pilihan raya kecil Manek Urai di Kelantan, BN perlu eskploit isu keretakan PAS-DAP di Kedah ini untuk merampas kembali kerusi Manek Urai. Jika BN berjaya eksploit isu ini, BN sudah pasti akan menang. Jika tidak, BN tetap kecundang di tangan PAS.

Ada yang berpendapat kononnya isu keretakan PAS-DAP di Kedah tidak beri kesan kepada jentera PAS di Kelantan untuk mempertahankan kerusi Manek Urai kerana tiada wakil DAP dalam kerajaan Kelantan. Tetapi sedikit sebanyak perpecahan PAS-DAP ini hendaklah dilihat secara positiufd bahawa mereka cuma tidur sebantal tapi mempunyai mimpi yang lain-lain. Bagaimana Pakatan Rakyat mahu perintah negara pada tahun 2012 jika isu kecil di Kedah tidak dapat diselesaikan di antara mereka.

Kita berharap BN bersatu tanpa menghiraukan khabar-khabar angin yang mengatakan bahawa calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat tidak direstui oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Kerai, Datuk Ramzi Abdul Rahman. Semoga nama calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang hampir nama dengan nama Nik Aziz Nik Mat memberi tuah kepada BN untuk merampas kembali kerusi Manek Urai.

Rabu, Julai 01, 2009

LUCU JUGA SHAFIE


Lucu juga mendengar ucapan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Mohd. Shafie Afdal yang menafikan beliau mahu menjadi Menteri Besar Kedah. Saya rasa tergelak membaca berita yang tersiar dalam akhbar tempatan ketika beliau berucap di majlis perasmian mesyuarat agung Mubarak Kedah yang dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri, Dr. Mahathir Mohamad.

Shafie bukan orang Kedah. Dia orang Sabah. Cuma dia menantu kepada bekas wakil rakyat Kedah, Datuk Shuib Lazim. Jadi takkan Shafie mahu bertanding di Sungai Petani pula pada pilihan raya umum 2012. Jadi kenyataan Shafie memanglah melucukan dan sepatutnya beliau tidak mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

Shafie tetap bertanding di Sabah dan peluangnya jadi Ketua Menteri Sabah lebih cerah pada tahun 2012 menggantikan Musa Aman yang merupakan orang kuat Pak Lah. Shafie memang orang Najib. Maka Najib sudah pasti menghantar Shafie balik ke Sabah walaupun beliau adalah seorang Naib Presiden UMNO.

Oleh kerana semua Naib Presiden UMNO dilantik Pengerusi Perhubungan seperti Dr. Zahid Hamidi di Pulau Pinang dan Hishamuddin di Terengganu, maka Shafie turut dilantik menjadi Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah yang kebetulan isterinya berasal dari Kedah. Oleh itu beliau hendaklah menyusun strategi untuk menawan Kedah balik dari PAS dan beliau tak payahlah berangan jadi Menteri Besar Kedah.

Jika pengalaman BN menawan Sabah pada tahun 1994 tidak dapat digunakan oleh Shafie untuk menawan balik Kedah, alangkah ruginya Najib melantik Shafie mengetuai UMNO Kedah.Macam mana UMNO mahu menang di Kedah kerana para pemimpinnya masih bercakaran. Buktinya bila Dr. Mahathir rasmikan mesyuarat agung Mubarak, ahli parlimen Kubang Pasu, Johari Baharom tidak menghadirinya sedangkan Dr Mahathir yang memberi laluan kepada Johari sebagai ahli parlimen.

TOLAK RASUAH DIHARGAI


Dua anggota polis yang menolak rasuah lebih setengah juta ringgit daripada dua pengedar dadah bagi mengelak 480 bungkusan syabu bernilai RM280 juta dirampas pada Mei lepas, dianugerahkan Anugerah Integriti semalam.

Detektif Koperal Mohd Surani Sarbini, 44, dan Lans Koperal Mohd Tarmazi Arbayee, 25, juga dinaikkan pangkat masing-masing kepada Detektif Sarjan dan Koperal atas kejayaan terbesar dalam sejarah Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan anugerah berkenaan kepada kedua-dua anggota polis itu dalam satu upacara selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keutuhan Pengurusan Kerajaan di Bangunan Parlimen di sini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Pada kejadian pada 2 Mei lepas, Mohd Surani dan Mohd Tarmazi yang dalam perjalanan pulang ke Balai Polis Cenderawasih, Rompin, Pahang pada pukul 6.45 pagi, ternampak sebuah lori yang mencurigakan lalu memeriksa dan mendapati lori itu membawa muatan 96 kotak serta 480 bungkusan plastik disyaki dadah jenis syabu.

Kedua-dua anggota polis itu bertindak menahan dua suspek lelaki yang kemudiannya menawarkan suapan rasuah sebanyak RM10,000 dan berjanji akan menyerahkan lagi RM500,000 sebagai ganjaran membebaskan mereka.

Musa ketika ditemui pemberita berharap masyarakat tidak memberikan rasuah kepada penjawat awam dan pegawai penguatkuasa kerana mereka boleh dikenakan hukuman yang berat.

"Saya minta masyarakat janganlah beri rasuah, kalau hadapi apa-apa masalah terimalah masalah tetapi jangan merasuah kepada pegawai kerajaan kerana kita mempunyai kuasa untuk menangkap kalau orang memberi rasuah," katanya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada kedua-dua anggotanya itu serta berterima kasih kepada Perdana Menteri kerana pengiktirafan itu.

"Saya rasa gembira dan rasa bahawa pegawai dan anggota bawahan saya telah melakukan tugas dengan baik. Alhamdulillah apa yang selama ini saya utarakan untuk membetulkan pasukan polis supaya anggota dan para pegawai mempunyai integriti yang tinggi berhasil," katanya.

Ketika ditemui, Mohd Surani dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Rompin berkata beliau berpegang kepada integriti kerana setiap anggota polis perlu ada integriti.

Mohd Tarmizi dari Cawangan MPV, IPD Rompin pula berkata ketika ditawarkan rasuah itu, beliau hanya memikirkan mahu berkhidmat lama dalam polis.

"Saya fikir saya lama lagi hendak kerja sebab saya baru lagi masuk dalam PDRM ini. Kita fikir panjang, sebolehnya memang saya akan tolak (rasuah)," katanya.