Polis yang menyiasat lokasi "Restoran Berahi" seperti yang dilaporkan dua wartawan akhbar Harian Metro hanya menemui sebuah tangki air dan reban ayam di atas bumbung restoran yang dimaksudkan itu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata restoran berahi yang didakwa dua wartawan itu sebenarnya tidak wujud.
Katanya polis sudah mengambil keterangan daripada dua wartawan itu dan mereka memberitahu tidak memasuki restoran terbabit sebaliknya hanya mereka-reka cerita.
"Dalam keterangan, mereka (dua wartawan) mendakwa kegiatan itu berlaku di atas bumbung restoran terbabit tetapi mereka tidak naik ke atas bumbung berkenaan dan hanya melawat sehingga tangga restoran.Jadi kita percaya mereka hanya mereka-reka cerita yang sensasi tetapi hakikatnya tempat itu tidak wujud dan mendapatkan gambar melalui internet," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Isnin.
Ku berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 kerana menyiarkan berita tidak benar dan berniat jahat.
Beliau berkata satu laporan polis berhubung perkara itu telah dibuat oleh Ketua Balai Polis Brickfields pada hari yang sama laporan berita itu disiarkan.
Kedua-dua wartawan itu yang sering memaparkan isu-isu sensasi menulis artikel mengenai sebuah restoran yang kononnya menyediakan pelayan wanita seksi untuk melayan pelanggan semasa menjamu selera, yang disiarkan di muka hadapan akhbar tersebut Sabtu lepas.
Wartawan itu juga mendakwa perkhidmatan oleh wanita seksi hanya disediakan untuk pelanggan terpilih restoran itu pada hujung minggu tertentu sahaja.Menurut laporan itu kedua-dua wartawan tersebut berjaya menyelinap masuk antara puluhan VIP yang mengunjungi restoran terbabit yang beroperasi dari pukul 10 pagi hingga 11 malam.