Sabtu, Mac 17, 2012

SHIRO TEPATI RAMALAN


Kumpulan Shiro menepati ramalan ramai pihak apabila diisytiharkan sebagai juara Raja Lawak musim ke 6 (RL6) dalam Gelanggang Akhir Raja Lawak 6 yang berlangsung di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya, malam tadi.

Kemenangan Shiro telah diumumkan oleh pasangan hos RL6, Johan dan Zizan dan dengan kemenangan ini, Shiro telah membawa pulang wang tunai RM100,000 beserta sebuah trofi sumbangan Astro. Shiro dianggotai oleh Shahrol Azizie Bin Azmi atau Sharol, 27 dan Mohd Hanaffi Bin Razak atau Ajak, 25. Mereka merupakan anak didik kepada Cif Kecil Tauke.

Sementara itu, sebuah lagi kumpulan yang juga merupakan anak didik kepada Tauke iaitu Zero telah diisytiharkan sebagai naib juara RL6. Trio adik beradik dari Kudat, Sabah ini membawa pulang wang tunai RM50,000 serta sebuah trofi sumbangan Astro.
Wakil dari utara, kumpulan Cuit pula menduduki tempat ketiga dan tiga sekawan dari Pulau Pinang ini membawa pulang wang tunai RM30,000 serta sebuah trofi sumbangan Astro. Cuit adalah anak didik kepada Cif Kecil Yus.

Manakala kumpulan 2yol yang merupakan anak didik Cif Kecil Angah, menduduki tempat keempat dan pulang membawa wang tunai RM10,000 beserta trofi sumbangan Astro.

Gelanggang Akhir Raja Lawak 6 telah bersiaran secara langsung di Astro Warna (saluran 132) dan Astro Prima (saluran 105) dan pada minggu ini, dua tema telah diberikan kepada para peserta. Tema pertama ialah bebas iaitu peserta diberi kebebasan membuat persembahan berdasarkan idea dan kreativiti mereka sendiri.


Tema kedua pula ialah muzikal komedi dan setiap peserta diberi genre yang berbeza di mana Zero mendapat tugas bergenrekan rock, 2yol bergenre pop yeh yeh, Cuit (Bollywood) dan Shiro (dangdut).

Juri tetap untuk malam final ini ialah seperti biasa penerbit terkenal David Teoh, pelakon Sheila Rusly, dan pelawak Sathiya.