Sabtu, Januari 31, 2015

BEKAS SETIAUSAHA POLITIK IDRIS JUSOH DIPENJARA TIGA BULAN

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini memerintahkan ahli perniagaan Datuk Dr Ahmad Ramzi Mohamad Zubir menjalani hukuman penjara tiga bulan kerana menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) ugutan kepada tiga bekas wakil rakyat Barisan Nasional dan SMS fitnah kepada bekas Setiausaha Sulit Kanan (SUSK) Menteri Besar Terengganu, pada 2009. Panel tiga hakim diketuai Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara membuat keputusan tersebut selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepas dan membebaskan Ahmad Ramzi. Ahmad Ramzi, 43, yang merupakan bekas Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu sebelum ini dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Sesyen sebelum pihaknya merayu ke Mahkamah Tinggi. Setelah mendengar rayuan Ahmad Ramzi yang diwakili peguam Hisham Teh Poh Teik Abdullah dalam prosiding hari ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan untuk setiap pertuduhan dan ia berjalan secara serentak bermula hari ini setelah ketiga-tiga hakim menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman. Dalam penghakiman yang dibacakan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki, mahkamah mendapati Hakim Mahkamah Tinggi telah terkhilaf semasa membuat keputusan melepas dan membebaskan Ahmad Ramzi pada 29 Dis 2013. Hakim Mohtaruddin berkata Mahkamah Tinggi tidak menilai secara menyeluruh keterangan kesemua saksi dan hanya bergantung kepada keterangan pembelaan Ahmad Ramzi bahawa 'router' (medium penghantaran SMS) milik Ahmad Ramzi mengalami mengalami masalah teknikal ketika itu. Katanya, sejak dari awal prosiding pihak pendakwaan telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes Ahmad Ramzi dan mendapati bahawa Mahkamah Sesyen tidak terkhilaf ketika menjatuhkan hukuman untuk kesemua pertuduhan. Tambahnya, Mahkamah Sesyen juga telah memenuhi elemen-elemen yang diperlukan dalam kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Ramzi. Pada Jun 2009, Ahmad Ramzi didakwa mengugut bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka Mohd Ariffin Abdullah, bekas ADUN Permaisuri Abd Halim Jusoh dan bekas ADUN Ajil Datuk Rosol Wahid di Kampung Kubang Parit di sini, antara 11.21 malam dan 11.25 malam pada 13 April 2009. Tertuduh juga didakwa memfitnah bekas SUSK menteri besar Terengganu Datuk Wan Ahamad Wan Muda dengan menghantar SMS ugutan berkenaan melalui nombor telefon bimbit milik Wan Ahamad. Bagi kesalahan itu, Ahmad Ramzi didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 507 dan 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda jika sabit kesalahan. -- BERNAMA