Rabu, Jun 27, 2018

PEMIMPIN YANG BERMASALAH DAN BUKANNYA UMNO



KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) --Tengku Razaleigh Hamzah berkata kehadiran UMNO di Sabah diterima baik oleh rakyat negeri itu serta berjaya memainkan peranannya dengan efektif.

Malah katanya UMNO bukan parti yang bermasalah, sebaliknya yang menjadi isu adalah kepimpinan parti itu yang tidak diterima rakyat.

“Rakyat sangat gembira dengan matlamat UMNO dan tujuan parti itu ditubuhkan serta perjuangannya namun rakyat tidak gembira dengan karakter dan tabiat sesetengah pemimpin parti itu,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin UMNO Sabah, di sini hari ini.

Menurut wakil rakyat Parlimen Gua Musang itu isu integriti dan kredibiliti pemimpin UMNO membimbangkan rakyat, justeru sudah tiba masanya anggota parti mengubah keadaan berkenaan.

“Inilah (integriti dan kredibiliti kepimpinan UMNO) yang menjadi kebimbangan rakyat dan inilah yang perlu diperbetulkan. Kita amat serius dalam menjaga kebajikan rakyat dan kebajikan rakyat inilah yang perlu diambil berat,” katanya.