Jumaat, Mei 13, 2016
NAJIB IKRAR TAKKAN KELUAR DARI UMNO KALAU BERSELISIH FAHAM DENGAN PENGGANTINYA
KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Bersatu, nasional dan kesetiaan - itu tiga asas yang menjadi formula kekuatan UMNO yang ditubuhkan pada 11 Mei 1946 sehingga menjadi parti paling berjaya di dunia sehingga hari ini.
Menurut Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Perdana Menteri, rahsia kekuatan UMNO terkandung pada namanya yang telah dipilih oleh pengasas iaitu 'Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu' atau 'United Malay National Organisation' yang menjadi kunci kekuatan menempuh sebarang ujian, cabaran dan krisis hingga pada hari ini.
"Nama bersatu atau 'united' adalah kunci kepada kejayaan kita. Dan kedua bila kita memecahkan tembok-tembok perasaan kedaerahan dan kenegerian ... tidak lagi berjuang dalam kelompok-kelompok yang kecil, tetapi berjuang atas nama kebangsaan.
"Maka kita mempunyai kekuatan yang luar biasa sehingga kuasa penjajah pada masa itu sedar bahawa atas kekuatan ini, mereka terpaksa menyerah bumi ini kepada kita rakyat Malaysia, dipimpin oleh UMNO dan rakan-rakan kita dalam Barisan Nasional (BN) untuk mengemudikan kepimpinan negara," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari UMNO ke-70 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, malam ini.
Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor.
Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden UMNO, Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketua sayap Wanita, Pemuda dan Puteri serta wakil parti komponen BN.
Najib berkata banyak pihak yang bertanya apakah rahsia atau formula yang diguna pakai oleh UMNO yang membawa kepada kejayaan tidak putus-putus dipilih untuk mentadbir negara sehinggalah pada hari ini.
"Tidak perlu kita lihat lebih jauh, asasnya ialah kita bersatu, asasnya national, asasnya apa? kesetiaan. Saya nak tambah lagi, kesetian sepanjang hayat, sepanjang zaman kita dalam UMNO, dalam apa jua keadaan, walaupun kita tidak bersetuju, walaupun kita berbalah, berbeza pendapat," katanya.
Jelasnya, tidak ada parti politik yang tidak ada perbezaan pendapat dan tidak mengalami perbalahan dalaman tetapi mesti ada disiplin dan berlandaskan kasih, sayang dan kesetiaan pada parti dalam apa juga keadaan.
"Sebab itulah sepertimana saya sebut dua malam yang lalu, saya kata terus terang, kalau takdirnya satu hari nanti saya berselisih faham dengan pengganti saya, saya tidak akan keluar daripada UMNO.
"Sebab UMNO ini parti yang terlalu besar budi jasa kepada orang Melayu, kepada rakyat Malaysia, kepada keluarga saya, kepada diri saya. Saya tidak akan mengkhianati parti UMNO sehingga saat akhir hayat saya," katanya.
Najib turut menggariskan kejayaan UMNO, antaranya melahirkan ramai golongan intelek dan berjaya mengeluarkan rakyat daripada kemiskinan.
"Daripada keadaan kita terhina tak ada maruah, hari ini kita sudah muncul sebagai bangsa yang bermaruah, dihormati dan disegani. Banyak kisah-kisah 70 tahun yang boleh saya huraikan. Satu demi satu kita semua telah melaluinya. Oleh itu saya mahu kita kembali semula. Bila kita tanya apa roh, apa semangat UMNO itu, roh semangat UMNO itu di atas tangga Istana Besar Johor Baharu.
"Kalau itulah nafas yang bertiup dalam badan, itulah kalau dikatakan roh, darah daging, maka Insya-Allah UMNO akan terus berkuasa 70 tahun lagi dan lebih daripada itu," katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada rakan dalam komponen BN yang bersama-sama membantu UMNO dalam mentadbir negara.
Selepas berucap, Najib turut memotong pulut kuning bersempena sambutan ulang tahun ke-70 UMNO.
Beliau turut menyampaikan sumbangan parti kepada waris dua anggota Parlimen UMNO yang terkorban dalam nahas helikopter pada 5 Mei lalu di Sarawak, iaitu anggota Parlimen Sungai Besar Datuk Noriah Kasnon dan anggota Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.
-- BERNAMA
Langgan:
Catatan (Atom)