Sabtu, Julai 11, 2015

SELAMAT HARI JADI MAHATHIR

Walaupun tarikh lahir Tun Dr Mahathir Mohamad dicatat dalam surat beranak pada 20 Disember 1925 tapi sebenarnya beliau dilahirkan pada 10 Julai 1925. Orang zaman dahulu biasa lapor lambat ketika nak buat surat beranak di balai polis.

Syukur kepada Allah kerana Dr Mahathir berusia panjang 90 tahun. Bukan mudah untuk mencapai usia sepanjang itu tetapi dalam keluarga Dr Mahathir semuanya berusia panjang, 80an seperti mana kakak-kakaknya. Oleh itu tidak hairan Dr Mahathir dapat merasa harijadi yang ke 90.

"Saya berdoa semua orang akan dapat merayakan ulangtahun yang ke 90," kata Dr Mahathir ketika diminta oleh Malaysiakini mengucapkan ucapan kepada rakyat Malaysia. Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan sambil mengucapkan selamat hari jadi kepada Dr Mahathir meminta bekas Perdana Menteriitu  tidak lagi menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir tidak pernah mimpi jadi Perdana Menteri kerana dia tahu Umno adalah parti faudal. Perdana Menteri Malaysia yang pertama ialah anak raja, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj manakala penggantinya Tun Razak Hussein adalah dari golongan bangsawan.

Ia diikuti oleh biras Razak, Tun Hussein Onn yang juga dari golongan bangsawan. Oleh itu Dr Mahathir terkejut apabila Hussein Onn memilihnya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1976 sedangkan beliau bukan dari golongan bangsawan. Ketika itu Hussein mahu melantik Tun Ghazali Shafie sebagai timbalannya tapi ditentang oleh tiga Naib Presiden Umno iaitu Tun Ghafar Baba, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah  ( Ku Li) dan Dr Mahathir Mohamad.

Kalau nak meneruskan tradisi feudal Umno, Hussein Onn sepatutnya pilih Ku Li sebagai timbalannya tetapi Hussein pilih anak guru besar sekolah sebagai bakal penggantinya. Ketika Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai PM Malaysia yang keempat pada 16 Julai 1981, Dr Mahathir berusia 56 tahun. Usia orang dah pencen. Beliau sendiri tidak sangka dapat berkhidmat untuk negara selama 22 tahun sehingga berusia 78 tahun.

Dr Mahathir terhutang budi kepada Razak yang melantiknya sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1974 sedangkan beliau tidak pernah menjadi setiausaha parlimen atau timbalan menteri. Dengan jawatan itu beliau memenangi jawatan naib presiden Umno pada tahun 1975 yang mana jawatan itu adalah calon timbalan perdana menteri. Sedangkan pada tahun 1972 beliau tewas dalam pertandingan Naib Presiden Umno tersebut.

Jasa Dr Mahathir amat besar kepada negara. KLCC, KLIA, Putrajaya semuanya adalah tinggalan Dr Mahathir yang akan terus diingati oleh rakyat Malaysia. Di zaman Dr Mahathir, kita lihat beliau mempunyai empat orang timbalan.

Bermula dengan Tun Musa Hitam sehingga dilabel oleh media sebagai pemerintahan 2M, sedangkan ia adalah pemerintahan Dr Mahathir, Musa akhirnya yang tidak tahan dengan karenah Dr Mahathir meletakkan jawatan pada tahun 1986. Musa naik di atas sokongan Dr Mahathir yang tidak mahu Umno menjadi parti feudal sekali lagi. Sebab itulah beliau menyokong Musa menentang Ku Li bagi jawatan timbalan presiden Umno sedangkan beliau sudah berjanji kepada Hussein Onn untuk memilih Ku Li sebagai timbalannya. Tetapi Dr Mahathir memberi alasanbahawa  perwakilan Umno yang menolak Ku Li sebagai bakal timbalan presiden Umno.

Selepas Musa meletakkan jawatan, Dr Mahathir melantik Ghafar Baba sebagai timbalan perdana menteri yang baru pada 10 Mei 1986. Ghafar tidak tahan lama apabila dicabar oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 1993. Ghafar tarik diri kerana Anwar mendapat pencalonan lebih dari 95 peratus dari seluruh negara.

Maka Anwar dilantik timbalan perdana menteri yang baru oleh Dr Mahathir. Anwar terlalu cepat naik dalam Umno dalam tempoh 11 tahun kerana dinaungi Dr Mahathir. Malah Dr Mahathir melantik Anwar sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1986 untuk mempastikan Anwar terpilih sebagai naib presiden Umno pada tahun 1987. Dr Mahathir melantik Anwar sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1991 sebagai strategi untuk melonjakkan Anwar sebagai bakal timbalan perdana menteri. Sedangkan apa yang Anwar tahu tentang kewangan kerana Anwar bukannya graduan ekonomi.

Tetapi politik naungan Dr Mahathir berjaya meletakkan Anwar sebagai orang nombor dua dalam masa 11 tahun. Anwar bukan yes man maka Dr Mahathir terpaksa menyingkirkan Anwar dari jawatannya pada tahun 1998. Anwar menuduh kes liwatnya merupakan konspirasi Dr Mahathir untuk menyingkirkannya dari politik. Rakyat Malaysia tidak percaya dengan isu liwat maka BN Kelantan dan Terengganu tumbang pada PRU 1999.

Dr Mahathir bernasib baik kerana orang Cina masih menyokong BN. Maka BN menang dengan majoriti dua pertiga. Dengan pemecatan Anwar dari jawatan timbalan perdana menteri, Dr Mahathir memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) daripada Najib dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai timbalannya yang baru.

Ketika itu Dr Mahathir boleh memilih Ku Li sebagai timbalannya. Desas desus ini tersebar apabila Dr Mahathir berbuka puasa di rumah Ku Li. Tetapi Dr mahathir meneruskan tradisi Umno memilih timbalan perdana menteri daripada tiga orang Naib Presiden Umno. Atau mungkin dendam Dr Mahathir kepada Ku Li tidak pernah padam kerana Ku Li menentangnya dalam pertandingan Presiden Umno pada tahun 1987.

Jika Dr Mahathir melantik Ku Li, orang Umno terima kerana orang Umno adalah yes man kepada pemimpin mereka. Tapi Dr Mahathir tak mahu ambil risiko terpaksa memilih Pak Lah yang lemah sebagai penggantinya.

Dr Mahathir berundur pada tahun 2003 dan memberi laluan kepada nice man Pak Lah menerajui negara. Bila jadi PM, baru pecah tembelang Pak Lah, dia tertidur sewaktu sedang mesyuarat. Pak Lah jadi PM remote control. Beliau dicontrol oleh menantunya Khairy Jamaluddin (KJ) dengan budak budak tingkat empat di JPM.

Dr Mahathir menyesal pilih Pak Lah sebagai penggantinya. kalau dia lantik Ku Li sebagai timbalan perdana menteri, perkara seperti ini tidak berlaku. Dr Mahathir marahi Pak Lah kerana enggan membina jambatan bengkok dari Johor ke Singapura. Sebaliknya Pak Lah berlembut dengan pemimpin Singapura yang menambahkan lagi kemarahan Dr Mahathir.

Dr Mahathir mula menyerang Pak Lah. Dia keluar dari Umno kerana tidak dapat menerima kepimpinan Pak Lah yang lemah. Pak Lah berbangga dengan kemenangan besar PRU 2004. Tetapi akibat serangan Dr mahathir kepada Pak Lah, BN gagal mendapat majoriti dua pertiga pada PRU 2008.

Akibat dari kegagalan itu, Pak Lah berundur setelah 6 tahun menjadi PM dan beri laluan kepada Najib sebagai PM keenam. Najib dengan slogan transformasi juga gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU 2013. Tetapi penyokongnya kata prestasi Umno lebih baik mendapat 88 kerusi. Sudah dua kali PRU, 2008 dan 2013, orang Cina sudah tidak mempercayai BN lagi.

Walaupun Najib bersikap liberal menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi lubuk menolong orang Melayu, orang Cina tetap menolak BN pada PRU 2013. Najib persoal tsunami Cina. Namun bantuan kepada sekolah Cina tetap diberikan walaupun orang Cina tidak menyokong BN. Itulah kelemahan Najib yang tidak berani menghukum orang Cina.

Kemuncak dari itu, najib menghapuskan ISA. Dr Mahathir marah kerana ISA adalah senjata akhir untuk menghapuskan politik perkauman. Tetapi najib sudah buang kekebalan itu akibat desakan pembangkang. Malah mereka juga mendesak menghapuskan Akta hasutan tetapi perwakilan Umno tidak bersetuju walaupun Najib sudah berjanji untku menghapuskannya.

Kehilangan RM42 bilion dari 1MDB membuatkan pembangkang mula bising. Dr Mahathir turut campur tangan dan mendesak Najib meletakkan jawatan sekarang supaya BN ada masa tiga tahun untuk mengatasi isu 1MDB sebelum PRU 2018.

Najib enggan meletakkan jawatan kerana bangga dengan darah pahlawan Bugis. Dr Mahathir buat road show untuk menjatuhkan Najib. Maka tersebarlah Wall Street Journal isu wang 1MDB masuk dalam akaun Najib. najib tidak menafikannya sebaliknya berkata dia tidak pernah guna wang untuk tujuan peribadinya.

najib menuduh Dr Mahathir yang memberi maklumat kepada WSJ. Kerana akaun najib itu adalah akaun untuk PRU 2013. Dr mahathir dan Pak Lah ketika menjadi PM pun tentu ada juga akaun pilihanraya seperti itu tetapi Dr Mahathir dan Pak Lah tidak guna akaun peribadinya sebaliknya mungkin atas akaun proksinya.

Tetapi najib tidak cerdik menggunakan akaun peribadinya walaupun akaun itu sudahditutup. Sampai bila Dr Mahathir akan menyerang Najib? Sejauh mana siasatan pasukan khas ini berjaya menyelamatkan najib? Beranikah mereka mendakwa najib?

BN makin lemah dengan serangan Dr Mahathir. Kalau Najib meletakkan jawatan sudah pasti Dr mahathir tidak bising lagi. Maka pilihan yang terbaik bagi Najib meletakkan jawatan secara hormat dan minta maaf kepada rakyat Malaysia seperti kata Dr Mahathir.

jangan tunggu Dr Mahathir keluar dari Umno dan menyerang Najib yang degil meletakkan jawatan. Dr Mahathir mahu menyelamatkan BN dan Umno kerana dia tahu jika Pakatan rakyat berkuasa pada tahun 2018, kes najib tetap akan dibawa ke mahkamah.

Walaupun Najib melantik anak Dr Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah, tetapi Dr Mahathir tetap menegur najib demi kepentingan bangsa, agama dan negara. Jika Pakatan Rakyat menang, apa akan terjadi kepada orang Melayu. Inilah yang membimbangkan Dr Mahathir.

Selamat hari jadi Tun.