Sabtu, September 22, 2018

MEMALUKAN PEMILIHAN PKR KECOH KERANA KELEMAHAN PETUGAS

BUTTERWORTH, 22 Sept (Bernama) -- Pemilihan PKR 2018 di tiga cabang di Kedah iaitu Sik, Sungai Petani dan Kulim-Bandar Baharu ditangguhkan berikutan beberapa masalah terutamanya kelemahan petugas yang menjaga pusat mengundi.

Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Ismail Yusop berkata pihak JPP akan bermesyuarat semula bagi menentukan tarikh baharu pengundian di tiga cabang terbabit.

"Pemilihan PKR di tiga cabang itu ditangguhkan bukan disebabkan masalah sistem e-undi dan sistem kami dalam keadaan baik serta berjalan lancar. Namun, masalah itu timbul disebabkan kelemahan para petugas yang menjaga pusat mengundi.

"Memang kami telah beri latihan dan penerangan serta simulasi sebelum ini kepada petugas-petugas berkenaan, namun apabila tiba hari pengundian hari ini beberapa kelemahan daripada mereka timbul mungkin sebab gugup atau tidak memberi perhatian semasa latihan diadakan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Pemilihan PKR 2018 bermula di Kedah dan Pulau Pinang hari ini melibatkan 105,056 anggota layak mengundi bagi memilih barisan kepimpinan peringkat pusat dan cabang..

MEK TUNTUNG TERIMA ANUGERAH DARI BRITAIN

KEMAMAN, 21 Sept (Bernama) -- Usaha gigih dan penat lelah seorang penyelidik, Dr Chen Pelf Nyok dalam pemuliharaan tuntung sungai selama lebih lapan tahun di Sungai Kemaman mendapat perhatian dan pengiktirafan kerajaan Britain apabila menerima anugerah 'Commonwealth Point Of Light' hari ini.

Anugerah itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell dalam satu majlis di Kampung Pasir Gajah, di sini, hari ini.

Dikenali sebagai Mek Tuntung oleh masyarakat setempat, Chen yang juga pengasas bersama Persatuan Pemuliharaan Tuntung, Kura-Kura dan Penyu Malaysia (TCS) berkata kejayaan projek yang dimulakannya sejak 2011 itu tidak akan kesampaian jika tiada kerjasama daripada penduduk setempat dan anggota keluarganya.

"Bila saya memulakan projek ini, saya tidak menjangka apa yang akan terhasil darinya… ketika itu saya baru berusia 30 tahun dan baru sahaja mengasaskan NGO ini dan ingin memulakan projek pemuliharaan jangka panjang untuk menyelamatkan tuntung sungai daripada kepupusan.

"Dengan restu ketua dan penduduk kampung, saya telah memulakan projek dengan mereka yang menggelarkan diri mereka Geng Tuntung.

"Saya dengan sukacitanya ingin menyatakan sejak projek dimulakan kami telah menyelamatkan lebih 4,500 telur tuntung daripada dimakan dan melepaskan 3,000 ekor anak tuntung ke Sungai Kemaman," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Projek yang dijalankan wanita berasal dari Kuantan, Pahang itu secara sukarela juga berjaya mewujudkan galeri tuntung dan pusat pemuliharaan tuntung sungai yang turut menjadi tarikan pelancongan di kampung berkenaan.

Dalam sidang media selepas itu Chen berkata pengiktirafan yang diberikan kerajaan Britain itu juga dapat membuka mata masyarakat bahawa tuntung merupakan spesies haiwan bercengkerang yang perlu dilindungi seperti penyu.

"Sejak dua bulan yang lepas projek ini mula mendapat publisiti meluas daripada media massa berbanding sebelum ini dengan masyarakat di luar sana tidak mengetahui terdapat usaha memulihara tuntung dijalankan oleh TCS mungkin kerana ia hanya dijalankan oleh NGO yang kecil.

"Tetapi perubahan ini memberi semangat kepada kami untuk meneruskan usaha pemuliharaan tuntung sungai sebab kita mahu masyarakat tahu kenapa tuntung ini diancam kepupusan dan bagaimana masyarakat boleh membantu menghalang ia daripada terus pupus dalam negara kita," katanya.

-- BERNAMA