Jumaat, November 01, 2013

GURU TAKMIR PERLU KUASAI ILMU BAHARU

TAWAU: Guru takmir atau guru agama yang mengajar di masjid dan surau perlu menguasai ilmu pengetahuan baharu sesuai dengan perkembangan semasa bagi menghasilkan kuliah berkualiti, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan. Katanya langkah itu juga akan menarik lebih ramai jemaah untuk turut serta dalam sesi kuliah, sekali gus memperlihat sifat profesional guru-guru berkenaan. "Guru takmir merupakan barisan hadapan di masjid dan surau yang pastinya dapat menyampaikan ilmu dan dakwah secara berkesan kepada seluruh masyarakat," katanya ketika menangguhkan Kursus Peningkatan Profesionalisme Guru Takmir Negeri di sini hari ini. Tawfiq berkata golongan guru itu juga perlu bijak merencanakan kuliah masing-masing supaya mempunyai unsur perpaduan dan menghindarkan masyarakat daripada berpecah-belah akibat percanggahan pendapat dan fahaman. Terdahulu, Pengarah Bahagian Kemajuan Islam di Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) Ramlah Yong berkata beliau akan mengemukakan masalah yang dihadapi guru-guru takmir di pantai timur Sabah kepada pihak pengurusan Jakim untuk dipertimbangkan. Menurutnya guru-guru di kawasan tersebut memohon agar kadar elaun mereka dikaji semula berdasarkan cabaran tugas terpaksa mereka hadapi seperti tempat mengajar yang jauh di pedalaman. -- BERNAMA