BUTTERWORTH, 22 Sept (Bernama) -- Pemilihan PKR 2018 di tiga cabang di Kedah iaitu Sik, Sungai Petani dan Kulim-Bandar Baharu ditangguhkan berikutan beberapa masalah terutamanya kelemahan petugas yang menjaga pusat mengundi.
Setiausaha Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Ismail Yusop berkata pihak JPP akan bermesyuarat semula bagi menentukan tarikh baharu pengundian di tiga cabang terbabit.
"Pemilihan PKR di tiga cabang itu ditangguhkan bukan disebabkan masalah sistem e-undi dan sistem kami dalam keadaan baik serta berjalan lancar. Namun, masalah itu timbul disebabkan kelemahan para petugas yang menjaga pusat mengundi.
"Memang kami telah beri latihan dan penerangan serta simulasi sebelum ini kepada petugas-petugas berkenaan, namun apabila tiba hari pengundian hari ini beberapa kelemahan daripada mereka timbul mungkin sebab gugup atau tidak memberi perhatian semasa latihan diadakan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Pemilihan PKR 2018 bermula di Kedah dan Pulau Pinang hari ini melibatkan 105,056 anggota layak mengundi bagi memilih barisan kepimpinan peringkat pusat dan cabang..