Rabu, September 01, 2010

LEGENDA BUDAK SETAN TANPA LISA SURIHANI


Bagi sesiapa yang pernah menonton filem Legenda Budak Setan pada tahun lepas sudah tentu ramai yang terpesona dengan lakonan Farid Kamil dan Lisa Surihani. Filem arahan Sharad Sharan itu kini telah dijadikan siri televisyen di Astro 105 dan malam tadi episod keempat ditayangkan kepada umum.

Siri televisyen itu agak berlainan dengan filemnya walaupun Farid Kamil dikekalkan sebagai Aqasya yang digelar sebagai budak setan. Di filem, heroinnya dimainkan oleh Lisa Surihani manakala di televisyen watak Ayu itu dipegang oleh pelakon baru. Sudah tentu ramai peminat filem itu agak kecewa kenapa pengarahnya, Along Kamarudin tidak mengekalkan pasangan Farid Kamil dan Lisa Surihani.

Di filem, lakonan Farid dan Lisa bertempat di sebuah universiti manakala di siri televisyen pula lakonan Farid dan Ayu bertempat di sebuah sekolah menengah yang mana lokasinya dibuat di Sekolah Menengah King George V di Seremban.

Sebagai peminat Lisa Surihani, saya tidak pernah ketinggalan filem-filem lakonannya Cinta Merah Stiletho, Zoo dan Legenda Budak Setan. Oleh itu bila siri tv Legenda Budak Setan ditayangkan tanpa Lisa Surihani, saya rasa kurang seronok menonton siri tersebut.

Kebetulan petang ini di majlis berbuka puasa di Saloma Bistro, Kuala Lumpur yang diadakan oleh Tan Sri Jojo pemilik Saloma Bistro meraikan seniman dan seniwati legenda, pelakon baru seperti Lisa Surihani, Zahida Rafik, Betty Banafe turut hadir di samping ramai pelakon veteran seperti Mat Sentul, Datuk Mustafa Maarof, Mariani, Sofia Ibrahim, Datuk Yahya Sulong, Datuk Jeffridin. Saya kebetulan sempat menemui buat kali pertama pelakon pujaan saya ini, Lisa Surihani yang kini turut muncul di Astro dengan siri Tudung Ekspress dan siri Mertua-vs-Menantu.

Saya sempat bertanya kepada Lisa kenapa beliau tidak muncul di dalam siri Legenda Budak Setan di Astro. Lisa sempat menjawab, "pada mulanya saya ditawarkan berlakon dalam siri itu tetapi tiba-tiba pengarahnya senyap saja. Jadi saya tidak boleh buat apa".

Lisa turut terkilan kerana melalui filem Legenda Budak Setan penonton sudah boleh menerima pasangan Farid Kamil-Lisa Surihani tiba-tiba dalam siri televisyen itu pasangan skrin ini tidak digandingkan semula.

Biarpun tanpa Lisa, siri itu tetap menarik perhatian penonton di Astro 105 pada setiap malam Selasa jam 10.30 malam. Apatah lagi lagu penutupnya begitu merdu yang mana lagu itu pernah muncul dalam filem yang sama.Bersabarlah sajalah, Lisa. Semoga Lisa menerima banyak lagi tawaran lain.

SATU RENUNGAN

TAHAN NAMEWEE DI BAWAH ISA


Wee Meng Chee atau Namewee malam ini hadir ke Balai Polis Taman Tun Dr. Ismail di sini, dipercayai untuk memberikan keterangan berhubung video muzik kontroversi terbarunya.

Dia tiba bersama peguamnya, Raveen Singh pada pukul 9.20 malam, sebelum memasuki balai dia sempat menegaskan kepada wartawan bahawa dirinya bukan rasis sebaliknya anti rasis serta menyokong gagasan 1Malaysia.

"Saya seorang pengarah filem, artis dan ahli muzik tetapi tidak semestinya kalau ada sesuatu yang tidak betul berlaku di negara saya, saya akan berdiam diri kerana saya rakyat Malaysia.

"Saya menyokong anti rasis dan 1Malaysia, jadi saya datang untuk memberi kerjasama kepada pihak polis.

"Saya percaya polis akan menyokong saya, begitu juga seluruh negara. Saya cintakan Malaysia," katanya.

Seramai empat pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor mengendalikan proses memberi keterangan tersebut.

Sehingga 10.30 malam, dia masih berada di dalam balai untuk memberikan keterangan.Bagi saya, orang seperti Namewee ini yang mencetuskan isu perkauman perlu ditahan di bawah ISA. Kerajaan perlu bertindak tegas kepada sesiapa sahaja yang memainkan isu perkauman.