Sabtu, Jun 09, 2018

BERSABARLAH ANWAR



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengamanahkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan kuasa untuk mengawasi beberapa syarikat terbesar negara yang secara kolektif bernilai lebih RM1 trilion, menurut akhbar Singapura, The Straits Times.

Menurut laporan itu, langkah terkini memberi kuasa kepada Azmin boleh mencetuskan persaingan dalam parti komponen HARAPAN dan membolehkan Mahathir mendapat kelebihan ke atas Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Akhbar harian berbahasa Inggeris itu memetik sumber yang mengatakan syarikat-syarikat yang diletakkan di bawah pengawasan kementerian akan merangkumi gergasi minyak negara Petronas, dana pelaburan negara Khazanah Nasional dan pengurus hartanah Perbadanan Nasional Berhad.

Selain itu, bidang kuasa menteri hal ehwal ekonomi juga meliputi agensi yang bertanggungjawab terhadap kebajikan orang Melayu-Islam seperti Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Tabung Haji serta unit dan jabatan kerajaan yang membantu usahawan Melayu.

Felda dan Tabung Haji yang dicemari pelbagai skandal berprofil tinggi semasa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak kini ditempatkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Bidang kuasa ini begitu luas yang merancang untuk menempatkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah menteri hal ehwal ekonomi kemungkinan akan dibatalkan," kata sumber yang biasa dengan penstrukturan semula berkenaan.

Laporan itu menyebut bahawa Mahathir telah membuat "isyarat besar" untuk melantik Azmin kerana pemindahan Petronas, Khazanah dan lebih daripada 60 syarikat lain - sebelum mengambil kira mana-mana subsidiari (anak syarikat)- akan menjadi satu proses rumit yang mungkin memerlukan pindaan undang-undang serta kelulusan parlimen.

Laporan itu mendakwa tindakan Mahathir itu sebagai satu lagi strategi "dasar pecah dan perintah" selain berkata ini kerana partinya BERSATU hanya menang 13 kerusi parlimen manakala PKR mendapat 49 kerusi - kerusi paling banyak di antara parti komponen HARAPAN.

Laporan itu berkata Azmin dilantik jawatan menteri utama walaupun cubaan PKR untuk mendapatkan satu daripada empat portfolio utama - kewangan, kementerian dalam negeri, pertahanan atau pendidikan - ditolak semasa peringkat awal rundingan.

Menurut laporan itu lagi, langkah Mahathir memberi kuasa kepada Azmin telah mencetuskan kerisauan di kalangan penyokong Anwar.

Ulasan saya, hari ini 9 Jun genap sebulan Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan pusat. Usaha untuk melaga-lagakan di antara  Dr Mahathir dengan  Anwar nampaknya berterusan selepas Anwar keluar dari penjara. Ia menggambarkan seolah-olah Anwar tidak sabar jadi PM kelapan.

Kita harus ingat jika bukan Mahathir ketuai PH pada PRU14 bulan lepas, belum tentu PH menang. Ia adalah kerana aura Dr Mahathir yang menyebabkan pengundi muda mengundi PH. Terbukti Anwar sudah ketuai Pakatan Rakyat (PR) pada PRU13 tetapi Anwar gagal menumbangkan BN.

Anwar kena terima hakikat faktor Dr Mahathir yang berjaya menumbangkan BN. Oleh itu beliau jangan gopoh seperti pada tahun 1998. Biarlah Dr Mahathir memulihkan negara dalam masa dua tahun ini. Seperti kata Tun Dr Siti Hasmah, kesian kepada Dr Mahathir yang tidur lewat membaca segala dokumen untuk membetulkan Malaysia. 

Dengan umur 93 tahun apa lagi Dr Mahathir mahu. Tetapi demi negara beliau sanggup korbankan dirinya demi mengembalikan semula imej Malaysia. Oleh itu Anwar jangan bimbang. Peralihan kuasa akan tetap berlaku kepada beliau dan bukannya kepada Azmin Ali.

Rafizi Ramli pun janganlah hentam Dr Mahathir. Dr Mahathir sedar Parti Bersatu hanya ada 12 kerusi tetapi Dr Mahathir menjadi PM kerana ehsan PKR dan DAP.  Sebab itu beliau panggil Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya bubarkan Umno dan semua ahli parlimen Umno menyertai Bersatu supaya Bersatu menjadi parti dominan mengatasi PKR dan DAP.

Zahid enggan membubarkan Umno kerana beliau dikatakan lebih suka bekerjasama dengan Anwar. Selepas mesyuarat majlis tertinggi Umno selepas BN tumbang, Zahid pernah berkata kalau berlaku rundingan dengan mana mana pihak ia hendaklah secara en bloc dan bukannya berunding secara individu untuk menentukan masa depan Umno.

Berapa lamakah PH dapat  bertahan? Ada yang ramalkan tidak sampai 100 hari. Oleh itu jika mahu PH mahu kekal lama, penyokong Anwar hendaklah menerima Dr Mahathir sebagai PM sepenuhnya. Jangan depan cakap lain belakang cakap lain. Beri peluang kepada Dr Mahathir susun semula negara.  Beliau sedar beliau tidak lama di situ. Maka tak perlulah buang masa untuk adakan pilihanraya kecil untuk Anwar sekarang. Tunggulah dua tahun lagi Anwar jadi ahli parlimen.