Rabu, Jun 27, 2018

PERDANA MENTERI BILIONAIRE RAKYAT PAPA KEDANA

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Nilai barang mewah yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh cecah RM1.1 bilion, kata pegawai kanan polis hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh berkata nilai rampasan itu dianggarkan RM900 juta hingga RM1.1 billion mengikut harga pasaran.

Selain RM116.7 juta wang tunai terdiri daripada 26 jenis mata wang yang dirampas, sebanyak 12,000 barang kemas, 567 beg tangan, 423 utas jam tangan, 234 cermin mata turut dirampas.

Di segi barang kemas, ia mempunyai nilai pasaran dianggarkan sekitar RM660 juta hingga RM880 juta. Ia termasuk 1400 utas rantai; 2,200 cincin; 2,100 gelang; 2,800 pasang subang; 1,600 keronsang dan 14 tiara.

"Barang kemas termahal yang dirampas dari serbuan ke premis berkaitan Najib ialah seutas rantai leher bernilai RM6.4 juta, " katanya pada sidang media di sini.

Amar Singh berkata bagi beg tangan pula, ia terdiri daripada 37 jenama terkemuka antaranya Bijan, Hermes, Prada dan Chanel.

"Nilai bagi 272 beg Hermes yang dirampas sahaja dianggarkan RM 51.3 juta. Yang lain (beg tangan) masih belum dinilai kerana masih menunggu pakar untuk dinilai, ​ " katanya.

Jam tangan 423 utas itu pula melebihi 100 jenama antaranya Rolex, Chopard dan Richard Mille, kesemuanya bernilai RM78 juta.




Cermin mata pula, kata Amar Singh terdiri daripada 34 jenama antaranya Versace dan Gucci, kesemuanya dianggarkan bernilai RM374,000.

Katanya rampasan itu melibatkan penggeledahan di enam kediaman yang dikaitkan dengan Najib dan dua anaknya di Putrajaya serta Kuala Lumpur pada 16 dan 17 Mei lalu, termasuk kediaman peribadi Najib sendiri di ibu negara.

Amar Singh berkata lapan pasukan khas melibatkan 150 pegawai polis dan pakar barangan berjenama mengambil masa 36 hari untuk mengira kesemua barang rampasan tersebut.

Menurutnya proses pengiraan nilai barang rampasan terpaksa mengambil masa yang lama kerana ia melibatkan beberapa pakar barang kemas dan pakar barang berjenama.

Kesemua wang tunai dan barang kemas kini ditempatkan di Bank Negara, katanya.

Najib yang gagal mempertahankan jawatan perdana menteri setelah Barisan Nasional kecundang pada pilihan raya umum 9 Mei lepas, sebelum ini dilaporkan mendakwa barangan tersebut adalah �hadiah´

Amar Singh berkata pihaknya kini sedang menyiasat dakwaan Najib itu bagi menentukan status barangan berkenaan sebelum mengambil tindakan lanjut.

Beliau berkata polis akan mengambil keterangan Najib dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam masa terdekat bagi membantu siasatan.

Najib kini dalam siasatan membabitkan skandal 1MDB yang mana beliau secara konsisten menafikan terlibat dalam sebarang perbuatan salahlaku.

Amar Singh turut berkata keterangan 30 orang telah diambil bagi membantu siasatan kes 1MDB setakat ini.

-- BERNAMA



PEMIMPIN YANG BERMASALAH DAN BUKANNYA UMNO



KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) --Tengku Razaleigh Hamzah berkata kehadiran UMNO di Sabah diterima baik oleh rakyat negeri itu serta berjaya memainkan peranannya dengan efektif.

Malah katanya UMNO bukan parti yang bermasalah, sebaliknya yang menjadi isu adalah kepimpinan parti itu yang tidak diterima rakyat.

“Rakyat sangat gembira dengan matlamat UMNO dan tujuan parti itu ditubuhkan serta perjuangannya namun rakyat tidak gembira dengan karakter dan tabiat sesetengah pemimpin parti itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin UMNO Sabah, di sini hari ini.

Menurut wakil rakyat Parlimen Gua Musang itu isu integriti dan kredibiliti pemimpin UMNO membimbangkan rakyat, justeru sudah tiba masanya anggota parti mengubah keadaan berkenaan.

“Inilah (integriti dan kredibiliti kepimpinan UMNO) yang menjadi kebimbangan rakyat dan inilah yang perlu diperbetulkan. Kita amat serius dalam menjaga kebajikan rakyat dan kebajikan rakyat inilah yang perlu diambil berat,” katanya.