Ahad, September 06, 2009

JKKK ROSAKKAN UMNO


Tidak lama dahulu Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang pernah mengatakan bahawa Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) sebagai "Jin Kacau Kampung". Nampaknya tuduhan Haji Hadi itu ada kebenarannya kerana ia bukan sahaja menafikan hak orang PAS, malah sesama orang UMNO pun JKKK buat onar.

Hal ini disahkan oleh bekas Ketua UMNO cawangan Batu 14, Rantau Panjang, Kemaman, Terengganu iaitu Abdullah Noor dan bekas Ketua UMNO cawangan Batu 16, Othman Awang. Abdullah Noor ketika ditemui penulis kesal dengan JKKK Batu 14 yang buat pilih kasih dalam pembahagian dana remaja kepada para penduduk kampung.

"Dasar kerajaan sudah elok tetapi JKKK sebagai pelaksana dasar di akar umbi yang merosakkan pelaksanaan," katanya kepada Memo Belakang. Beliau kesal kerana anaknya, Edi Zakaria dinafikan haknya untuk menerima dana remaja sebanyak RM200.

Katanya, JKKK mengutamakan kroninya dalam pembahagian dana remaja.

"Kalau sesama ahli UMNO sudah ada sikap pilih kasih oleh JKKK, bagaimana UMNO mahu menerima sokongan yang mantap dalam pilihanraya umum akan datang?" soal beliau.

Abdullah pernah menjadi Pengerusi JKKK Batu 14. ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar menggugurkan Pak Lah dan beliau melantik Ustaz Salahuddin sebagai Pengerusi JKKK yang baru.

Pak Lah juga kesal cara pembahagian kurma dan air zam zam oleh JKKK kepada orang kampung yang diletakkan di luar rumah tanpa memanggil tuan rumah untuk menerima kurma dan air zam zam sumbangan kerajaan negeri menjelang bulan puasa baru-baru ini.

Beliau turut mempertikai projek Gerakan Desa Wawasan (GDW) yang menerima peruntukan sebanyak RM100,000 daripada KETENGAH untuk projek ikan tawar tetapi duit itu entah ke mana hilangnya.

"Saya minta KETENGAH siasat dakwaan saya ini," tegasnya lagi.

Beliau juga meminta SPRM menyiasat kakitangan U-Best yang mendapat rumah PPRT sedangkan sebagai kakitangan kerajaan, dia tidak layak menerima rumah PPRT. U-Best diwujudkan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh tetapi diberi nama baru oleh menteri Besar sekarang, Datuk Ahmad said, Agensi pembangunan masyarakat (APM).

Beliau berharap ADUN Air Putih, Wan Hakim tidak mengutamakan kroni dalam pembahagian apa sahaja bantuan kepada rakyat Air Putih.

"Janganlah slogan baru Perdana Menteri ditukar kepada kroni diutamakan pula," katanya lagi.

Pada masa yang sama bekas Ketua UMNO Batu 16,Othman Awang mengesahkan perkara yang sama turut berlaku di kampungnya di mana ahli-ahli UMNO yang tidak menyokong ketua cawangan, Cikgu najib dianaktirikan oleh JKKK.