Isnin, September 11, 2017

UPSR AKAN DITERUSKAN SEHINGGA MASA SESUAI

KOTA KINABALU, 11 Sept (Bernama) -- Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diteruskan sehingga tiba masa yang sesuai untuk ia digantikan dengan sistem lain.

Beliau berkata kajian untuk mengenal pasti sistem yang sesuai masih dijalankan yang melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk ibu bapa.

"UPSR akan diteruskan sehingga kita selesai (berbincang dengan semua pihak). Urusan ini panjang (mengambil masa yang lama). Urusan dengan ibu bapa, profesional, kesatuan, ahli akademik, semua sekali perlu duduk bersama.

"Bukan mudah kalau hendak buat sesuatu yang luar biasa ini (menukar UPSR). Jadi UPSR akan berjalan dulu sehinggalah (tiba) masa yang sesuai kita tukar," katanya kepada pemberita.

Beliau melawat Sekolah Kebangsaan Sri Gaya di sini bagi meninjau perjalanan UPSR yang bermula di seluruh negara hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan, Tan Sri Dr Khair Mohamad Yusof dan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Maimunah Suhaibul.

Seramai 443,794 calon UPSR di seluruh negara termasuk kira-kira 44,000 di Sabah menduduki peperiksaan itu yang daripada jumlah berkenaan seramai 433,536 murid merupakan calon sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan manakala selebihnya adalah calon sekolah swasta.

Sementara itu Mahdzir berkata laporan pencapaian murid Tahun 6 bagi tahun ini akan dibuat secara holistik merangkumi bukan sahaja aspek akademik atau keputusan UPSR, tetapi juga aspek kokurikulum, sahsiah diri, sukan dan sebagainya di bawah Pentaksiran Berasaskan Sekolah.

"Jadi markah bagi seseorang pelajar itu bukan sahaja dalam akademik. Kita hendak lihat pencapaian pelajar itu secara holistik. Sebab itulah guru kena bagi (markah) di sekolah," katanya.

Menurutnya, pentaksiran berkenaan adalah untuk faedah pelajar sendiri apabila mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi kelak.

-- BERNAMA