Khamis, Julai 17, 2014

MESYUARAT PERTAMA JAWATANKUASA TEKNIKAL HUDUD HARI INI

KOTA BAHARU: Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pusat yang diwujudkan bagi mengkaji pelaksanaan hukum hudud atau Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 di Kelantan, dijadual mengadakan mesyuarat pertamanya esok (hari ini). Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata mesyuarat berkenaan akan diadakan selepas perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Putrajaya. "Esok delegasi seramai lapan orang wakil dari Kelantan yang termasuk saya sendiri akan ke Putrajaya untuk berjumpa Datuk Seri Jamil Khir Baharom. "Selepas kunjungan itu, akan diadakan mesyuarat pertama Jawatankuasa Teknikal Peringkat Pusat dan enam wakil daripada kita akan menyertai mesyuarat itu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kuih Muih Hari Raya Aidilfitri kepada Pasukan Keselamatan di sini, Rabu. Pada majlis itu, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyampaikan sumbangan Kuih Muih kepada 12 pasukan keselamatan antaranya Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan (JBPM) dan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Kelantan. Pada 2 Mei lepas, Jamil Khir berkata sebuah jawatankuasa teknikal di peringkat pusat ditubuhkan bagi mengkaji pelaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah di Kelantan. Kerajaan pusat menubuhkan jawatankuasa itu setelah PAS mahu membentangkan Rang Undang-undang Persendirian (hukum hudud) di Parlimen bagi mendapatkan kebenaran melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993. Pembentangan rang undang-undang persendirian itu bertujuan mendapatkan kebenaran melaksanakan hukum hudud itu seperti yang diperuntukkan Perkara 76 (A) Perlembagaan Persekutuan. - Bernama