Sabtu, Mac 07, 2009

PERKASA PATUT JADI PARTI POLITIK


Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Haji Ibrahim Ali berkata beliau akan merujuk kepada 1,500 petugasnya di Pasir Mas jika mahu menyertai mana-mana parti politik.

"Terpulang kepada mereka. Jika mereka bersetuju saya menyertai UMNO, saya akan menyertainya," kata beliau selepas mengadakan sidang akhbar mengenai program PERKASA yang diketuainya pada 23 Mac depan.

Katanya, beliau kecil hati dengan UMNO kerana telah menggugurkannya sebagai ketua penaja UMNO Pasir Mas sebelum pilihan raya umum 2004 dahulu. Dalam pada itu beliau juga kecil hati dengan PAS kerana menyuruhnya beliau membuat pendirian sama ada mahu menyokong BN atau PAS.

Beliau akui beliau jalin pakatan dengan PAS untuk bertanding sebagai calon bebas dalam pilihan raya umum 2008 tetapi beliau tidak suka PAS menjalin pakatan dengan PKR dan DAP yang tidak menjamin masa depan ketuanan Melayu.

Pada hemat saya, sepatutnya Ibrahim Ali menukarkan NGO yang diketuainya, PERKASA sebagai parti politik. Apatah lagi orang Melayu sudah muak dengan UMNO. Bila sebut nama UMNO orang Melayu naik loya.

Oleh itu UMNO sudah tidak boleh diterima oleh orang Melayu. Mereka juga enggan menerima PAS kerana PAS yang kononnya memperjuangkan Islam tetapi sanggup bersekongkol dengan DAP. Begitu juga mereka tidak dapat menerima parti multi-racial seperti PKR.

Oleh itu orang Melayu perlukan parti baru.Jadi apa salahnya PERKASA dijadikan parti politik kerana ia memperjuangkan ketuanan Melayu. Malah ia adalah satu alternatif yang baik kepada UMNO kerana imej UMNO sudah tercemar dengan pemimpinnya yang rasuah dan sebagainya.

Soalnya, adakah Ibrahim Ali bercadang berbuat demikian? Bila ditanya dalam sidang akhbar itu, beliau berkata PERKASA sendiri belum adakan mesyuarat agung pertama lagi.

Kalau kita lihat pendokong PERKASA adalah terdiri dari ahli-ahli politik seperti Ibrahim Ali, Fuad Hassan, Ruhanie Ahmad dan lain-lain, maka tidak mustahil suatu hari nanti PERKASA akan jadi sebuah parti politik.

Tetapi yang lucunya PERKASA menjemput Tun Dr. Mahathir Mohamad menyampaikan ucapantamanya di perhimpunan PERKASA pada 23 Mac ini yang nyata bertentangan dengan tujuan penubuhan PERKASA yang kedua, memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sedangkan Dr. Mahathir sendiri tidak memperkasakan bahasa Melayu apabila menyuruh rakyat belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.