Isnin, Jun 25, 2018

BEKAS KETUA PUTERI SINDIR KUMPULAN "UMNO BANGKIT"

MELAKA, 25 Jun (Bernama) -- Laungan 'UMNO bangkit' hanyalah dianggap sesuatu yang retorik semata-mata sekiranya tiada perubahan total yang dilaksanakan terhadap parti itu, kata bekas Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata anak muda akan membandingkan kepimpinan baharu sayap parti itu terutama Puteri UMNO dengan pemimpin muda dari parti politik memerintah, justeru pemimpin berkenaan perlu bersedia untuk menongkah arus sebagai pemimpin pembangkang dan komited terhadap perubahan total.

"Saya sentiasa mengikuti dengan dekat pemilihan pada kali ini meskipun saya tidak bertanding apa-apa jawatan dalam parti."

"Besar harapan saya dan yang lain, pemilihan peringkat Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden, Majlis Tertinggi UMNO serta kepimpinan bahagian pada 30 Jun ini lebih menampakkan perubahan yang dinanti orang Melayu yang mahukan UMNO pulih semula," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Datuk Zahida Zarik Khan yang dipilih menggantikan dirinya sebagai Ketua Pergerakan Puteri UMNO serta Datuk Dr Noraini Ahmad dipilih Ketua Pergerakan Wanita UMNO dan Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dipilih Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia.