Isnin, September 13, 2010

UMNO AKAN HILANG SOKONGAN JIKA JAUHI PERKASA


Keputusan UMNO menjauhkan diri daripada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) boleh menyebabkan parti itu kehilangan sokongan orang Melayu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 akan datang.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, meskipun ia tidak membabitkan jumlah yang besar tetapi ia tetap memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) dalam usaha mempertahankan kemenangan.

Sambil mempersoalkan kedudukan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempengerusikan mesyuarat Barisan Nasional (BN) di Putrajaya baru-baru ini beliau menegaskan, keputusan tersebut tidak akan memberi sebarang keuntungan kepada UMNO.

''Dalam keadaan UMNO yang tidak begitu kuat, kita tidak boleh menolak sebarang hubungan dengan pihak lain. Hakikatnya, jika kita kehilangan sokongan seratus atau dua ratus pengundi kemungkinan kita akan kalah di kawasan-kawasan tertentu.

''Oleh kerana kita amat memerlukan sokongan daripada seberapa ramai orang tidak perlulah kita bermusuh dengan orang. Ia langsung tidak memberi sebarang faedah dan keuntungan,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri di kediamannya di The Mines dekat sini, hari ini.

Dr. Mahathir berkata, demikian ketika ditanya mengenai keputusan BN dengan sokongan sebulat suara 13 parti komponennya termasuk UMNO untuk menjauhi Perkasa kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kewibawaan dan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum.

Tengku Adnan yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata, UMNO tidak akan menyokong Perkasa atau Presidennya, Datuk Ibrahim Ali pada pilihan raya umum akan datang kerana tindakan itu berpotensi menghakis sokongan pengundi bukan Melayu terhadap BN.

Dr. Mahathir berkata, satu perkara yang perlu diambil kira iaitu Perkasa selama ini tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana perjuangannya masih tertakluk kepada hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

''Perjuangannya masih berasaskan Perlembagaan dan kita juga harus sedar bahawa Perkasa adalah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan bukan sebuah parti politik. Perkasa tidak terikat dengan mana-mana parti politik.

''Sebagai NGO, Perkasa berperanan menegur mana-mana pihak jika berlaku sesuatu yang tidak baik termasuk parti-parti politik. Perkasa boleh tegur Pas, DAP atau UMNO. Saya kadangkala pun kena tegur juga,'' katanya.

Mengenai kedudukan Tengku Adnan mempengerusikan mesyuarat komponen BN baru-baru ini, Dr. Mahathir berkata, sepanjang pengetahuannya setiap mesyuarat yang melibatkan komponen BN akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi BN.

''Pada kebiasaannya mesyuarat komponen BN akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri. Oleh itu saya tidak fikir kenyataan yang dikeluarkan oleh Tengku Adnan itu adalah pandangan rasmi kerajaan,'' katanya.

Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, apabila ada pihak mula mempersoalkan sesuatu hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan sudah tentu ia akan mengundang reaksi daripada pihak lain.

''Kewujudan Perkasa adalah salah satu contoh. Pada zaman pemerintahan saya tidak ada NGO seperti Perkasa kerana tiada pihak yang berani mempersoalkan hak-hak yang telah termaktub dan diamalkan selama ini.

''Berbanding sekarang yang mana sudah ada pihak atau kumpulan yang sengaja membangkitkan atau mempersoalkan hak-hak tersebut antaranya persetujuan mengenai kontrak sosial. Bila terjadi demikian pasti akan muncul satu pihak untuk mempertahankannya,'' katanya lagi.

Beliau berkata, salah satu faktor lain ialah tahap keyakinan rakyat terhadap UMNO dalam mempertahankan hak-hak mereka.

''Apabila rakyat merasakan UMNO tidak lagi melindungi mereka sudah tentu akan muncul pihak lain untuk mengambil peranan tersebut,'' katanya lagi.