Isnin, Oktober 19, 2015

KOSONGKAN KERUSI KALAU YAKIN AMANAH KUAT

Fastaqim anjuran PAS bukti bahawa PAS masih dapat sambutan dari ahlinya dari seluruh negara. Ia berjaya mengumpulkan 60,000 orang ahli di Stadium Sultan Muhammad ke IV di Kota Bharu dua malam lepas.

Ia perhimpunan ketiga selepas Bersih 4 dan perhimpunan Baju Merah. Kejayaan perhimpunan Baju Hijau itu membuktikan PAS masih kuat di saat saat Amanah mengakui ramai ahli PAS sudah menyertai Amanah.

Amanah mendapat ahli parlimen secara percuma seperti Dr Mujahid Yusof Rawa, Dr Hatta Ramli, Mohamed Hanipa Maidin, Khalid Samad, Dr Mariah Mahmud dan Raja Kamarul Baharin. Jika benar Amanah itu kuat,salah seorang ahli parlimen Amanah wajar meletakkan jawatan untuk beri laluan kepada pilihanraya kecil untuk membuktikan Amanah diterima oleh rakyat.

Pada tahun 1988, Shahrir Samad yang terlibat dalam Team B sanggup meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen Johor Bahru dan bertanding dalam PRK Johor Bharu sebagai calon Bebas. Ketika itu imej Dr Mahathir Mohamad merudum,  Shahrir mampu menang besar kerana rakyat marah kepada Presiden Umno ketika itu.

Dalam suasana rakyat marah kepada PM sekarang, Amanah wajar uji kekuatannya dengan mengosongkan kerusi dan bertanding dalam PRK. Mampukah Amanah yang disokong DAP menang dalam pertandingan tiga penjuru dengan BN dan PAS?

Cuma risikonya bila ahli parlimen Amanah letak jawatan, mereka tidak boleh bertanding semula selama lima tahun. Siapakah yang sanggup menerima cabaran ini? Adakah Dr Mujahid? Dr Hatta? Hanipa? Khalid? Dr Mariah? Raja Kamarul Baharin?

Amanah kena cari kerusi yang ramai pengundi Cina jika mahu menang dalam PRK ini kerana DAP akan full swing membantu pengundi Cina mengundi Amanah. Undi Melayu akan berpecah tiga kepada Amanah, PAS dan BN. Bila ahli parlimen sekarang tidak boleh bertanding semula akibat letak jawatan, maka Amanah kena letak Presidennya Mat Sabu sebagai calon Amanah.

Soalnya siapakah yang sanggup mengorbankan kerusinya kepada Mat Sabu? Apabila Amanah menang, barulah ia boleh mengaku Amanah lebih kuat dari PAS. Jika tidak Amanah sekadar menang kerusi parlimen percuma sahaja dan terus lenyap dalam PRU akan datang. Kekuatan PAS dalam perhimpunan Baju Hijau membuktikan PAS bukan kecil anak seperti mana kata Presidennya, Haji Hadi Awang, soal Amanah adalah soal kecil kepada PAS. PAS dapat kalahkan parti serpihan yang lahir dari PAS seperti Berjasa, Hamim dan Amanah bakal menerima menerima nasib yang sama.