Ahad, September 24, 2017

ADAKAH MIKE TYSON MASIH RELEVAN?


oleh Shahbudin Haji Embun

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)


Bekas juara tinju dunia, Mike Tyson sudah lama meninggalkan gelanggang tinju dan kini sekali sekala kita akan dapat melihat Mike Tyson muncul dalam beberapa buah filem memegang watak kecil atau sebagai penampilan cameo sahaja.Mike Tyson bukan sahaja terkenal kerana kehebatannya di gelanggang tetapi juga kerana kontroversinya apabila menggigit telinga , pencabar utamanya, Evander Holyfield ketika bertarung di gelanggang. Namanya pasti tidak akan dilupakan dalam lipatan sejarah sukan tinju.


Bagaimana pula dengan nasib Tan Sri Muhammad Muhammad Taib (Mat Taib), seorang pemimpin politik yang terkenal di Malaysia dengan gelaran Mat Tyson, yang baru baru ini mendapat perhatian ramai apabila beliau kembali ke pangkuan UMNO dan sekaligus menimbulkan pelbagai spekulasi dan juga andaian.


Adakah bekas Menteri Besar Selangor dan juga mantan Naib Presiden UMNO yang kini sudah berusia 72 tahun masih lagi relevan dan boleh memainkan peranan yang penting dalam gelanggang politik tanah air? Ada juga yang terus membuat kesimpulan bahawa ini bukanlah satu tindakan yang bijak.


Dalam hal ini, jangan salahkan mereka yang menganggap beliau tidak mampu lagi berjasa kepada UMNO, parti yang ditinggalkan suatu ketika dahulu. Namanya pun sejak beberapa tahun kebelakangan ini agak sepi dan jarang sekali mengeluarkan kenyataan yang menampakkan kebolehan beliau sebagai seorang bekas pemimpin yang disegani.


Nama beliau hanya muncul apabila dia meninggalkan UMNO dan mengumumkan yang dia berjuang dengan PAS dan kemudian meninggalkan PAS pula untuk mencuba nasibnya bersama PKR. Fotonya pula hanya kelihatan berdiri di barisan belakang apabila pihak pembangkang membuat kenyataan akhbar.Ini sekaligus menggambarkan yang Mat taib juga tidk begitu menonjol ketika bersama dengan pembangkang.


Namun pada masa yang sama, jangan juga salahkan mereka yang masih berpendapat, pemimpin yang masih terkenal dengan gelaran Mat Tyson ini masih mampu berbuat sesuatu untuk membantu UMNO Selangor khasnya menawan semula Selangor dalam Pilihan Raya Umum 14 nanti.Nampaknya masih ada yang yakin beliau mempunyai tumbukan atau “gigitan’ yang berbisa.

Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak begitu yakin bahawa penyertaan semula Muhammad dalam UMNO bakal menjadi suntikan semangat untuk UMNO negeri Selangor.Ini mungkin berdasarkan daripada pengalaman Mat Tyson yang pernah menjadi Menteri Besar Selangor dari tahun 1986 sehingga 1997 dan jasanya semasa memegang jawatan Naib Presiden UMNO suatu ketika dahulu.


Ada juga penyokong UMNO yang melihat penyertaan Mat Taib membuktikan bahawa beliau lebih mementingkan agenda bangsa, parti dan negara daripada agenda peribadinya sendiri. Beliau hanya mahu menjadi ahli biasa dan tidak mahu sebarang pangkat. Bagi Mat Taib, dia masih boleh memberikan nasihat dan pandangan serta mungkin boleh membantu merangka strategi untuk mengerak dan melincirkan lagi jentera pilihan raya UMNO Selangor nanti.


Bukan itu sahaja, ada juga yang berharapkan kemasukan Mat Taib kembali ke UMNO akan membuka jalan kepada lebih ramai lagi bekas ahli dan pemimpin UMNO untuk kembali ke pangkuan UMNO. Sebagaimana yang diperkatakan tadi, walaupun beliau agak senyap, namun kita tidak boleh menafikan beliau masih mempunyai pengaruh untuk menyedarkan semula mereka yang sudah meninggalkan UMNO untuk kembali berjuang bersama dengannya.


Sebagaimana yang diramalkan juga, kemasukan Mat Taib telah menimbulkan pelbagai kenyataan negatif daripada pihak pembangkang. Pelbagai gelaran dan sindiran telah dilemparkan. Mungkin mereka lupa yang kini golongan pembangkang sudah bersengkongkol dengan seorang bekas pemimpin yang satu ketika dahulu dianggap sebagai musuh ketat yang tidak boleh dimaafkan. Kini mereka boleh tidur sebantal walaupun mimpi mereka pastinya berbeza.



Antara sebab mengapa Mat Taib tidk lagi berjuang di atas platform pembangkang ialah kerana beliau dapati parti parti tersebut tidak berupaya untuk memperjuangkan nasib rakyat, dan membangunkan negara ,tidak sebagaimana UMNO dan Barisan Nasional yang sentiasa ikhlas memperjuangkan nasib rakyat , tanpa mengira apa jua bangsa dan agama.
Dalam hal ini UMNO Selangor dinasihatkan supaya jangan membuang masa dan menggunakan peluang yang ada untuk terus bekerjasama dan bekerja rapat dengan Mat Taib. Pengalaman beliau semasa menjadi Menteri Besar dan juga ketika berjuang dengan barisan pembangkang begitu berguna sekali untuk dijadikan sebagai panduan dalam mengatur strategi untuk menawan Selangor semula.