Memaparkan catatan dengan label hari. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label hari. Papar semua catatan

Khamis, September 01, 2016

SELAMAT HARI KEBANGSAAN

Selamat Hari Kebangsaan yang ke 59 daripada saya pemilik blog ini. Syukur kita dalam masa 59 tahun kita pelbagai kaum hidup di bumi Malaysia dalam keadaan aman dan makmur. Semoga bumi kita terus dirahmati Allah. Kekalkanlah keamanan ini dan semoga negara kita terus maju dengan acuan kita sendiri. Merdeka, merdeka, merdeka!

Ahad, November 15, 2015

100 HARI ZAHID HAMIDI SEBAGAI TPM


OLEH SHAHBUDIN EMBUN

Tarikh 28 Julai 2015 merupakan satu detik bersejarah bagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Mungkin ramai yang tidak sedar, tetapi Zahid Hamidi sudah memikul tanggungjawab ini lebih daripada 100 hari.

Tentunya ada yang mempersoalkan perlantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Adakah beliau seorang pemimpin yang layak memikul jawatan yang pernah “mengorbankan” beberapa pemimpin sebelum ini? Bolehkah masa depan negara diletakkan pada anak kelahiran Perak ini? Bagaimana pula dengan gandingan beliau bersama Perdana Menteri, Datuk Seti Najib Tun Razak? Dan bagaimana pula dengan kenyataan beliau yang selalu menimbulkan kontroversi ?Adakah ini akan memakan dirinya sendiri?

Terlalu banyak persoalan yang boleh diungkit dan dibincangkan apabila membicarakan tentang kewibawaan dan ketokohan Zahid Hamidi sebagai pemimpin.

Bagi saya, Zahid Hamidi sebelum menjadi Timbalan Perdana Menteri dan selepas memegang jawatan ini, masih merupakan Zahid Hamidi yang sama. Apa yang saya maksudkan ialah beliau tidak takut dengan cabaran dan masih bersuara lantang apabila membicarakan beberapa isu yang penting di negara kita.

 Dan disebabkan kelantangan dan keberanian beliau ini, maka kita tidak boleh menafikan yang Zahid Hamidi dan perkataan kontroversi tidak boleh dipisahkan.Terlalu banyak isu kontroversi yang dikaitkan dengan Zahid Hamidi.

Kenyataan beliau tentang sesuatu isu itu mungkin sukar diterima, namun ramai yang menganggap itulah ketegasan yang diperlukan untuk menangani sesuatu isu itu, walaupun apa yang dikatakannya itu tidak popular. Apa yang pasti Zahid Hamidi tidak mementingkan populariti diri dan sanggup berdepan dengan pelbagai kritikan dari semua pihak.Bagi Zahid Hamidi, lagi hebat lawannya, lagi kuat dia akan berlawan untuk membuktikan kata-kata dan tindakannya itu adalah betul. Itulah ketegasan yang diperlukan untuk menjadi pemimpin.

Itu sebabnya gandingan Najib Tun Razak dan Zahid Hamidi  merupakan gandingan yang sesuai dan mantap, bak kata orang “ada chemistry”. Najib terkenal dengan sifat tenang dan tidak panik walaupun dikritik oleh musuh politiknya, manakala kelantangan Zahid Hamidi memberikan keseimbangan yang diperlukan dalam gandingan ini. Sebenarnya persefahaman ini sudah lama terbentuk iaitu ketika Najib menjadi Menteri Belia dan Sukan, dan beliau telah melantik Zahid Hamidi sebagai setiausaha politiknya.

Najib bukan sahaja melantik seorang menteri yang penuh dengan kewibawaan  dan ketokohan sebagai seorang pemimpin, tetapi telah memilih seorang kawan yang akan berjuang disisinya, dalam keadaan senang dan juga susah. Dalam hal ini, Zahid Hamidi pernah memenegaskan,“Budaya Umno tidak pernah mencampakkan nakhoda kapal itu ke laut.Kita mesti bersama-sama dengan nakhoda kapal itu supaya kapal boleh terus belayar. Semangat inilah yang harus ada pada kepimpinan dan ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi dan peringkat nasional.”

Apa yang dikatakan oleh Zahid Hamidi  perlu dijadikan iktibar oleh ahli-ahli Umno yang lain. Zahid Hamidi juga pernah menjelaskan yang dia tidak mahu budaya sate iaitu “mencucuk, membakar dan mengipas” wujud dalam Umno.Jika budaya ini dapat disingkirkan, maka perpaduan dalam Umno akan lebih mantap.

Apa yang diperjuangkan oleh Zahid Hamidi begitu penting dalam memastikan Umno terus relevan di kalangan rakyat Malaysia. Kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk kepimpinan akan memastikan perjalanan atau pelayaran perjuangan itu sampai ke destinasinya. Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan, kemelut politik yang berlaku hari ini merupakan antara yang paling serius dalam sejarah negara.

Namun Zahid Hamidi tetap yakin, apa pun kemelut yang melanda, semuanya boleh diatasi jika kepimpinan yang ada pada hari ini dipertahankan . Dalam hal ini, Zahid Hamidi telah berjanji akan mempertahankan kerajaan hari ini, sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat melalui saluran demokrasi yang sah.  

"Kita diajar untuk taat kepada pemimpin yang dipilih oleh rakyat dan sokong pemimpin yang baharu, bukan cara Umno tikam dari belakang...setiap krisis kita perlu atasi bersama, bukan ketika senang sahaja kita bersama, semasa susah juga kita perlu bersama," katanya lagi.

Setelah lebih daripada 100 hari menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid sebenarnya tidak perlu membuktikan apa-apa lagi. Bagi mereka yang mengenali Zahid , tentunya tahu yang nama Zahid Hamidi bukanlah nama asing dalam kancah politik negara. Beliau telah melalui susah senang dan perjalanan politiknya telah melalui duri ranjau yang telah memberikan kematangan dan pengalaman yang amat berharga pada diri beliau.

Sebagai seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab yang berat, rakyat Malaysia memerlukan kepimpinan Zahid yang tegas dan bersungguh-sungguh dalam menangani sesuatu isu itu. Itulah trademark kepimpinan Zahid dan beliau telah membuktikan bahawa beliau tidak gentar dengan apa pun cabaran yang ada di depannya.

Kira-kira lebih dari 100 hari yang lalu, iaitu ketika beliau  mula memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid  berjanji akan membantu Perdana menteri memberikan perkhidmatan terbaik dengan segala keupayaan dan pengalaman yang beliau miliki. Beliau telah menepati janjinya itu dan terus memegang amanah tersebut dengan melaksanakan tanggungjawab dengan begitu berkesan sekali.

Zahid sedar bertapa penting dan beratnya tanggungjawab yang dipikul ini dan daripada apa yang ditunjukkan, Zahid berada di landasan yang betul untuk bersama-sama dengan Najib mengembalikan semula keyakinan dan imej Umno dan kerajaan, dan seterusnya membawa kejayaan yang diharapkan oleh rakyat Malaysia.






Sabtu, Julai 11, 2015

SELAMAT HARI JADI MAHATHIR

Walaupun tarikh lahir Tun Dr Mahathir Mohamad dicatat dalam surat beranak pada 20 Disember 1925 tapi sebenarnya beliau dilahirkan pada 10 Julai 1925. Orang zaman dahulu biasa lapor lambat ketika nak buat surat beranak di balai polis.

Syukur kepada Allah kerana Dr Mahathir berusia panjang 90 tahun. Bukan mudah untuk mencapai usia sepanjang itu tetapi dalam keluarga Dr Mahathir semuanya berusia panjang, 80an seperti mana kakak-kakaknya. Oleh itu tidak hairan Dr Mahathir dapat merasa harijadi yang ke 90.

"Saya berdoa semua orang akan dapat merayakan ulangtahun yang ke 90," kata Dr Mahathir ketika diminta oleh Malaysiakini mengucapkan ucapan kepada rakyat Malaysia. Ketua Penerangan Umno Malaysia, Datuk Ahmad Maslan sambil mengucapkan selamat hari jadi kepada Dr Mahathir meminta bekas Perdana Menteriitu  tidak lagi menyerang Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dr Mahathir tidak pernah mimpi jadi Perdana Menteri kerana dia tahu Umno adalah parti faudal. Perdana Menteri Malaysia yang pertama ialah anak raja, Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj manakala penggantinya Tun Razak Hussein adalah dari golongan bangsawan.

Ia diikuti oleh biras Razak, Tun Hussein Onn yang juga dari golongan bangsawan. Oleh itu Dr Mahathir terkejut apabila Hussein Onn memilihnya sebagai Timbalan Perdana Menteri pada tahun 1976 sedangkan beliau bukan dari golongan bangsawan. Ketika itu Hussein mahu melantik Tun Ghazali Shafie sebagai timbalannya tapi ditentang oleh tiga Naib Presiden Umno iaitu Tun Ghafar Baba, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah  ( Ku Li) dan Dr Mahathir Mohamad.

Kalau nak meneruskan tradisi feudal Umno, Hussein Onn sepatutnya pilih Ku Li sebagai timbalannya tetapi Hussein pilih anak guru besar sekolah sebagai bakal penggantinya. Ketika Dr Mahathir mengangkat sumpah sebagai PM Malaysia yang keempat pada 16 Julai 1981, Dr Mahathir berusia 56 tahun. Usia orang dah pencen. Beliau sendiri tidak sangka dapat berkhidmat untuk negara selama 22 tahun sehingga berusia 78 tahun.

Dr Mahathir terhutang budi kepada Razak yang melantiknya sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1974 sedangkan beliau tidak pernah menjadi setiausaha parlimen atau timbalan menteri. Dengan jawatan itu beliau memenangi jawatan naib presiden Umno pada tahun 1975 yang mana jawatan itu adalah calon timbalan perdana menteri. Sedangkan pada tahun 1972 beliau tewas dalam pertandingan Naib Presiden Umno tersebut.

Jasa Dr Mahathir amat besar kepada negara. KLCC, KLIA, Putrajaya semuanya adalah tinggalan Dr Mahathir yang akan terus diingati oleh rakyat Malaysia. Di zaman Dr Mahathir, kita lihat beliau mempunyai empat orang timbalan.

Bermula dengan Tun Musa Hitam sehingga dilabel oleh media sebagai pemerintahan 2M, sedangkan ia adalah pemerintahan Dr Mahathir, Musa akhirnya yang tidak tahan dengan karenah Dr Mahathir meletakkan jawatan pada tahun 1986. Musa naik di atas sokongan Dr Mahathir yang tidak mahu Umno menjadi parti feudal sekali lagi. Sebab itulah beliau menyokong Musa menentang Ku Li bagi jawatan timbalan presiden Umno sedangkan beliau sudah berjanji kepada Hussein Onn untuk memilih Ku Li sebagai timbalannya. Tetapi Dr Mahathir memberi alasanbahawa  perwakilan Umno yang menolak Ku Li sebagai bakal timbalan presiden Umno.

Selepas Musa meletakkan jawatan, Dr Mahathir melantik Ghafar Baba sebagai timbalan perdana menteri yang baru pada 10 Mei 1986. Ghafar tidak tahan lama apabila dicabar oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan timbalan presiden Umno pada tahun 1993. Ghafar tarik diri kerana Anwar mendapat pencalonan lebih dari 95 peratus dari seluruh negara.

Maka Anwar dilantik timbalan perdana menteri yang baru oleh Dr Mahathir. Anwar terlalu cepat naik dalam Umno dalam tempoh 11 tahun kerana dinaungi Dr Mahathir. Malah Dr Mahathir melantik Anwar sebagai Menteri Pelajaran pada tahun 1986 untuk mempastikan Anwar terpilih sebagai naib presiden Umno pada tahun 1987. Dr Mahathir melantik Anwar sebagai Menteri Kewangan pada tahun 1991 sebagai strategi untuk melonjakkan Anwar sebagai bakal timbalan perdana menteri. Sedangkan apa yang Anwar tahu tentang kewangan kerana Anwar bukannya graduan ekonomi.

Tetapi politik naungan Dr Mahathir berjaya meletakkan Anwar sebagai orang nombor dua dalam masa 11 tahun. Anwar bukan yes man maka Dr Mahathir terpaksa menyingkirkan Anwar dari jawatannya pada tahun 1998. Anwar menuduh kes liwatnya merupakan konspirasi Dr Mahathir untuk menyingkirkannya dari politik. Rakyat Malaysia tidak percaya dengan isu liwat maka BN Kelantan dan Terengganu tumbang pada PRU 1999.

Dr Mahathir bernasib baik kerana orang Cina masih menyokong BN. Maka BN menang dengan majoriti dua pertiga. Dengan pemecatan Anwar dari jawatan timbalan perdana menteri, Dr Mahathir memilih Tun Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) daripada Najib dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib sebagai timbalannya yang baru.

Ketika itu Dr Mahathir boleh memilih Ku Li sebagai timbalannya. Desas desus ini tersebar apabila Dr Mahathir berbuka puasa di rumah Ku Li. Tetapi Dr mahathir meneruskan tradisi Umno memilih timbalan perdana menteri daripada tiga orang Naib Presiden Umno. Atau mungkin dendam Dr Mahathir kepada Ku Li tidak pernah padam kerana Ku Li menentangnya dalam pertandingan Presiden Umno pada tahun 1987.

Jika Dr Mahathir melantik Ku Li, orang Umno terima kerana orang Umno adalah yes man kepada pemimpin mereka. Tapi Dr Mahathir tak mahu ambil risiko terpaksa memilih Pak Lah yang lemah sebagai penggantinya.

Dr Mahathir berundur pada tahun 2003 dan memberi laluan kepada nice man Pak Lah menerajui negara. Bila jadi PM, baru pecah tembelang Pak Lah, dia tertidur sewaktu sedang mesyuarat. Pak Lah jadi PM remote control. Beliau dicontrol oleh menantunya Khairy Jamaluddin (KJ) dengan budak budak tingkat empat di JPM.

Dr Mahathir menyesal pilih Pak Lah sebagai penggantinya. kalau dia lantik Ku Li sebagai timbalan perdana menteri, perkara seperti ini tidak berlaku. Dr Mahathir marahi Pak Lah kerana enggan membina jambatan bengkok dari Johor ke Singapura. Sebaliknya Pak Lah berlembut dengan pemimpin Singapura yang menambahkan lagi kemarahan Dr Mahathir.

Dr Mahathir mula menyerang Pak Lah. Dia keluar dari Umno kerana tidak dapat menerima kepimpinan Pak Lah yang lemah. Pak Lah berbangga dengan kemenangan besar PRU 2004. Tetapi akibat serangan Dr mahathir kepada Pak Lah, BN gagal mendapat majoriti dua pertiga pada PRU 2008.

Akibat dari kegagalan itu, Pak Lah berundur setelah 6 tahun menjadi PM dan beri laluan kepada Najib sebagai PM keenam. Najib dengan slogan transformasi juga gagal mendapat majoriti dua pertiga dalam PRU 2013. Tetapi penyokongnya kata prestasi Umno lebih baik mendapat 88 kerusi. Sudah dua kali PRU, 2008 dan 2013, orang Cina sudah tidak mempercayai BN lagi.

Walaupun Najib bersikap liberal menghapuskan Kementerian Pembangunan Usahawan yang menjadi lubuk menolong orang Melayu, orang Cina tetap menolak BN pada PRU 2013. Najib persoal tsunami Cina. Namun bantuan kepada sekolah Cina tetap diberikan walaupun orang Cina tidak menyokong BN. Itulah kelemahan Najib yang tidak berani menghukum orang Cina.

Kemuncak dari itu, najib menghapuskan ISA. Dr Mahathir marah kerana ISA adalah senjata akhir untuk menghapuskan politik perkauman. Tetapi najib sudah buang kekebalan itu akibat desakan pembangkang. Malah mereka juga mendesak menghapuskan Akta hasutan tetapi perwakilan Umno tidak bersetuju walaupun Najib sudah berjanji untku menghapuskannya.

Kehilangan RM42 bilion dari 1MDB membuatkan pembangkang mula bising. Dr Mahathir turut campur tangan dan mendesak Najib meletakkan jawatan sekarang supaya BN ada masa tiga tahun untuk mengatasi isu 1MDB sebelum PRU 2018.

Najib enggan meletakkan jawatan kerana bangga dengan darah pahlawan Bugis. Dr Mahathir buat road show untuk menjatuhkan Najib. Maka tersebarlah Wall Street Journal isu wang 1MDB masuk dalam akaun Najib. najib tidak menafikannya sebaliknya berkata dia tidak pernah guna wang untuk tujuan peribadinya.

najib menuduh Dr Mahathir yang memberi maklumat kepada WSJ. Kerana akaun najib itu adalah akaun untuk PRU 2013. Dr mahathir dan Pak Lah ketika menjadi PM pun tentu ada juga akaun pilihanraya seperti itu tetapi Dr Mahathir dan Pak Lah tidak guna akaun peribadinya sebaliknya mungkin atas akaun proksinya.

Tetapi najib tidak cerdik menggunakan akaun peribadinya walaupun akaun itu sudahditutup. Sampai bila Dr Mahathir akan menyerang Najib? Sejauh mana siasatan pasukan khas ini berjaya menyelamatkan najib? Beranikah mereka mendakwa najib?

BN makin lemah dengan serangan Dr Mahathir. Kalau Najib meletakkan jawatan sudah pasti Dr mahathir tidak bising lagi. Maka pilihan yang terbaik bagi Najib meletakkan jawatan secara hormat dan minta maaf kepada rakyat Malaysia seperti kata Dr Mahathir.

jangan tunggu Dr Mahathir keluar dari Umno dan menyerang Najib yang degil meletakkan jawatan. Dr Mahathir mahu menyelamatkan BN dan Umno kerana dia tahu jika Pakatan rakyat berkuasa pada tahun 2018, kes najib tetap akan dibawa ke mahkamah.

Walaupun Najib melantik anak Dr Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah, tetapi Dr Mahathir tetap menegur najib demi kepentingan bangsa, agama dan negara. Jika Pakatan Rakyat menang, apa akan terjadi kepada orang Melayu. Inilah yang membimbangkan Dr Mahathir.

Selamat hari jadi Tun.






Ahad, Mei 13, 2012

Ahad, September 04, 2011

SAMBUT HARI MALAYSIA SAHAJA


Sudah 48 tahun Malaysia terbentuk bila Sabah, Sarawak, Singapura (keluar dua tahun kemudian) dan Malaya (Persekutuan Tanah Melayu) bersetuju untuk bergabung. Tetapi kenapa setiap tahun kita masih menyambut Hari Kebangsaan pada 31 Ogos sedangkan Malaysia terbentuk pada 16 September 1963?

Tahun ini kita tidak merayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke 54 kerana ia jatuh pada hari kedua hari raya Aidilfitri. Maka kita tidak sempat buat perarakan kerana warga kota semua balik berhari raya di kampung di seluruh negara. Justru itu kita akan merayakan hari kemerdekaan pada Hari Malaysia pada 16 September ini.

Saya ingin mencadangkan supaya mulai tahun hadapan tak payahlah kita menyambut Hari Kemerdekaan. Sekadar kita beri cuti sahaja kerana yang merdeka adalah Malaya dan bukannya Malaysia. Sambutan 31 Ogos tidak relevan kepada rakyat Sabah dan Sarawak. Mulai tahun hadapan kita sambut Hari Malaysia sahaja kerana ia adalah sejarah sebenar Malaysia.

31 Ogos 1957 Malaya yang merdeka sedangkan Sabah dan Sarawak belum lagi bersama Malaya. Siapa yang pesongkan sejarah selama ini? Kerajaan Tunku Abdul Rahmankah? Bukan kita tidak hargai jasa Tunku berunding dengan British untuk membebaskan Malaya dari cengkaman penjajah tetapi buat apa kita bernostalgia tentang Malaya yang sudah tidak wujud lagi.

Bukankah sekarang Datuk Seri Najib Tun Razak sedang mempromosikan 1Malaysia? Maka sudah sampai masanya kita ubah sejarah dengan menyambut Hari Malaysia sahaja. Kita beri cuti lagi pada 31 Ogos setiap tahun tetapi tak perlu buat perarakan kerana Malaysia tidak wujud lagi. Kita sambut besar-besaran Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun kerana itulah sejarah sebenar kemerdekaan Malaysia.

Mungkin kedatangan aidilfitri tahun ini memberi rahmat kepada kita kerana kita tak perlu menyambut hari kemerdekaan lagi secara besar-besaran. Apa salahnya perayaan hari Malaysia pada 16 September setiap tahun disambut seperti tahun ini juga di mana perarakan hari kemerdekaan dibuat pada Hari Malaysia. Beranikah Najib buat transformasi ini?

Tanyalah pakar sejarah seperti Dr Ramlah Adam, Adnan Wan Nawang yang tentunya bersetuju dengan pendapat ini bahawa kita sepatutnya sambut Hari Malaysia sahaja. Sewaktu saya belajar di Universiti Malaya (kena tukar nama juga), Adnan yang mengajar subjek sejarah malu kerana kita memperolehi kemerdekaan negara tanpa menitiskan darah. Negara lain rakyat mati berperang dengan penjajah kerana hendak merdekakan negara tetapi kita semudah itu diberi kemerdekaan oleh British tanpa menitiskan darah.Sebab itulah generasi baru tidak menghargai perjuangan kemerdekaan kita kerana kita terlalu gampang mendapat kemerdekaan.

Khamis, September 16, 2010

PERLU ADA SATU HARI KEBANGSAAN


Selama ini 31 Ogos dianggap sebagai Hari Kebangsaan kerana negara mencapai kemerdekaan pada tarikh tersebut 53 tahun lalu.Bila negara menyambut hari kebangsaan, sudah tentu rakyat Sabah dan Sarawak tidak rasa bangga kerana mereka merdeka pada 16 September 1963.

Oleh kerana 31 Ogos adalah hari merdeka Malaya, maka kerajaan perlu mengiktiraf Hari Malaysia pada hari ini, 16 September, sebagai Hari kebangsaan tunggal negara. Ini adalah kerana pada tarikh ini, 47 tahun lagi secara rasmi Malaysia dibentuk selepas Sabah dan sarawak menyertai Malaysia.

Kita dengar apa kata Pairin Kitingan yang pernah menjadi Ketua Menteri Sabah mengenai sambutan Hari Malaysia ini sepertimana dilaporkan oleh Bernama.

Sambutan Hari Malaysia yang julung kali diadakan di sini, bakal menjadi titik permulaan untuk merealisasi impian 1Malaysia seperti diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kata presiden Parti Bersatu Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kesediaan Perdana Menteri mendengar keluhan dan impian rakyat Sabah selaras dengan aspirasi 1Malaysia yang mendahulukan kepentingan rakyat.

Oleh itu, katanya, rakyat Sabah dan Sarawak amat berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas pengiktirafan serta penerimaan tarikh 16 September sebagai Hari Malaysia.

"Ungkapan 'Sabah menyertai Malaysia', pertanyaan 'bila sampai ke Malaysia' yang sering diajukan kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak, akan terungkai.

"Perubahan persepsi ini juga akan memberi ruang dan peluang yang cukup luas, dan mewujudkan perhubungan erat sebagai satu keluarga besar, sekaligus turut memberi implikasi positif terhadap penggubalan dasar dan polisi kerajaan, agar lebih bersifat holistik dan inklusif tanpa melupakan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak," katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Pairin berkata pengiktirafan itu turut memberi peluang kepada rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak untuk sama-sama memacu pembangunan negara dalam semua aspek, termasuk sosial, ekonomi dan politik.

"Dalam masa yang sama, rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak akan mendapat manfaat hasil daripada program pembangunan yang sedang dirancang dan yang akan dilaksanakan kerajaan.

"Kita amat bertuah kerana Kerajaan telah memilih Sabah sebagai tuan rumah acara sambutan yang penuh bersejarah ini, yang buat pertama kalinya disambut sejak 47 tahun," katanya.

Sempena sambutan Hari Malaysia tahun ini, beliau menyeru seluruh rakyat di negeri tersebut menjayakann pelbagai program yang dirancang oleh kerajaan sebagai menghargai dan menghormati permulaan Hari Malaysia.

"Inilah permulaan baik kepada kita rakyat Malaysia, bangsa Malaysia. Marilah kita bersatu hati dan menggembleng tenaga ke arah satu tujuan dan satu destinasi, ke arah yang kita impikan," katanya.

Pairin berkata sambutan Hari Malaysia cukup bermakna kepada rakyat di Sabah dan Sarawak.

"Sambutan Hari Malaysia akan menjadi satu titik permulaan perubahan persepsi yang akan menambah baik, mempererat serta memperkukuh jambatan muhibbah di kalangan seluruh rakyat Malaysia merentasi Laut China Selatan menghubungkan Sabah, Sarawak dan Semenanjung.

"Jambatan ini melangkaui batas perbezaan warna kulit dan kepercayaan ke arah membentuk satu negara yang aman dan makmur, dengan pembahagian peluang dan kemakmuran yang akan dikecapi oleh seluruh rakyat, tanpa ada yang ketinggalan," kata beliau.

Selasa, September 07, 2010

Jumaat, September 03, 2010

Isnin, Ogos 30, 2010

SELAMAT HARI MERDEKA


Selamat Hari Merdeka yang ke 53, Malaysia. Sesungguhnya kita rasa bersyukur kerana kita hidup aman dan damai di negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia ini. Selepas tragedi 13 Mei 1969, Malaysia berjaya mengekalkan keamanan sampailah hari ini. Syukur kepada Allah.

Oleh itu janganlah kita rosakkan kedamaian yang kita nikmati ini. Menghancurkan apa yang ada pada kita sekarang lebih mudah dari membinanya. Para pemimpin kita dari Tunku Abdul Rahman kepada Tun razak kepada tun hussein kepada Tun Dr. mahathir kepada Tun Abdullah kepada Datuk Seri Najib sekarang bukannya mudah mahu membina dan mengekalkan kedamaian yang kita nikmati sekarang. Oleh itu janganlah kita bermain api dengan isu perkauman dan isu agama yang boleh menghancurkan negara dengan sekelip mata.

Cukuplah tragedi 13 mei 1969 menjadi pengajaran kepada kita semua. Rakyat Malaysia yang lahir selepas merdeka perlulah belajar dari sejarah bahawa kita merdeka tanpa menumpahkan darah tetapi dengan berunding dengan British. Oleh itu kita tidak perlu berdebat bahawa 31 Ogos bukan hari merdeka Malaysia kerana ia adalah hari merdeka Malaya. Malaysia lahir pada 16 september 1963 yang merangkumi Sabah, sarawak dan Singapura.

Kita patut berbangga dengan kebijaksanaan pemimpin kita Malaysia merdeka tanpa menumpahkan darah. Oleh itu marilah kita sama-sama menghargai kemerdekaan ini dan marilah kita sama-sama mempertahankan kemerdekaan ini.

Selasa, Mei 11, 2010

SELAMAT HARI JADI, UMNO


Hari ini genap 64 tahun usia UMNO. Sejak tahun 1946, UMNO banyak berjasa kepada orang Melayu. Tanpa UMNO, barangkali nasib orang Melayu tak pasti di bumi Malaysia ini. Dengan UMNO, maka tumbanglah Malayan Union. Dengan UMNO,akhirnya Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957.

Ketika negara mencapai kemerdekaan, usia UMNO baru 11 tahun. Pada tahun 1963 lahirlah Malaysia yang merangkumi Malaya, Sabah, Sarawak dan Singapura. Ketika itu UMNO berusia 17 tahun.

Negara hampir lumpuh apabila tercetus peristiwa 13 Mei 1969. Orang Melayu baru sedar mereka banyak ketinggalan setelah negara merdeka selama 12 tahun. UMNO ketika itu berusia 23 tahun.

Perikatan kalah teruk dalam pilihanraya umum 1969. Perikatan Selangor hampir tumbang. PAS menawan Kelantan, Gerakan merampas Pulau Pinang. Selepas demokrasi dipulihkan, Tun Razak mengambilalih kepimpinan negara. Tun Razak menubuhkan Barisan Nasional pada tahun 1974 dengan keahlian yang lebih ramai termasuk MCA,MIC,PAS, Gerakan, USNO,PBB.

Tun Razak adalah Presiden UMNO yang ketiga selepas Datuk Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman. Beliau meninggal dunia pada tahun 1976 dan birasnya, Tun Hussein Onn meneruskan perjuangan sebagai Presiden UMNO yang keempat. PAS ditendang dari BN pada tahun 1977 dan darurat diisytiharkan di Kelantan. Selepas kerajaan Mageran ditarik balik pada tahun 1978, BN berjaya merampas Kelantan dari PAS.

Sejarah pahit UMNO bermula ketika usianya genap 41 tahun. Jawatan Presiden UMNO ditentang hebat. Tun Dr Mahathir Mohamad ditentang oleh Tengku Razaleigh Hamzah pada 24 April 1987 yang mana Dr Mahathir menang dengan majoriti 43 undi sahaja. Kekalahan itu menyebabkan para penyokong Ku Li membawa kes itu ke mahkamah dan mahkamah memutuskan bahawa UMNO diharamkan.

UMNO berpecah dua apabila Dr Mahathir menubuhkan UMNO (baru) dan menyebabkan Ku Li keluar dari UMNO dan menubuhkan Parti Semangat 46.Ketika UMNO berusia 44 tahun, Semangat 46 bergabung dengan PAS dan DAP menentang BN pada pilihanraya umum 1990. PAS berjaya menawan semula Kelantan.

Dua kali menentang UMNO dalam pilihanraya, akhirnya Ku Li kembali ke dalam UMNO pada tahun 1997 dan membubarkan Semangat 46. UMNO yang kukuh semula menjadi lemah apabila UMNO menyingkirkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Pada tahun 1999, UMNO tewas di Kelantan dan Terengganu ketika usianya 53 tahun. Dr Mahathir berundur pada tahun 2003 setelah memimpin UMNO selama 22 tahun. Tun Abdullah Ahmad Badawi yang tidak pernah termimpi jadi Perdana Menteri menjadi Presiden UMNO yang baru.

Pada pilihanraya umum 2004 ketika UMNO berusia 58 tahun, UMNO menang cemerlang. UMNO berjaya merampas semula Terengganu tetapi kepimpinan Pak Lah yang lemah menyebabkan UMNO kalah teruk pada pilihanraya umum 2008 ketika UMNO berusia 62 tahun.Kesilapan UMNO ialah tidak memujuk Anwar Ibrahim menyertai semula UMNO setelah beliau dibebaskan dari penjara. Ini adalah kerana UMNO angkuh setelah menang besar pada pilihanraya umum 2004. Apabila Anwar berada di luar UMNO, ini menyebabkan BN gagal mendapat majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum 2008.

Tun Razak sudah nampak karisma Anwar ketika beliau menjadi pemimpin pelajar. Sebab itu Tun Razak pernah mempelawa Anwar bertanding pada pilihanraya umum 1974 tetapi beliau menolaknya kerana beliau mahu mengetuai ABIM.Jika Pak Lah selaku Presiden UMNO ketika itu mencontohi Tun Razak, BN tidak kalah teruk dalam pilihanraya umum 2008.

Keputusan pilihanraya umumj 2008 menunjukkan UMNO tetap kalah di Kelantan selain kalah di Kedah,Perak dan Selangor. DAP berjaya menawan Pulau Pinang. Kegagalan BN membentuk kerajaan dua pertiga majoriti menyebabkan Pak Lah menyerahkan kepimpinannya kepada Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setelah menjadi Perdana Menteri selama 1 tahun 1 bulan, Najib telah membawa pelbagai perubahan. Katanya, jika UMNO tidak berubah, UMNO akan rebah pada pilihanraya umum 2012.

Selepas pilihanraya umum 2008, beberapa pilihanraya kecil diadakan sama ada wakil rakyatnya meninggal dunia atau meletakkan jawatan. BN kalah di Permatang Pauh, Bukit Gantang,Kuala Terengganu, Bukit Selambau tetapi BN menang di Bagan Pinang, Hulu Selangor dan Batang Ai.BN dijangka mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada hari pengundian minggu depan.

UMNO semakin tua, 64 tahun tetapi UMNO belum nyanyuk.Orang tua jika sentiasa jogging akan tetap segar seperti Prof Diraja Ungku Aziz. UMNO mampu menang pada pilihanraya umum akan datang jika UMNO sentiasa berubah.

Pendekatan Najib turun padang sewajarnya diikuti oleh semua ADUN dan ahli parlimen. Jika Perdana Menteri boleh turun padang,masakan ahli parlimen dan ADUN tidak boleh berbuat demikian. Ahli-ahli UMNO semakin cerdik.Mereka tidak boleh diperbodohkan oleh wakil rakyat mereka seperti dahulu. Kebanyakan wakil rakyat berjuang bukan untuk rakyat tetapi untuk kepentingan peribadi mereka. Itulah yang merosakkan UMNO. Mereka lebih menyenangi menemui kontraktor daripada menemui rakyat biasa.

Oleh itu UMNO kena berubah dari semua aspek.Jangan ambil kesempatan dari UMNO seperti mana tiga bekas Presiden UMNO, Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan Tun Hussein Onn yang mati di luar UMNO.UMNO hanya elok ketika mereka ada jawatan. Bila tiada jawatan, UMNO tidak elok. Di manakah letaknya keikhlasan kita menyertai UMNO?

Selasa, Disember 29, 2009