Selasa, September 17, 2013

KETUA BAHAGIAN KEMAMAN: ANTARA GAJAH DENGAN SEMUT MERAH

KEMAMAN: Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata beliau tidak gentar jika jawatannya selaku Ketua Umno Bahagian Kemaman dicabar pada pemilihan parti bulan depan. “Itu demokrasi. Terserah kepada perwakilan,” katanya kepada Bernama di Kuala Terengganu semalam. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desas-desus mengenai perkara itu. Sabtu lalu bekas Penghulu mukim Jabor, Mat Dalam Awang telah mengambil borang pencalonan di Pejabat Umno Bahagian Kemaman untuk menentang Ahmad Said. Dalam FMT bertarikh 13 September lalu Mat Dalam berkata menentang MB adalah fardhu kifayah. Kali keempat Dalam sejarah politik Ahmad Said, ini adalah kali keempat beliau dicabar. Pada tahun 1993, beliau selaku ADUN Kijal bertanding jawatan Ketua Pemuda Bahagian yang disandang Allahyarham Nazri Salleh. Ahmad Said menang dalam pertandingan tiga penjuru itu yang turut disertai seorang ahli perniagaan, Md Rahim Husin. Perwakilan memilih beliau kerana Allahyarham Nazri dianggap menderhaka kepada Ketua Bahagian, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad yang juga Menteri Besar Terengganu. Lagi pun Ahmad adalah wakil rakyat sedangkan Nazri dan Md Rahim bukan wakil rakyat. Pada pemilihan 1995, Ahmad Said yang sudah jadi Exco Kerajaan Negeri Terengganu menang jawatan Ketua Pemuda Bahagian tanpa bertanding. Pada tahun 1998, Ahmad dipilih Naib Ketua Bahagian setelah ditentang Tuan Kecil Tuan Tengah. Pada waktu yang sama Wan Mokhtar melantik beliau sebagai Setiausaha Umno Bahagian. Pada tahun 2000, Wan Mokhtar bersara dari politik. Ahmad yang dipecat Setiausaha Bahagian oleh Pemangku Ketua Bahagian, Datuk Abu Bakar Ali (ADUN Kemasik) mencabar Abu Bakar yang menyebabkan Ahmad menang dalam pertandingan berakit itu. Ahmad membawa balik Ahmad Shabery Cheek (yang kalah bertanding Ketua Pemuda pada tahun 1998) menentang regu Abu Bakar, Allahyarham Nazri bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian. Ahmad yang kalah dalam pilihanraya umum 1999 berjaya mengalahkan ADUN Kemasik, Abu Bakar Ali. Pada tahun 2004, beliau menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian buat penggal kedua. Pada tahun 2008, beliau juga menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian buat penggal ketiga. Berakit Pada 19 Oktober ini, ini adalah kali keempat Ahmad ditentang dalam karier politiknya. Kali ini oleh bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian, Mat Dalam Awang yang pernah berakit dengan Ahmad Said pada tahun 2000 dahulu. Begitulah politik. Tidak ada kawan yang kekal dan musuh yang abadi. Pada tahun 2000, Mat Dalam mengalahkan regu Abu Bakar Ali, Datuk Ismail Said dengan majoriti satu undi bagi jawatan Pengerusi Tetap. 13 tahun kemudian, Mat Dalam berentap dengan ketua rakitnya sendiri, Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian. Yang menariknya Ahmad pernah menjadi timbalan kepada Mat Dalam ketika beliau menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman dahulu. Sudah tentu cabaran Mat Dalam terhadap Ahmad kali ini dianggap sebagai antara gajah dengan semut merah kerana Ahmad sudah menjadi Menteri Besar Terengganu (gajah) sedangkan Mat Dalam orang biasa (semut merah). Ahmad Said adalah orang yang sering bernasib baik dalam politik. Pada pilihanraya kecil DUN Kijal, nama Ahmad tiada dalam senarai Ketua Bahagian, Wan Mokhtar yang juga Menteri Besar sebagai calon BN. Wan Mokhtar mahu Cikgu Johar Yusof jadi calon tetapi didesak Special Branch (SB) untuk meletakkan Ahmad sebagai calon BN kerana Semangat 46 sudah menamakan Ahmad Shabery Cheek sebagai calonnya. SB berhujah jika BN meletakkan Cikgu Johar maka Semangat 46 akan menang. Melobi Pemangku Penyelaras DUN Kijal, Haji Khalid Karim yang main peranan penting untuk melobi Ahmad sebagai calon BN berkata Wan Mokhtar memang tak suka Ahmad kerana Ahmad suka bertumbuk. Maka Wan Mokhtar tiada pilihan terpaksa meletakkan Ahmad sebagai calon BN pada pilihanraya kecil tersebut kerana kalau letak Cikgu Johar, BN kalah. Ahmad bijak dalam percaturan politiknya. Dari orang yang tidak disukai Wan Mokhtar kepada orang yang paling disayangi Wan Mokhtar. Pada tahun 1992, Ketua Pemuda Umno Kemaman, Allahyarham Nazri bersikap derhaka kepada Wan Mokhtar apabila menyokong tindakan Pemuda Umno Negeri diketuai Idris Jusoh menentang kepimpinan Wan Mokhtar. Inilah peluang terbaik untuk Ahmad Said mempertahankan Wan Mokhtar. Ahmad ditaja untuk menjatuhkan Nazri dalam pertandingan Ketua Pemuda Bahagian pada tahun 1993. Ahmad menang dan akhirnya dilantik Ketua Pemuda Negeri. Pada tahun 1995 beliau dilantik Exco Kerajaan Negeri. Pada tahun 1999, Ahmad Said menganggur sepenggal apabila kalah dalam pilihanraya umum pada tahun tersebut. Pada tahun 2004, beliau menang di Kijal dan dilantik Exco Kerajaan Negeri di bawah Menteri Besar baru, Datuk Seri Idris Jusoh. Sekali lagi nasib menyebelahi Ahmad Said pada tahun 2008 apabila Sultan Mizan tidak berkenan nama Idris diangkat pucuk pimpinan sebagai Menteri Besar yang baru. Dicantas Oleh kerana semua Ketua Bahagian sudah dicantas Idris seperti Datuk Rosli Mat Hassan(Dungun), Datuk Wan Farid Wan Salleh (Kuala Terengganu), Datuk Tengku Putera Tengku Awang (Hulu Terengganu) dan Datuk Rahman Bakar (Marang) manakala Datuk Md Jidin Shafee (Kuala Nerus) dan Datuk Nasir Ibrahim Fikri (Kuala Nerus) tidak boleh menjadi Menteri Besar kerana mereka adalah ahli parlimen, maka Sultan Mizan tidak ada pilihan melantik Ahmad ,Ketua Umno Bahagian Kemaman sebagai Menteri Besar yang baru. Menjelang pilihanraya umum 2008, Idris turut menggugurkan nama Ahmad sebagai calon BN tetapi Ahmad sempat menemui Pak Lah maka beliau kekal bertanding di DUN Kijal. Idris mahu Mufti Terengganu, Datuk Ismail Yahya sebagai calon tetapi itulah nasib Ahmad yang selalu menyebelahinya. Pada tahun 2013, BN menang 17 kerusi dan pembangkang menang 15 kerusi. Perlantikan Menteri Besar sekali lagi jadi spekulasi. Ahmad dikatakan tidak akan dilantik Menteri Besar. Nama Tengku Putera dan Md Jidin disebut sebagai Menteri Besar yang baru. Tapi nasib menyebelahinya sekali lagi. Beliau kekal sebagai Menteri Besar Terengganu buat penggal kedua walaupun ada khabar angin yang mengatakan beliau hanya Menteri Besar setahun sahaja. Bagaimana pula nasib Ahmad Said pada 19 Oktober ini? Mampukah beliau mempertahankan jawatan Ketua Bahagian? Di atas kertas memang sukar Mat Dalam mengalahkan Ahmad Said tetapi berapa banyak undi yang dipungut Mat Dalam menunjukkan bahawa ada undi protes kepada Menteri Besar. Tiga kali bertanding, Ahmad menang sebagai Ketua Pemuda, Naib Ketua Bahagian dan Ketua Bahagian dengan undi 60 peratus sahaja. Ini bermakna 40 peratus perwakilan masih menolak Ahmad Said. Dengan senario di atas, maka jika Mat Dalam dapat undi 40 peratus, Mat Dalam sudah menang dalam kalah dan Ahmad Said sudah kalah dalam menang. Turut baca Menentang MB adalah fardhu kifayah Umno Kemaman: Semua jawatan utama ditandingi (dipetik dari www.freemalaysiatoday.com)