Selasa, Julai 17, 2018

BEKAS KETUA KAMPUNG PUN NAK JADI CALON PRK SUNGAI KANDIS



SHAH ALAM: Seorang bekas ketua kampung, Ahmad Fahmi Hanapiah berharap akan diberi peluang mewakili PKR untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis pada 4 Ogos ini.

Ahmad Fahmi, 42, yang pernah menjadi ketua kampung Telok Menegon dan mendakwa aktif dalam PKR sejak 1998, berkata jika terpilih sebagai calon PRK itu, beliau akan memberi fokus kepada usaha untuk membaik pulih infrastruktur dan kemudahan asas di kawasan terbabit.

“Saya akan fokus untuk baik pulih longkang-longkang dan jalan raya terutamanya di kampung-kampung memandangkan di situ ialah kawasan banjir dan sudah tidak lama diselenggara.

“Kedua, saya akan cuba membangunkan sosio ekonomi kerana saya lihat pendapatan RM3,000 ketika ini adalah tidak mencukupi. Saya akan cari jalan untuk tambah pendapatan setiap isi rumah keluarga misalnya, kita mungkin boleh melaksanakan program hidroponik dan sebagainya,” katanya.

Mengulas mengenai kelebihannya jika dipilih sebagai calon PRK itu, Ahmad Fahmi berkata beliau pernah dipilih sebagai calon simpanan PKR pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Selain itu, beliau berkata dirinya merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Sarjana Harta Intelek selain merupakan pemimpin di peringkat akar umbi yang memahami masalah rakyat.

“Saya berharap pucuk pimpinan akan memilih calon yang ada sentuhan dengan rakyat,” katanya.

Ahmad Fahmi berkata, beliau juga mempunyai hubungan yang rapat dengan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Mat Shuhaimi Shafiei sehingga diberi kepercayaan sebagai timbalan pengarah PRU-14 bagi Sungai Kandis.

“Selain itu, kami selalu berkomunikasi dan saya sentiasa meminta nasihat daripada beliau mengenai penyelesaian masalah tempatan walaupun saya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Andalas, beliau di DUN Seri Muda,” katanya.

Ditanya kemungkinan pembangkang akan memainkan isu pengundi perlu memilih pembangkang sebagai semak dan imbang pada PRK kali ini, beliau berkata, HARAPAN juga boleh memainkan peranan sama serta ia bukan masalah besar.

“Ketika saya sebagai ketua kampung, saya juga melakukan semak dan imbang terhadap kerajaan dan menegur wakil rakyat mereka serta tidak semestinya daripada wakil Barisan Nasional (BN),” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Fahmi menjelaskan jika terpilih sebagai calon PKR, beliau tidak gentar berdepan dengan Umno mahupun PAS pada PRK kali ini dan menyasarkan sebanyak 70 peratus pengundi keluar mengundi bagi menjamin kemenangan HARAPAN.

PRK Sungai Kandis diadakan susulan penyandangnya, Mat Shuhaimi meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma dan difahamkan PKR Cabang Kota Raja telah mengemukakan empat calon kepada pucuk pimpinan untuk bertanding nanti.

Dilaporkan pemimpin kanan PKR yang juga Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata mesyuarat biro politik PKR negeri pada 10 Julai lalu memutuskan daripada senarai beberapa nama calon PRK hanya satu nama dipilih dan dihantar ke pihak kepimpinan pusat.

Ulasan saya, bekas ketua kampung pun berangan nak jadi calon PRK Sungai Kandis. Kalau pegawai daerah bolehlah berangan nak jadi YB.  Inilah standard calon PKR. Oleh itu biarlah pengundi PRK Sungai Kandis menilai latarbelakang calon PKR.

Kita bukannya nak merendahkan ketua kampung tetapi tanggungjawab sebagai YB lebih besar tak padan dengan menjaga satu kampung sahaja. Satu kawasan DUN mempunyai 20 buah kampung dan pengalaman menjaga satu kampung tidak cukup untuk menjadi seorang YB.

Lainlah kalau calon itu seorang penghulu yang pernah mengawas beberapa buah kampung amat membantu calon tersebut apabila jadi YB kelak. Oleh itu BN perlu letak calon yang lebih hebat untuk mengalahkan bekas ketua kampung jika Ahmad Fahmi disahkan sebagai calon PKR.

TIGA SEBAB KENAPA UMNO PERLU AMBIL TINDAKAN KEPADA KHAIRY


KUALA LUMPUR: Semalam kecoh semua ahli parlimen pembangkang keluar dari Dewan Rakyat membantah perlantikan Speaker Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Mohd Yusof kecuali tiga orang ahli parlimen BN iaitu Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Anipah Aman (Kimanis) dan Rozman Isli (Labuan).

 Khairy Jamaluddin berkata tindakannya tidak keluar daripada dewan rakyat bersama dengan pemimpin BN dan PAS kerana beliau menghormati majlis.

Katanya, meskipun ada pertikaian berkenan pelantikan speaker namun katanya keluar Dewan bukan cara kita menyatakan bantahan.

"Hari ini merupakan hari kita mengangkat sumpah jadi kita perlu hormati Dewan dan juga menghormati majlis angkat sumpah.

"Cara mana kita nak bantah itu kita boleh buat sewaktu perbahasan nanti atau selepas upacara perasmian pembukaan pada hari esok dalam perbahasan atau melalui 'standing order' pada hari Rabu," katanya.

Nampaknya Umno ada alasan untuk mengambil tindakan disiplin kepada Khairy kerana sudah ada tiga bukti yang kuat untuk mengambil tindakan kepada bekas Ketua Pemuda Umno Malaysia itu.

Pada 13 Julai lalu, Khairy Jamaluddin yang tewas dalam pemilihan merebut kerusi presiden Umno bulan lalu menyatakan keresahannya terhadap hala tuju yang diambil parti itu kini.

Beliau melihat Umno kini semakin ke arah perkauman selepas tewas pada PRU ke-14 dan baginya itu hanyalah jalan menuju 'kehancuran'.

"Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum dan kutip tabung untuk bekas presiden (Datuk Seri Najib Razak)...Takkan itu saja 'Umno baru'?

"Sudah kena pukulan maut semasa PRU ke-14 (tetapi) masih pekak terhadap suara rakyat.

"Jika modal untuk PRU ke-15 hanyalah momokkan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai peguam negara dan ketua hakim, lupakan saja impian menawan semula Putrajaya," katanya di Twitter.

Pada 14 Julai, Khairy Jamaluddin  menyifatkan perlantikan Tan Sri Mohamed Apandi sebagai ahli majlis tertinggi Umno sebagai sesuatu yang memalukan.

"Pelantikan awal mengecewakan. Yang ini (penolakan pelantikan Mohamed Apandi) memalukan.

"Kita perlu menjadi pembangkang yang mempunyai kredibiliti," katanya melalui kenyataan di Twitter.

Semalam, beliau tidak keluar dari Dewan Rakyat mematuhi arahan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang membantah perlantikan Speaker yang tidak ikut prosedur.

Maka sewajarlah Umno memberi surat tunjuk sebab kepada Khairy kenapa beliau tidak boleh diambil tindakan disiplin terhadap tiga insiden tersebut.