Rabu, September 20, 2017

KESEDARAN MASYARAKAT TERHADAP PENCEGAHAN RASUAH MENINGKAT

JOHOR BAHRU, 20 Sept (Bernama) -- Kesedaran masyarakat terhadap pencegahan rasuah dan salah guna kuasa dilihat semakin meningkat berikutan peningkatan pemberi maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kebelakangan ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata pihaknya mendapati maklumat yang



diterima dari semasa ke semasa semakin meningkat.

"Mana-mana rakyat Malaysia yang mahu membanteras gejala rasuah, jangan gentar dan jangan takut. Sampaikan maklumat tersebut kepada SPRM," kata beliau kepada pemberita pada Program Kembara Jelajah AntiRasuah Konvoi Kejar 2017 di Ma'had As-Syarie, Kampung Melayu Majidee di sini hari ini.

Kembara 13 hari itu disertai 43 motosikal berkuasa besar berkonvoi sejauh 2,000 kilometer ke 12 negeri di Semenanjung Malaysia.

Dzulkifli berkata masyarakat boleh memilih dua cara untuk menyalurkan maklumat kepada SPRM iaitu dengan membuat aduan secara terus atau salurkan maklumat tanpa mendedahkan identiti mereka.