OLEH SHAHBUDIN EMBUN
Tarikh 28 Julai 2015
merupakan satu detik bersejarah bagi Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi apabila
dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mungkin ramai yang tidak sedar, tetapi Zahid Hamidi sudah memikul tanggungjawab
ini lebih daripada 100 hari.
Tentunya ada yang
mempersoalkan perlantikan Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri. Adakah
beliau seorang pemimpin yang layak memikul jawatan yang pernah “mengorbankan”
beberapa pemimpin sebelum ini? Bolehkah masa depan negara diletakkan pada anak
kelahiran Perak ini? Bagaimana pula dengan gandingan beliau bersama Perdana Menteri,
Datuk Seti Najib Tun Razak? Dan bagaimana pula dengan kenyataan beliau yang
selalu menimbulkan kontroversi ?Adakah ini akan memakan dirinya sendiri?
Terlalu banyak persoalan
yang boleh diungkit dan dibincangkan apabila membicarakan tentang kewibawaan
dan ketokohan Zahid Hamidi sebagai pemimpin.
Bagi saya, Zahid Hamidi sebelum menjadi Timbalan
Perdana Menteri dan selepas memegang jawatan ini, masih merupakan Zahid Hamidi
yang sama. Apa yang saya maksudkan ialah beliau tidak takut dengan cabaran dan
masih bersuara lantang apabila membicarakan beberapa isu yang penting di negara
kita.
Dan disebabkan
kelantangan dan keberanian beliau ini, maka kita tidak boleh menafikan yang
Zahid Hamidi dan perkataan kontroversi tidak boleh dipisahkan.Terlalu banyak
isu kontroversi yang dikaitkan dengan Zahid Hamidi.
Kenyataan beliau tentang sesuatu isu itu mungkin sukar
diterima, namun ramai yang menganggap itulah ketegasan yang diperlukan untuk
menangani sesuatu isu itu, walaupun apa yang dikatakannya itu tidak popular.
Apa yang pasti Zahid Hamidi tidak mementingkan populariti diri dan sanggup
berdepan dengan pelbagai kritikan dari semua pihak.Bagi Zahid Hamidi, lagi
hebat lawannya, lagi kuat dia akan berlawan untuk membuktikan kata-kata dan
tindakannya itu adalah betul. Itulah ketegasan yang diperlukan untuk menjadi
pemimpin.
Itu sebabnya gandingan Najib Tun Razak dan Zahid
Hamidi merupakan gandingan yang sesuai
dan mantap, bak kata orang “ada chemistry”. Najib terkenal dengan sifat tenang
dan tidak panik walaupun dikritik oleh musuh politiknya, manakala kelantangan
Zahid Hamidi memberikan keseimbangan yang diperlukan dalam gandingan ini. Sebenarnya
persefahaman ini sudah lama terbentuk iaitu ketika Najib menjadi Menteri Belia
dan Sukan, dan beliau telah melantik Zahid Hamidi sebagai setiausaha politiknya.
Najib bukan sahaja melantik seorang menteri yang penuh
dengan kewibawaan dan ketokohan sebagai
seorang pemimpin, tetapi telah memilih seorang kawan yang akan berjuang
disisinya, dalam keadaan senang dan juga susah. Dalam hal ini, Zahid Hamidi pernah
memenegaskan,“Budaya Umno tidak pernah mencampakkan
nakhoda kapal itu ke laut.Kita mesti bersama-sama dengan nakhoda kapal itu
supaya kapal boleh terus belayar. Semangat inilah yang harus ada pada
kepimpinan dan ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi dan peringkat nasional.”
Apa yang dikatakan oleh Zahid Hamidi perlu dijadikan iktibar oleh ahli-ahli Umno
yang lain. Zahid Hamidi juga pernah menjelaskan yang dia tidak mahu budaya sate
iaitu “mencucuk, membakar dan mengipas” wujud dalam Umno.Jika budaya ini dapat
disingkirkan, maka perpaduan dalam Umno akan lebih mantap.
Apa yang diperjuangkan oleh Zahid Hamidi begitu
penting dalam memastikan Umno terus relevan di kalangan rakyat Malaysia. Kesetiaan
yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk kepimpinan akan memastikan perjalanan
atau pelayaran perjuangan itu sampai ke destinasinya. Mungkin tidak keterlaluan
jika dikatakan, kemelut politik yang berlaku hari ini merupakan antara yang
paling serius dalam sejarah negara.
Namun Zahid Hamidi tetap yakin, apa pun kemelut yang
melanda, semuanya boleh diatasi jika kepimpinan yang ada pada hari ini
dipertahankan . Dalam hal ini, Zahid Hamidi telah berjanji akan
mempertahankan kerajaan hari ini, sebuah kerajaan yang dipilih oleh rakyat
melalui saluran demokrasi yang sah.
"Kita diajar untuk taat kepada pemimpin yang
dipilih oleh rakyat dan sokong pemimpin yang baharu, bukan cara Umno tikam dari
belakang...setiap krisis kita perlu atasi bersama, bukan ketika senang sahaja
kita bersama, semasa susah juga kita perlu bersama," katanya lagi.
Setelah lebih daripada 100 hari
menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid sebenarnya tidak
perlu membuktikan apa-apa lagi. Bagi mereka yang mengenali Zahid , tentunya
tahu yang nama Zahid Hamidi bukanlah nama asing dalam kancah politik negara.
Beliau telah melalui susah senang dan perjalanan politiknya telah melalui duri
ranjau yang telah memberikan kematangan dan pengalaman yang amat berharga pada
diri beliau.
Sebagai seorang pemimpin yang diberi
tanggungjawab yang berat, rakyat Malaysia memerlukan kepimpinan Zahid yang
tegas dan bersungguh-sungguh dalam menangani sesuatu isu itu. Itulah trademark kepimpinan Zahid dan beliau
telah membuktikan bahawa beliau tidak gentar dengan apa pun cabaran yang ada di
depannya.
Kira-kira lebih dari 100 hari yang lalu,
iaitu ketika beliau mula memegang
jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Zahid
berjanji akan membantu Perdana menteri memberikan perkhidmatan terbaik
dengan segala keupayaan dan pengalaman yang beliau miliki. Beliau telah
menepati janjinya itu dan terus memegang amanah tersebut dengan melaksanakan
tanggungjawab dengan begitu berkesan sekali.
Zahid sedar bertapa penting dan beratnya
tanggungjawab yang dipikul ini dan daripada apa yang ditunjukkan, Zahid berada
di landasan yang betul untuk bersama-sama dengan Najib mengembalikan semula
keyakinan dan imej Umno dan kerajaan, dan seterusnya membawa kejayaan yang
diharapkan oleh rakyat Malaysia.