Khamis, Mei 12, 2016

KEHEBATAN LEICESTER CITY PERLU DIJADIKAN IKHTIBAR



Oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN




Kejayaan Leicester menjulang Liga Perdana Inggeris membuktikan mengapa sukan bolasepak akan sentiasa menjadi sukan nombor satu dunia. Apa yang dicapai oleh Leicester City boleh dikategorikan sebagai antara pencapaian sukan yang paling cemerlang dalam sejarah bolasepak dunia.




Pada awal musim, pasukan ini merupakan antara 3 pasukan pilihan yang bakal disingkirkan dari liga utama.Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya dan yang lebih penting telah membuktikan yang kejayaan tidak boleh dibeli dengan wang , sebagaimana yang cuba dilakukan oleh kelab ternama Inggeris yang lain seperti Manchester City, Manchester United dan Chelsea.




Leicester juga tidak dibarisi oleh para pemain yang bertaraf bintang dan tidak dibeli dengan harga puluhan juta pound sterling .Bahkan kebanyakan pemain-pemain ini pernah disingkir dan dibuang oleh kelab ternama kerana tidak layak untuk menyarung jersi mereka.




Manakala pengurus pasukan ini , Claudio Raneiri bukanlah nama lagenda dalam dunia pengurusan , walaupun pernah mengurus pasukan seperti Chelsea , Juventus, Roma, Monaco, Atletico Madrid dan juga Inter Milan.




Kejayaan Leicester ini sebenarnya boleh dijadikan sebagai iktibar kepada pasukan bolesepak kebangsaan kita.Pasukan yang bergelar The Foxes tidak tahu erti putus asa dan yakin kepada diri sendiri bahawa pasukan ini mampu menewaskan pasukan yang bergelar gergasi di liga Inggeris.




Malaysia kini berada di kedudukan 174 dalam ranking pasukan terbaik dunia.Ini merupakan kedudukan yang paling bawah dalam sejarah bolasepak negara. Bahkan kedudukan terbaharu itu meletakkan Malaysia sebaris dengan beberapa negara seperti Samoa (170), Timor Leste (175), Bangladesh (177) dan Nepal (179), yang mana negara-negara ini tidak mempunyai kemudahan dan infrastruktur bola sepak yang lengkap dan canggih.




Mungkin generasi hari ini tidak merasai zaman kegemilangan bola sepak negara satu ketika dahulu. Malaysia pernah melayakkan diri ke Sukan Olimpik 1972 di Munich dan juga 1980 di Moskow. Malaysia juga pernah memenangi pingat gangsa dalam Sukan Asia tahun 1974 yang berlangsung di Teheran.





Manakala kejayaan negara menjuarai beberapa piala antarabangsa seperti Presidents Cup di Korea Selatan, Piala Anniversary Jakarta di Indonesia, King’s Cup di Thailand dan Pesta Bolasepak Merdeka di Malaysia menjadikan negara kita digeruni hingga ke peringkat Asia.Malaysia juga pernah menwaskan pasukan Arsenal 2-0 dan seri dengan pasukan England B 1-1 pada tahun 70an dahulu.




Kita tinggalkan seketika pengajian sejarah. Apa yang lebih penting ialah melihat kejayaan Leicester City , sebuah pasukan kerdil yang telah membuktikan bahawa adalah tidak mustahil untuk menempa kejayaan. Kita harus terima hakikat yang Malaysia kini merupakan pasukan kerdil dalam dunia bolasepak dunia. Namun ini tidak bermakna yang kita mestu terus berpuas hati dengan kedudukan kita sekarang.




Kejayaan pasukan JDT di peringkat Asia membuktikan yang kita mampu melakukannya. Dan saya yakin, Malaysia juga boleh bangkit dan terus bersaing dengan pasukan gergasi Asia yang lain. Saya tidak mahir dalam memberi nasihat tentang perancangan yang telah dan bakal dilaksanakan untuk menaikkan semula sukan bolasepak.




Apa yang saya boleh sarankan ialah para pemain kita mengambil iktibar daripada kejayaan pasukan Leicester City.Walaupun mungkin ada para pemain tempatan yang pernah dibuang atau disingkirkan dari pasukan ternama, ini tidak bermakna yang anda tidak berpeluang langsung untuk mencipta kejayaan. James Vardy , penyerang utama Leicester contohnya, bukanlah satu nama yang hebat setahun yang lalu. Hari ini Vardy mungkin akan mengetuai barisan serangan England dalam Euro 2016 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.




Apa yang penting ialah para pemain kita perlu memiliki semangat yang kuat dan yakin pada keupayaan sendiri , sebagaimana yang dibuktikan oleh para pemain Leicester City. Dengan berbekalkan elemen-elemen ini serta yang berkaitan dengan pengetahuan yang tinggi tentang teknik dan taktikal bolesepak ,mungkin satu hari nanti, usaha ini akan membuahkan hasil dan meletakkan semula nama Malaysia sebaris dengan pasukan gergasi Asia seperti Korea Selatan , Arab Saudi, Australia dan Jepun

Catatan: Penulis biasa menonton  perlawanan bolasepak dunia di Espana, Sepanyol pada 1982 selama sebulan menikut Fan Club England di mana Italy mengalahkan Jerman di perlawan akhir.