Isnin, Oktober 23, 2017

KAMI KEKAL LEGENDA YANG BAWA MALAYSIA KE SUKAN OLIMPIK KATA JAMAL NASIR

KUANTAN, 22 Okt (Bernama) -- Bekas pemain bola sepak kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail tidak terguris dengan gesaan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang meminta beliau agar berehat di 'muzium', kerana pandangan yang dilontarkannya sebelum ini adalah ikhlas.

Jamal Nasir berkata apa yang diluahkan itu hanyalah semata-mata mahu melihat pasukan bola sepak negara kembali bangkit mencatat kegemilangan sebagaimana suatu ketika dahulu.

"Saya sebagai bekas pemain kebangsaan atau atlet, saya juga ada pengalaman menjadi jurulatih, pengurus pasukan dan anggota jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

"Sebab itu, saya boleh menilai berdasarkan pengalaman yang ada, tapi beliau hanya seorang Menteri Belia dan Sukan yang datang dan pergi, tetapi kami (bekas pemain) kekal sebagai legenda yang pernah membawa nama Malaysia ke Sukan Olimpik yang gagal diatasi sehingga kini.

"Oleh itu, saya nasihatkan beliau sudah-sudahlah mengecilkan orang lain, saya berani komen kerana ikhlas dari sudut hati dan bukan kerana benci Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) atau Johor Darul Ta'zim (JDT)," katanya ketika ditemui pemberita pada Kejohanan Bola Sepak Veteran Empat Penjuru bersempena memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.