Jumaat, Ogos 07, 2015

SPRM-VS-PDRM

Enam anggota polis dari Balai Muadzam Shah, Rompin, mengaku tidak bersalah semalam atas dua pertuduhan menerima rasuah bernilai RM8,000 dan tidak melaporkan kesalahan rasuah hujung tahun lalu.
Kesemua tertuduh minta dibicarakan ketika pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Habibah Mohamed Yusof di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kuantan, semalam.
Menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan semalam, mereka berumur dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an dan berpangkat Konstabel, Lans Koperal dan Koperal.
"Kesemua tertuduh didakwa mengambil suapan sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori bernombor pendaftaran WJF 7420, yang tidak mempunyai permit dan lesen membawa kayu getah," kata SPRM.
Jika disabitkan kesalahan masing-masing boleh didenda tidak kurang RM 10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana-mana yang lebih tinggi dan dipenjara hingga 20 tahun.
"Koperal Mazlan Muhd Nor, 34, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) Akta SPRM 2009 menerima suapan iaitu wang tunai masing-masing sebanyak RM7,000 dan RM1,000.
"Lans Koperal Mohd Azmie Majid @Majied, 29, Konstabel Mohamad Firdaus Abdullah, 24, dan Koperal Mohd Juhairy Jamaludin, 32, yang didakwa bersubahat bersama Koperal Mazlan Muhd Nor, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 iaitu menerima suapan RM7,000 dan RM1,000.
"Keempat-empat mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada 18 Disember 2014, antara 2 hingga 4 pagi di Kedai Makan Sri Muadzam Ikan Bakar, Rompin, dan kira-kira 7.55 malam pada 22 Disember 2014 di Restoran Anjung D’cafĂ© Rompin," kata SPRM.
Manakala dua lagi ialah Lans Koperal Mohd Hazly Tomiran, 29, dan Konstabel Mohd Hafizi Abdullah, 28, yang didakwa bersubahat bersama Mazlan – di mana kedua-dua mereka menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 16 (a)(B) iaitu menerima suapan RM7,000.
"Pertuduhan ke atas mereka juga dibacakan bersama Seksyen 28 (1)(c) dan Seksyen 25 (3) Akta SPRM 2009 iaitu tidak melaporkan perlakuan rasuah Mazlan," kata kenyataan itu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Syafinas Shabuddin mewakili SPRM.
Hakim membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Kes disebut semula pada 3 September 2015.
Membaca berita ini, saya tersenyum simpul kerana berita portal tersebut  mengutamakan berita pendakwaan anggota ;polis oleh SPRM seolah-olah SPRM membalas dendam kepada PDRM yang telah menahan tujuh orang pegawai penyiasat SPRM dalam kes 1MDB.


Polis semalam menafikan dakwaan terdapat "tangan tersembunyi" di sebalik tindakan keras pihaknya terhadap anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan dipertingkatkan untuk mencari sumber kebocoran siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Timbalan Ketua Polis Negara  Noor Rashid Ibrahim berkata, polis bukannya "menyerang" SPRM, tetapi hanya menjalankan tugas mengikut undang-undang.
Noor Rashid berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai siri tangkapan pegawai SPRM sepanjang minggu lalu.
Katanya, bukan SPRM saja sedang disiasat, tetapi pihaknya juga akan memanggil pegawai Bank Negara Malaysia (BNM) jika siasatan memerlukan mereka berbuat demikian.
"Pada masa ini, siasatan kami tertumpu kepada SPRM. Tiada tangan yang tersembunyi di belakang tindakan kami. Ia merupakan prerogatif kami," katanya.
Beliau berkata kebocoran maklumat bukan sahaja terhadap draf kertas pertuduhan terhadap Perdana Menteri Najib Razak, tetapi juga terhadap maklumat perbankan peribadi yang bertentangan dengan Akta Institusi Kewangan 1989 (BAFIA).
"Sebagai penyiasat, kami diamanahkan dengan dokumen-dokumen penting yang perlu dijaga dengan teliti dan sulit. Kebocoran maklumat perbankan adalah menyalahi undang-undang."
Beliau berkata, orang yang bertanggungjawab untuk kebocoran ini tidak boleh dilindungi di bawah Akta Pemberi Maklumat.
"Anda hanya dilindungi jika anda membocorkan maklumat itu kepada pihak berkuasa," kata Noor Rashid.
Pada 3 Ogos, polis melawat pejabat SPRM di Putrajaya di mana mereka menyoal  Bahri Mohamad Zin yang merupakan pengarah suruhanjaya operasi khas.
Dua orang lain - Ketua Bahagian Forensik SPRM  IG Chandran dan penolong pesuruhjaya kanannya Tuan Ruslan Tuan Mat - juga disoal pada hari yang sama.
Sebelum itu, polis menahan pegawai Jabatan Peguam Negara Jessica Gurmeet Kaur dan bekas penasihat agensi anti-rasuah itu  Rashpal Singh untuk soal siasat.
Ini diikuti dengan serbuan di pejabat Timbalan Pendakwa Raya SPRM Ahmad Sazilee Abdul Khairy, di mana polis turut merampas beberapa dokumen.
Polis meneruskan operasi mereka semalam apabila memanggil tiga lagi pegawai kanan SPRM untuk disoal siasat.
Kesemua mereka dipercayai disiasat mengikut Seksyen 124B Kanun Keseksaan kerana aktiviti menjejaskan demokrasi berparlimen.
Imej SPRM tercemar ekoran penahanan tujuh orang pegawai SPRM itu.Situasi semasa yang dipenuhi kesangsian awam terhadap pihak berkuasa akibat perkembangan terbaru membabitkan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), hanya boleh dikurangkan jika Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dibenarkan melaksanakan tugas mereka tanpa halangan, kata salah satu panel yang memantau SPRM.
Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) SPRM Johan Jaaffar berkata beliau memandang serius dan kecewa dengan tindakan yang diambil ke atas pegawai yang terlibat dalam siasatan yang sedang dikendalikan badan anti rasuah itu ketika ini.
Beliau berkata, SPRM perlu dibenarkan menjalankan tugasnya sebagai sebuah badan yang bebas, telus dan profesional sebagaimana termaktub dalam Akta SPRM 2009.

 "Situasi terkini yang menyaksikan kehilangan kepercayaan dan keraguan masyarakat terhadap SPRM hanya boleh diatasi dengan memberi peluang kepada SPRM untuk menjalankan tugas tanpa rasa takut atau gentar.
"Persepsi orang ramai yang pegawai-pegawai penyiasat SPRM kini sedang disiasat perlu ditangani dalam apa jua cara," katanya dalam satu kenyataan semalam.
"PPPR juga berpendapat semua pihak yang diberi kepercayaan untuk membuat siasatan perlu bekerjasama demi mencari kebenaran," kata Johan yang juga Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif Media Prima Berhad.
Setakat hari ini, 7 pegawai SPRM ditahan untuk disoal siasat sejak hujung minggu lalu, ketika polis memberi tumpuan kepada maklumat bocor mengenai 1MDB, yang ketika ini disiasat berhubung dakwaan penyelewengan kewangan.
Tindakan polis susulan laporan The Wall Street Journal (WSJ) bulan lalu memetik dokumen daripada penyiasat Malaysia yang menunjukkan AS$700 juta (RM2.6 bilion) dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Najib menafikan mengambil dana 1MDB untuk kegunaan peribadi, tetapi tidak pernah menyentuh secara langsung mengenai pemindahan dana itu.
Minggu ini, SPRM mengesahkan kewujudan jumlah yang besar, tetapi katanya ia datang dari seorang penderma di Timur Tengah, dan bukan dari 1MDB.
SPRM tidak mendedahkan identiti penderma itu, tetapi berkata ia akan meminta Najib memberikan penjelasan mengenai sumbangan itu.
Terdahulu semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low mengkritik polis kerana bertindak dengan cara yang melampau dalam melakukan serbuan dan tangkapan terhadap pegawai SPRM mereka.
Low, yang bertanggungjawab hal ehwal tadbir urus dan integriti berkata, tindakan itu akan memberi kesan negatif kepada negara ini, baik di dalam mahu pun di luar negara. "Polis menangani isu ini dengan cara yang 'high-handed' (tidak berperikemanusiaan).
"Penting supaya institusi ini (SPRM) dibenarkan membuat apa yang mereka perlu lakukan, kerana rakyat menjangkakan siasatan itu lengkap dengan kesimpulan yang memuaskan," katanya pada satu program di Kuala Lumpur pagi semalam.
Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata polis tidak berniat mengganggu tugas dan tanggungjawab SPRM sebaliknya hanya menjalankan tugasnya.
Beliau juga menafikan polis bertindak atas tekanan atau arahan dari mana-mana pihak dalam mengambil tindakan terhadap pegawai SPRM.
"PDRM jelas dalam halatuju siasatannya ke atas kes di mana dokumen rasmi kerajaan dan perbankan yang dibocorkan, dimanipulasi pihak tertentu untuk tujuan mengganggu gugat kestabilan negara," Khalid berkata dalam satu kenyataan.
KPN berkata, umum harus faham setiap agensi kerajaan mempunyai tugas dan tanggungjawab tersendiri dalam menjalankan sesuatu siasatan, namun ia tetap selari dengan tujuan asalnya iaitu untuk mencari kebenaran.
"Atas dasar ini, PDRM tidak sesekali mengganggu siasatan atau mencampuri tugas dan tanggungjawab SPRM, atau bertindak dalam apa jua cara yang boleh menjejaskan hubungan kerja antara agensi-agensi yang terbabit," katanya.
Beliau juga mengingatkan semua pihak agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh dilihat seperti “menangguk di air yang keruh”.
"Berilah ruang dan peluang untuk agensi-agensi terbabit menjalankan tugas mereka tanpa sebarang campur tangan dari mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan tersendiri ataupun agenda tersirat," kata Khalid.
Sejak tujuh pegawai SPRM ditahan polis, rakyat simpati kepada SPRM yang selama ini menjadi kritikan pembangkang kerana kononnya SPRM bertindak memilih bulu.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyifatkan tindakan pembangkang yang menyokong SPRM secara tiba-tiba hanyalah demi kepentingan politik mereka sahaja.
"Hari ini saya difahamkan ramai pemimpin pembangkang menyatakan sokongan kepada SPRM. Mungkin itu permainan politik mereka.
"SPRM ada integriti sendiri dan tidak ada pihak yang boleh menyekatnya," katanya pada sidang media selepas mesyuarat Pemuda Barisan Nasional di Pusat Dagangan Dunia Putra semalam.
Pagi semalam kira-kira 10 orang wakil rakyat pembangkang mengadakan lawatan ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya bagi menyatakan sokongan terhadap agensi anti rasuah itu.
Antaranya ialah Ketua Pembangkang  Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad (PAS), Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli (PAS) dan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli (PKR).
Turut hadir Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang (Ahli Parlimen Gelang Patah), Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok (DAP), pengerusi Gerakan Harapan Baru Mohamad Sabu dan bekas menteri  Zaid Ibrahim.
Mereka mengadakan pertemuan dengan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM  Rohaizad Yaakob dan dalam sidang media selepas itu berkata, seluruh rakyat harus memberi sokongan kepada SPRM.
Mohamad berkata, kejadian terbaru yang dianggap "serangan" polis terhadap anggota SPRM menunjukkan SPRM tidak berkuasa.
"Kami hendak menyatakan sokongan kepada SPRM supaya ia boleh menjadi sebuah badan yang berwibawa terutamanya dalam menyiasat mereka dalam kedudukan yang tinggi di Malaysia," katanya.
Semalam dalam satu forum, presiden Persatuan Kebangsaan Hak Asasi Manusia (Hakam)  Ambiga Sreenevasan berkata, penjawat awam yang jujur dalam agensi anti rasuah, bank pusat dan Jabatan Peguam Negara sedang diserang dalam melakukan kerja mereka.
Ini susulan ramai di antara penyiasat yang terlibat dalam meneliti kes 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan syarikat yang berkaitannya ditahan polis kerana didakwa terlibat membocorkan maklumat rasmi mengenai firma sarat hutang itu.
Kurang 24 jam selepas tertubuhnya kumpulan yang menggelarkan diri mereka "Rakyat Bersama SPRM" di laman Facebook, ia berjaya menarik penyertaan hampir 7,000 pengguna laman sosial.
Pengasas dan pentadbirnya, Azlan Sharif, 34 yang terkejut dengan sambutan itu berkata, pada mulanya beliau hanya menjemput 170 rakannya menyertai kumpulan itu yang ditubuhkan bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Secara jujur saya terkejut juga. Saya hanya kenal 170 orang yang saya jemput itu. Orang lain dalam kumpulan itu saya tidak kenal.
"Tetapi jelas sekali, orang ramai menyokong SPRM yang kini berdepan cabaran hebat dalam penyiasatannya terhadap rasuah dan salah guna kuasa," katanya.
Azlan, seorang aktivis sosial yang terlibat dalam kerja kemanusiaan dengan kumpulan seperti Orang Asli berkata, beliau memulakan laman Facebook Rakyat Bersama SPRM itu selepas pukul 6 petang kelmarin.
Ketika itu beliau belum mendengar berita yang tiga pegawai SPRM ditahan untuk siasatan berhubung kebocoran maklumat dalam siasatan SPRM berkaitan skandal syarikat kontroversi 1MDB.
"Saya terkejut mendapat tahu ramai rakyat Malaysia yang juga tidak berpuas hati dan kesal dengan apa yang berlaku terhadap SPRM.
"Sebelum ini ramai orang pandang buruk kepada SPRM, menyangkakan mereka hanya menyembunyikan bukti (salahlaku).
"Tetapi, saya fikir perkembangan terbaru ini membuktikan SPRM merupakan sebuah agensi yang menjalankan tugasnya dengan tekun dan bersungguh," katanya.
Kebanyakan mereka yang menyertai kumpulan ini memuat naik berita terkini berkaitan SPRM dan menurunkan komen mereka mengenainya.
Ada juga kalangan pengguna yang berkongsi entri kata-kata semangat kepada pegawai SPRM yang mereka yakin komited dalam menjalankan tugas mereka.
SPRM mendapat perhatian selepas pegawainya ditahan dan beberapa pegawai kanannya disiasat polis.
SPRM menyiasat syarikat SRC International Sdn Bhd, bekas anak syarikat 1MDB, dana pelaburan strategik negara yang menanggung hutang RM42 bilion.
Azlan yang mengakui tidak mewakili mana-mana parti poltik atau pertubuhan bukan kerajaan, berkata ia merupakan inisiatif peribadinya menggesa rakyat berdiri di belakang SPRM yang ketika ini menghadapi cabaran.
Beliau berkata SPRM merupakan sebuah badan di bawah kuasa Agung sementar
a polis menjawab kepada Kementerian Dalam Negeri dan perdana menteri.
Katanya, SPRM seharusnya menjadi sebuah badan bebas untuk menyiasat sebarang aktiviti rasuah, salah guna kuasa atau penyelewengan dengan telus dan adil tanpa rasa takut atau gentar.
Katanya sekiranya SPRM melakukan kesalahan, suruhanjaya itu perlu berdepan siasatan daripada tribunal dan bukannya polis.
Azlan berkata pihak berkuasa tidak boleh mengelirukan rakyat dengan menyatakan polis hanya menyiasat pegawai SPRM tapi tidak menahan susulan dalam insiden baru-baru ini.
"Kita perlu memberi sokongan kepada SPRM dan tidak perlu takut untuk mencari kebenaran. Hari ini kita melihat pemimpin pembangkang menyokong SPRM. Ia sesuatu yang bagus," katanya.