Sabtu, Julai 12, 2014
MESYUARAT PERWAKILAN BAHAGIAN UMNO BERMULA 8 OGOS
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak
berkata tempoh Mesyuarat Agung Bahagian Umno yang
bermula 8 Ogos ini akan dilanjutkan kepada 30 September ini berbanding tarikh
sebelumnya, iaitu sehingga 14 September.
Tempoh mesyuarat itu dilanjutkan kerana Umno telah meminda tarikh
Perhimpunan Agungnya tahun ini kepada 25 hingga 29 November depan, katanya.
Sebelum ini, perhimpunan itu dijadual berlangsung pada 28 Oktober hingga 1
November.
Beliau juga mengingatkan anggota Umno supaya sentiasa berhati-hati dalam mengeluarkan
sesuatu kenyataan atau pendapat kerana pandangan mereka itu boleh memberi kesan
terhadap pandangan pihak luar kepada parti itu.
Sesuatu kenyataan atau pandangan yang dibuat oleh anggota Umno tidak
sepatutnya menyentuh perkara-perkara yang bertentangan dengan prinsip dan dasar
perjuangan parti, kata Najib yang juga Perdana Menteri kepada pemberita
selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, di sini semalam.
Beliau berkata ini adalah kerana kenyataan yang mereka keluarkan itu sedikit
sebanyak mencerminkan kepada orang luar mengenai Umno, Majlis Tertinggi Umno dan
kedudukan seseorang pemimpin parti itu.
"Sebagai contoh sekiranya kita Anggota Parlimen, apa yang kita suarakan itu
mereka di luar akan melihat (sebagai) kewibawaan Anggota Parlimen Barisan
Nasional," katanya.
Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai tindakan Anggota
Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin yang berkata dalam catatan
Twitternya "Well done...Bravo...Long live Hitler.." sejurus selepas pasukan bola
sepak Jerman menewaskan Brazil 7-1 pada perlawanan peringkat separuh akhir Piala
Dunia, Rabu lepas.
Najib berkata Umno tidak mempunyai perundangan spesifik bagi menghukum
anggotanya yang mengeluarkan pandangan di laman sosial yang disifatkan
bertentangan dengan prinsip parti.
Bagaimanapun, beliau berkata setiap anggota Umno kini menyedari perkara itu,
dan mereka tidak akan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan dan pandangan
menyalahi prinsip dan dasar parti.
"Sebab itu saya ambil keputusan cepat untuk menegur beliau (Bung Moktar),
dan beliau telah minta maaf dan menarik semula kenyataan itu," katanya.
Bung Moktar sebelum ini dikecam pelbagai pihak ekoran catatan Twitterya itu
yang dianggap memuji atau menyatakan sokongan terhadap rejim fasis Adolf Hitler.
Semalam Najib berkata di laman Twitternya bahawa komen-komen yang dibuat oleh
Bung Moktar "tidak boleh diterima dan salah", dan Anggota Parlimen Kinabatangan
itu "akan menarik balik" komennya itu.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)