Khamis, Oktober 17, 2013
YANG DIRAMAL MENANG AHLI MAJLIS TERTINGGI LUSA IALAH
25 orang yang diramal menang lusa ialah Datuk Seri Shahidan Kassim, Datuk Seri Ismail Shabery Yaacob, Tan Sri Anuar Musa, Datuk Zahidi Zainul Abidin, Datuk Tawfiq Abu Bakar, Datuk Rosnah Shirlin, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Datuk Seri Idris Jusoh, Datuk Abdul Azeez Rahim, Datuk Mustapha Mohamad, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Razali Ibrahim, Datuk Dr Puad Zakarshi, Datuk Halimah Sadique, Datuk Mokhtar Radin, Datuk Jamil Khir Baharom, Datuk Rahman Dahlan, Datuk Dr Noraesah Mohamad, Datuk Mohamad Hassan, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, Datuk Hassan Malek, Abd Zarin Mohd Yasin, Datuk Idris Harun, Datuk Azlan Man dan Datuk Saifuddin Abdullah
YANG DIRAMAL MENANG NAIB PRESIDEN UMNO IALAH
Mereka yang diramal menang pada hari Sabtu ini ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Datuk Seri Ali Rustam
SETIAUSAHA POLITIK MB KATA PM BODOH
KEMAMAN: Seorang perwakilan Umno Bahagian Kemaman kesal dengan ucapan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (gambar dari kiri) yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bodoh.
Menurut mereka, seorang Setiausaha Politik tidak sepatutnya bercakap begitu kepada Perdana Menteri.
“Apatah lagi ucapannya dibuat secara terbuka kepada 300 perwakilan DUN Kijal pada 8hb Oktober lalu ketika beliau berkempen kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman,” kata seorang perwakilan kepada FMT yang enggan namanya disebut.
Ahmad Said akan ditentang seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang dalam pertandingan dua penjuru pada 19 Oktober depan.
Menurut perwakilan itu lagi, bukannya Najib menentang Ahmad Said.
“Kenapa Wan Ahmad Nizam perlu bodohkan Najib?” soal beliau.
Dalam ucapannya, Wan Ahmad Nizam yang dicabar jawatan Naib Ketua Bahagian oleh ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar berkata betapa susahnya Ahmad Said nak jadi Menteri Besar buat penggal kedua selepas pilihanraya umum Mei lalu.
Katanya, Ahmad Said telah pergi menemui Perdana Menteri di pejabatnya untuk ambil watikah perlantikan Menteri Besar tetapi beliau diberitahu Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri bahawa Najib amat sibuk buat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri.
Wan Ahmad Nizam mendakwa Ahmad Said dan beliau pergi ke rumah Najib dan menunggu Najib di rumahnya. Bila Najib sampai di rumah, Najib benarkan Ahmad Said menemuinya tetapi Najib suruh Ahmad Said balik terlebih dahulu kerana Najib tidak puas hati kerana BN menang 17 kerusi sahaja di Terengganu.
“Bodoh betul Najib. Ahmad Said nak pergi ambil watikah, dia suruh balik dulu,” kata Wan Ahmad Nizam dalam ucapannya itu yang mengejutkan semua hadirin.
Menurut perwakilan itu, dalam pertandingan Ketua Bahagian, jangan babitkan Perdana Menteri kerana bukannya beliau menaja Mat Dalam Awang menentang Ahmad Said.
“Oleh itu saya amat kesal dengan sikap Setiausaha Politik Menteri Besar yang celupar itu,” katanya lagi.
BERTANDINGLAH ATAS KEKUATAN SENDIRI
KEMAMAN: ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar mengajak calon-calon yang bertanding pada pemilihan Umno 19 Oktober ini bertanding di atas kekuatan sendiri.
Katanya, calon tidak perlu menjual nama sesiapa dalam meraih undi para perwakilan.
“Sudah tentulah agak janggal dan pelik sekiranya saya mengaitkan Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad (ayahandanya) dalam kempen saya, “katanya dalam facebook beliau mengulas kenyataan Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid yang mengatakan menentangnya seolah-olah menentang Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Wan Hakim akan berhadapan penyandang Naib Ketua Bahagian, Wan Ahmad Nizam dalam pertandingan satu lawan satupada 19 Oktober ini.
Menurut Wan Hakim, sudah tentu lucu kalau beliau menggunakan taktik ini iaitu perwakilan patut mengundinya kerana saya anak bekas Menteri Besar yang banyak berjasa di Kemaman dan tidak mengundinya adalah sama derhaka kepada beliau.
Katanya lagi, saya dilantik Menteri Besar sebagai pengerusi Backbencher.
“Jika saya berkempen menentang saya seolah-olah menentang Menteri Besar sudah tentu sama lucunya kerana beliau yang melantik saya sebagai Pengerusi Backbencher,” ujarnya lagi.
Beliau percaya perwakilan Umno cukup bijak dan calon-calon perlu mempunyai kekuatan serta kebolehan sendiri untuk bertanding jawatan dlm parti.
“Isu-isu legacy dan patronage tidak lagi relevan,” tegasnya.
Wan Hakim berkata Umno perlukan pembaharuan dan transformasi di Kemaman khususnya dan Terengganu amnya.
“ Segala strategi dan pendekatan yg diguna pakai selama lima tahun kebelakangan ini tidak begitu membuahkan hasil jika dilihat keputusan pilihanraya,” jelasnya.
Beliau percaya dgn tulus hati, beliau boleh membawa nilai tambah kepada Umno Kemaman membantu kepimpinan dengan memberi pandanganpandangan serta perspektif baru pada pengurusan serta strategi parti berdasarkan landasan transformasi yg sudah beliau perincikan sebelum ini.
MENENTANG MB ADALAH FARDU KIFAYAH
KUALA LUMPUR: Tepat ramalan FMT pada 4 September lalu bahawa seorang tokoh politik veteran dijangka mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said bagi jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman.
FMT pada hari tersebut menulis tanpa menyebut nama tokoh tersebut, sumber itu berkata beliau akan membuat kejutan pada 19 Oktober nanti walaupun beliau tahu peluang untuk menang adalah sukar.
Hari ini tokoh berkenaan, Mat Dalam Awang (gambar) mengesahkan bahawa beliau akan mencabar Ahmad Said untuk menyelamatkan Umno Terengganu dari kecundang dalam pilihanraya umum ke 14 kelak.
“Walaupun ditakdirkan nanti saya tewas setidaknya saya telah melaksanakan fardhu kifayah untuk semua ahli Umno Terengganu,” kata beliau kepada FMT ketika ditemui di Restoran Nagas berhampiran PWTC pagi ini.
Beliau pernah mengejutkan ahli Umno Kemaman pada tahun 2008 apabila beliau memutuskan untuk menentang Timbalan Ketua Umno Bahagian, Datuk Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Belia dan Sukan ketika itu.
Namun demikian,beliau tidak jadi bertanding kerana tidak cukup pencalonan yang menyebabkan Ahmad Shabery menang tanpa bertanding.
Beliau yang juga bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian berkata rakyat sudah hilang kepercayaan kepada Menteri Besar apabila 15 kerusi DUN BN tewas dalam pilihan raya umum lalu.
“Kalau kita tak berani berubah,ini bermakna BN Terengganu akan kecundang dalam pilihanraya umum 2018,” katanya.
Beliau berkata biarlah beliau mengorbankan diri untuk menyelamatkan Umno dari kehilangan kuasa memerintah negeri.
“Kehilangan 15 kerusi BN bermakna rakyat Terengganu telah memberi amaran keras kepada BN,” dakwanya lagi.
Sehubungan dengan itu, beliau yang pernah menjadi Pengerusi Belia 4B Daerah Kemaman menegaskan jika orang Umno masih berdiam diri, masih takut berkata benar, masih membiarkan amalan kroni dan rasuah terus berleluasa maka tidak mustahil Umno dan BN akan dihukum oleh rakyat Terengganu pada pilihanraya umum akan datang.
“Kalau dahulu Umno pernah mengidap penyakit di kaki maka kepala akan memikirkan bagaimana hendak mengubatinya, tapi hari ini Umno sudah mengidap sakit di kepala, anggota mana lagi yang boleh memikirkan untuk mengubatinya?” soal beliau.
PASTIKAN MAT DALAM TIDAK DAPAT LEBIH DARI SATU UNDI
KEMAMAN: Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (gambar) menyeru perwakilan Umno Bahagian Kemaman mempastikan pencabar Ketua Bahagian, Mat Dalam Awang tidak mendapat lebih dari satu undi pada pemilihan 19 Oktober ini.
Katanya, Datuk Seri Ahmad Said selaku Menteri Besar sudah banyak berjasa di Kemaman ini.
“Oleh itu pastikan Mat Dalam tidak mendapat lebih dari satu undi pada 19 Oktober,” katanya dalam pertemuan dengan jenteranya di sebuah hotel di sini baru-baru ini.
Pada 19 Oktober, Ahmad Said ditentang bekas penghulu, Mat Dalam Awang bagi jawatan Ketua Bahagian.
Pada 19 Oktober, seramai hampir 1,000 orang perwakilan akan menentukan nasib Ahmad Said atau Mat Dalam Awang sebagai Ketua Bahagian.
Manakala bagi jawatan timbalan pula, Menteri Multimedia dan Komunikasi, Datuk Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding.
Bagi jawatan Naib Ketua, Wan Ahmad Nizam ditentang ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.
“Saya adalah Setiausaha Politik. Kalau saya kalah, maknanya imej Menteri Besar tercemar. Oleh itu pastikan Wan Hakim kalah,” pesan beliau lagi.
Beliau yang kalah dalam pilihanraya umum lalu di DUN Chukai ditentang Wan Hakim setelah Wan Ahmad Nizam memenanginya jawatan Naib Ketua Bahagian pada tahun 2008 mengalahkan Datuk Mohd. Rahim Husin.
Pertandingan ini menarik kerana ia adalah perlawanan di antara wakil rakyat Air Putih dengan bekas wakil rakyat Air Putih (Wan Ahmad Nizam pernah menjadi ADUN Air Putih dari tahun 2004 hingga 2008).
Dalam pertemuan itu, beliau yakin Ahmad Said akan menang kerana berbanding Mat Dalam dengan Ahmad Said, apa jasa Mat Dalam kepada ahli-ahli Umno Kemaman.
“Apa yang Mat Dalam dapat beri kepada perwakilan?’ soal beliau.
Mat Dalam permah emngejutkan perwakilan Umno tahun 2000 apabila beliau mengalahkan bekas ahli parlimen Kemaman, Datuk Ismail Said bagi jawatan Pengerusi Tetap dengan majoriti satu undi.
KETUA CAWANGAN BERHARAP PENIPUAN TIDAK BERULANG
KEMAMAN: Seorang ketua cawangan Umno berharap penipuan yang berlaku sewaktu mengira undi dalam pemilihan Umno Bahagian Kemaman pada tahun 2008 tidak akan berulang pada pemilihan kali ini,
Menurut beliau yang enggan namanya disebut, pengambilan pelajar Universiti Teknologi Mara (Uitm) Dungun untuk mengira undi dijangka tidak menimbulkan sebarang penipuan.
“Pada tahun 2008, pengira undi dari KEMAS dikatakan bersubahat dengan penyelia kanan KEMAS (si pendek) yang membuat penipuan ketika mengira undi,” kata ketua cawangan itu lagi.
Pada tahun 2008, penyandang jawatan Naib Ketua Bahagian, Datuk Mohamed Rahim Husin tewas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam dengan majoriti yang kecil.
Menurut ketua cawangan tersebut, penipuan itu dirancang oleh “si pendek” yang akhirnya dilantik sebagai Setiausaha Bahagian yang baru menggantikan Zahari Said sebagai hadiah “membunuh” karier politik Mohamed Rahim.
“Yang paling mengejutkan banyak kertas undi ditemui dalam bag seorang ahli jawatankuasa wanita,” dakwa ketua cawangan itu lagi.
Dalam konspirasi itu, Zahari juga kalah bertanding ahli jawatankuasa Bahagian yang jelas menunjukkan “si pendek” yang melakukan penipuan itu.
Calon yang kalah buat bantahan kepada Badan Perhubungan Umno Terengganu. Badan itu mengarahkan supaya pemilihan Umno Bahagian Kemaman diadakan semula tetapi wakil perhubungan meminta supaya ia diselesaikan secara baik.
Zahari selaku Setiausaha Bahagian sudah mengeluarkan surat panggilan untuk mengadakan semula pemilihan tetapi Ahmad Said selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu menggunakan kuasa vetonya supaya pemilihan itu tidak diadakan semula atas alasan pemilihan semula akan memalukan nama baik Menteri Besar kerana ia berlaku di bahagian Menteri Besar.
“Kalau pada tahun 2008, pihak Bahagian sanggup menipu, apa jaminan pemilihan kali ini tiada penipuan?” tanya ketua cawangan itu.
Dalam pertandingan 2008, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding sebagai Ketua dan Timbalan Ketua Bahagian.
Pada 12 Oktober ini, Shaheda Jusoh mencabar Asfalinda Razak bagi jawatan Ketua Puteri, manakala dua calon merebut jawatan Ketua Pemuda yang kosong, Mohd Hazarul Ifdaz Mohd Rahim (Along) dengan Fikri Ibrahim (Bulat) dan Che Ku Maznah mencabar Senator Rohani Abdullah bagi jawatan Ketua Wanita.
Manakala pada 19 Oktober pula, Mat Dalam Awang (gambar) menentang Ahmad Said bagi jawatan Ketua Bahagian dan Wan Hakim Wan Mokhtar mencabar Wan Ahmad Nizam Wan Hamid bagi jawatan Naib Ketua Bahagian. Sementara itu Ahmad Shabery Cheek menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.
“Saya berharap pemilihan pada 12 dan 19 Oktober tidak ada lagi sebarang penipuan,” katanya lagi.
AHMAD SHABERY NAFI TAJA MAT DALAM
KEMAMAN: Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau menaja calon Ketua Bahagian Kemaman Mat Dalam Awang menentang Datuk Seri Haji Ahmad Said pada pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian pada 19 Oktober depan.
Beliau juga menafikan menaja calon Naib Ketua UMNO Bahagian Kemaman Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar yang mencabar Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid penyandang jawatan..
Beliau berterima kasih kepada Ahmad Said kerana telah membantu beliau sehingga berjaya hari ini.
Mengenai pertandingan Wanita dan Puteri, Shabery berkata, beliau tidak pernah dan memberi arahan kepada sesiapa untok bertanding dan beliau tidak bolih menghalang mana mana calon kerana ia adalah demokrasi. Beliau berharap biarlah pertandingan yang sihat demi perpaduan sesama ahli.
Sehingga kini Shabery belum turun padang untok memperkenalkan dirinya sebagai Calon Majlis Kerja Tertinggi UMNO. Beliau lebih kepada tugas sebagai menteri membantu kerajaan,
Perkara ini dinyatakan oleh pegawai khas beliau Haji Mustafa Abdul Rahman kepada Kelab Media Kemaman di pejabat Persatuan Kebajikan Bekas Perisikan Malaysia ( PERISI ) Cawangan Kemaman hari ini..
Menurutnya Haji Mustafa, Shabery mengucapkan terima kasih kepada perwakilan dan semua pihak di atas sokongan yang tidak berbelah bagi kepada beliau.
Beliau berharap ahli Umno terus memberi sokongan kepada Shabery dalam dalam pemilihan Majlis Tertinggi Umnokhususnya dari perwakilan Umno Bahagian Kemaman.
PERWAKILAN KEMAMAN DICUCUK HIDUNG?
KEMAMAN: Para perwakilan Umno Bahagian Kemaman akan ‘dicucuk hidung’ supaya mengundi 20 orang calon ahli majlis tertinggi Umno yang direstui oleh Umno Bahagian.
Menurut Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad atau Si Pendek , senarai itu akan dikeluarkan pada pagi 19 Oktober untuk memudahkan 900 orang perwakilan mengundi calon-calon ahli majlis tertinggi.
“Senarai itu akan diedar sewaktu para perwakilan mendaftar nanti,” katanya ketika berucap di rumah bekas ADUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera (gambar) malam tadi di majlisperjumpaan dengan perwakilan Umno dari DUN Chukai.
Si pendek turut berkata pengiraan undi akan dibuat di tempat lain supaya tidak mengganggu perjalanan persidangan perwakilan Umno Bahagian di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) pada Sabtu ini.
Menurut seorang perwakilan, apa motif pengiraan undi dibuat di tempat lain.
“Adakah si pendek merancang penipuan mengira undi seperti berlaku pada calon Ketua Pemuda semalam, Along?” soal perwakilan yang enggan namanya disebut.
Semalam Hazarul Ifdaz (Along) kalah teruk kepada Fikri Ibrahim (Bulat). Bulat mendapat 302 undi manakala Along mendapat 67 undi. Bulat menang dengan majoriti 235 undi.
Perwakilan itu mendakwa si pendek itu yang merancang penipuan kira undi pada tahun 2008 yang menyebabkan Naib Ketua Bahagian, Datuk Mohamad Rahim Husin kalah kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid.
Malah Setiausaha Bahagian, Zahari Zaid yang dapat undi popular setiap tahun turut kalah dalam pemilihan 2008 sebagai ahli jawatankuasa bahagian setelah ditipu kira undi oleh si pendek.
Perwakilan itu meminta semua calon yang bertanding Sabtu ini membuat bantahan jika benar seperti kata si pendek pengiraan undi hendak dibuat di tempat lain.
Pertandingan Sabtu ini amat sengit di antara Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dengan seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang ( gambar) bagi jawatan Menteri Besar.
Ahmad Said ketika menjadi Penolong Pegawai Daerah Kemaman pada tahun 1980an pernah tewas kepada Mat Dalam Awang dalam pertandingan Pengerusi 4B Daerah Kemaman.
Satu lagi pertandingan sengit pada Sabtu ini ialah di antara penyandang jawatan Naib Ketua Bahagian, Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dengan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.
KEDAH DAPAT DITAWAN KERANA SHAFIE APDAL?
PETALING JAYA: Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal mendakwa Kedah dapat ditawan semula pada pilihanraya umum 5 Mei lalu kerana sumbangannya.
Katanya, beliau berharap perwakilan dapat menilai kemampuannya apabila BN berjaya menumbangkan PAS di Kedah.
“Apakah sumbangan saya selama dua tahun setengah sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah walaupun mungkin sekitar satu atau lima peratus sehingga Kedah berjaya dirampas balik?,” tanya beliau dalam satu wawancara dengan Mingguan Malaysia semalam.
Katanya lagi, beliau berharap penilaian itu akan menjadi faktor-faktor kepada perwakilan dalam menentukan kejayaan beliau mempertahankan jawatan ini.
Tiada Sekatan
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mempertahankan jawatan itu bersama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Hussein. Mereka bertiga dicabar Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad, Pengerusi PUNB, Datuk Seri Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
Mengulas penyertaan Mukhriz, beliau berkata itu hak dia.
“Kalau dia hendak bertanding menawarkan diri tiada sekatan tetapi seperti yang saya katakan terdapat proses-proses yang harus dilalui. Syarat-syaratnya ada. Sebab itu sebelum menawarkan diri perlu menepati syarat-syaratnya iaitu menjadi ahli selama tiga tahun atau satu penggal,” katanya.
Katanya lagi, kemudian baru boleh menawarkan diri untuk menjadi Ahli Jawatankuasa Bahagian dan kemudian menawarkan diri menjadi calon di peringkat MT dan begitu juga di peringkat Presiden, Timbalan Presiden dan Naib-Naib Presiden. Ada langkah-langkahnya.
Shafie seolah-olah menyindir Mukhriz apabila beliau berkata,”Dalam dunia politik ini bila kita menurut langkah-langkah yang ada prosesnya ia akan mematangkan kita. Itu jauh lebih baik. Bayangkanlah seorang ahli biasa terus menawarkan diri untuk bertanding sebagai Presiden yang mana dia tidak tahu menahu tentang perjalanan parti,”.
Mukhriz yang tidak pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno terus menawarkan diri bertanding kerusi Naib Presiden Umno.
Ditanya adakah beliau optimis menang, Shafie berkata beliau tak boleh kata yakin 100 peratus.
“Kena kerja kuat. Dalam politik kita tidak boleh terlalu yakin sehinggalah hari pengundian itu tiba dan kita akan akan rasa puas kerana sudah buat yang terbaik untuk memastikan sasaran sudah dicapai,” katanya lagi.
Ditanya beliau akan dapat undi padu dari Sabah setelah Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman tidak bertanding jawatan Naib Presiden Umno, Shafie berkata walaupun beliau dari Sabah dan mendapat sokongan padu perwakilan Sabah pun, itu tidak bermakna beliau boleh boleh menang.
“Sabah hanya mewakili 25 bahagian sahaja, sedangkan saya perlu jugasokongan daripada perwakilan negeri-negeri lain. Di seluruh negara UMNO mempunyai 191 bahagian. Calon-calon yang bertanding perlu mendapatkan sokongan lebih 100 bahagian untuk menang dalam mana-mana jawatan yang dipertandingkan baik Presiden, Timbalan Presiden, Naib Presiden mahu pun Majlis Tertinggi,” kayanya lagi.
KENAPA HISHAMUDDIN TAKUT KEPADA ALI?
PETALING JAYA: Kenyataan terbaru Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mana-mana pemimpin yang ingin bertanding dalam pemilihan parti kali ini supaya tidak terlalu ghairah mengejar jawatan dan mengukur kemampuan mereka mengundang kontroversi.
Katanya, mana-mana pemimpin yang menawarkan diri bertanding dalam pemilihan Umno amat dialu-alukan tetapi tidak perlu terlalu ghairah untuk bertanding sehingga tidak melihat kemampuan diri sendiri.
“Jangan kerana ghairah sempena musim pemilihan, bila dipilih nanti, kita lupa tentang tanggungjawab dan amanah yang cukup berat,” katanya menjawab soalan pemberita mengenai kemungkinan ahli majlis tertinggi Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam turut bertanding jawatan Naib Presiden Umno.
Saya terkejut mendengar kenyataan Hishammuddin yang seolah-olah takut dengan Ali yang mungkin bertanding jawatan Naib Presiden Umno bersama Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Shafie Apdal dan Tan Sri Isa Samad.
Adakah Ali tidak layak bertanding jawatan Naib Presiden Umno kerana dia bukan lagi Ketua Menteri Melaka? Adakah beliau tidak layak dipilih ke jawatan tersebut kerana beliau sudah kalah pilihanraya?Adakah Ali tidak mengukur kemampuannya? Seolah-olah pada pandangan Hishammuddin, Ali tidak layak bertanding kerana beliau bukan menteri.
Apakah maksud Hishammuddin bila beliau berkata bila dipilih nanti, kita lupa tentang tanggungjawab dan amanah yang cukup berat? Adakah beliau menujukan kenyataan itu kepada Ali seolah-olah Ali lupa tanggungjawab sewaktu menjadi Naib Presiden Umno(2004-2009).
Ali menang bertanding kerusi itu pada tahun 2004 dengan Isa Samad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pada tahun 2009, beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno menentang Muhyiddin dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib, tetapi Ali tidak dibenarkan bertanding kerana kononnya terlibat dengan politik wang.
Maka kali ini beliau kembali bertanding kerusi Naib Presiden Umno walaupun beliau belum buat pengumuman rasmi. Tanpa jawatan dalam kerajaan beliau bebas bergerak ke seluruh negara dan ini yang menimbulkan ketakutan kepada Hishammuddin. Malah baru-baru ini beliau turut berada di majlis hari raya anjuran Umno Bahagian Kota Belud di Sabah.
Pemerhati politik percaya perwakilan Umno akan memilih Ali sebagai Naib Presiden kerana biasanya dalam tiga orang, seorang yang tiada jawatan dalam kerajaan akan diberi tempat juga sebagai Naib Presiden.
Pada tahun 1978, 1981 dan 1984, Tun Ghafar Baba yang tiada jawatan dalam kerajaan sering kali menang salah satu kerusi Naib Presiden Umno. Maka perwakilan Umno tidak ada masalah untuk memberi kemenangan kepada Ali yang bukan berada dalam kerajaan. (Beliau baru sahaja dilantik Pengerusi PUNB).
Ini yang menimbulkan ketakutan kepada Menteri Pertahanan yang gagal menawan perwakilan Umno sewaktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri. Beliau lebih dikenali sebagai menteri amaran ketika berada di KDN berbanding dengan Zahid yang lebih berani dan tegas sehingga dibenci oleh pemimpin parti pembangkang.
Jika Ali menang, satu kerusi perwakilan diberi kepada orang Sabah (Shafie Apdal), maka satu lagi kerusi Naib Presiden Umno yang kosong akan jadi rebutan antara Hishamuddin dengan Zahid. Ini yang membimbangkan Hishammuddin.
Ali sebagai bekas Presiden 4B dan Pengerusi Majlis Belia Malaysia (MBM) mempunyai akar umbi yang kuat. Datuk Idris Harun tidak dapat menandingi kehebatan Ali sebagai Ketua Menteri Melaka.
Kediaman rasmi Ketua Menteri Melaka pada jam 2 pagi masih terbuka kepada orang ramai ketika Ali menjadi Ketua Menteri yang tidak akan dialami lagi rakyat Melaka di zaman Idris sekarang. Ali seorang pemimpin yang rajin menerima undangan majlis kahwin orang ramai di Melaka dari pagi hingga ke malam semata-mata tidak mahu menghampakan tuan rumah.
Itulah kelebihan Ali yang mempunyai PR yang cemerlang yang tidak ada pada Hishammuddin. Inilah yang menjadi dilemma kepada Hishammuddin jika Ali bertanding.
MAMPUKAH ISA BUAT COME BACK?
PETALING JAYA: Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad sudah mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno pada 19 Oktober depan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata, sebagai orang lama dalam parti banyak pengalaman yang boleh disumbangkan kepada UMNO dan berharap mendapat sokongan.
Menurutnya, jika terpilih sebagai salah seorang Naib Presiden, beliau yakin dengan pengalaman serta kemampuannya itu mampu membantu memperkukuh parti pada masa hadapan.
“Apa yang saya miliki terutamanya dari segi pengalaman dan kebolehan dapat membantu mengurus parti untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan krim mandian Purich keluaran Delima Oil Products Sdn. Bhd, iaitu anak syarikat Felda Global Ventures Holdings Bhd. (FVGH) semalam.
Ketua Umno Bahagian Telok Kemang itu pernah memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi tertinggi mengatasi pada masa itu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).
Bagaimanapun, Lembaga Disiplin Umno menggantung keanggotaannya selama tiga tahun iaitu dari 24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008 setelah mendapati beliau bersalah dalam politik wang pada pertandingan parti itu.
Selepas tiga tahun digantung, pada 23 Jun 2008 keahlian beliau dikembalikan dan seterusnya berjaya memenangi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Sehingga ini empat orang calon sudah mengesahkan akan merebut kerusi itu termasuk tiga penyandang sekarang, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Hishamuddin Hussein dan Datuk Seri Shafie Afdal.
Dua calon lagi dijangka akan buat pengumuman tidak lama lagi iaitu bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman.
Pada tahun 2009, Isa turut bertanding jawatan tersebut tetapi tewas kepada Zahid, Hishamuddin dan Shafie. Beliau mendapat 432 undi tempat keenam dari lapan orang calon.
Mengenai persaingan tiga kerusi naib presiden yang dikatakan agak ‘panas’ kali ini, Mohd Isa berkata perkara itu tidak menjadi masalah kerana masing-masing mempunyai pengaruh tersendiri.
“Kita pilih pemimpin bukan macam pilih bakul, tak boleh macam beli buah. Kena pilih betul-betul sebab itu ada pemilihan parti.
Mampukah Isa buat come back kali ini? Dengan perwakilan yang bertambah seramai 150,000 orang dengan 55 Bahagian Umno berada di kawasan FELDA, mampukah Isa mengulangi kejayaan 2004?
“Saya serah kepada 150,000 ahli yang boleh mengundi kerana ini adalah pemilihan dalam Umno. Pemilihan keluarga sebab itu kita tidak boleh mewujudkan suasana tegang yang boleh merugikan parti,” katanya menjawab sama ada beliau mampu membuat come back atau tidak.
ZAHID TAK KESAH DAPAT NOMBOR BERAPA
KUALA LUMPUR: Penyandang jawatan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak kesah dapat nombor berapa dalam pemilihan 19 Oktober ini asalkan beliau menang.
Katanya, beliau menyerahkan dirinya kepada 146,000 perwakilan untuk menentukan kedudukannya dalam pertandingan enam penjuru itu.
“Saya pasrah kepada seluruh perwakilan untuk menilai perkhidmatan saya sepanjang empat tahun lalu,” katanya menjawab pertanyaan sama ada beliau dapat mengekalkan kedudukannya sebagai Naib Presiden nombor satu pada 19 Oktober ini.
Beliau berkata demikian dalam wawancara khas dengan FMT di Bangunan Parlimen di sini petang semalam.
Pada tahun 2009, beliau mendapat 1,592 undi mengatasi undi Datuk Seri Hishammuddin Hussein (1,515) dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (1,445).
Pada 19 Oktober ini, mereka bertiga dicabar Pengerusi FELDA, Tan Sri Isa Samad; Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUND), Senator Datuk Seri Ali Rustam dan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir.
Menjawab soalan sama ada mempertahankan jawatan lebih mudah dari memenanginya buat kali pertama pada tahun 2009, Dr. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau tidak pernah menjadikan karier politiknya sebagai karier bermusim.
“Saya tak pernah anggap penawaran jawatan sebagai sesuatu yang berbeza bagi setiap kali pemilihan kerana saya terus menjalankan perkhidmatan sebagai ahli politik bukan untuk merebut jawatan tetapi untuk kesinambungan perjuangan,” katanya.
Mengulas isu Pasukan Trio yang kononnya penyandang jawatan berkempen bersama walaupun dinafikan oleh mereka, beliau berkata terdapat keserasian dan kolaborasi di antara mereka bertiga dalam menjalankan tugas yang diamanahkan preiden parti yang menyebabkan berlakunya persepsi ini.
“Kami bertiga sudah serasi menjalankan tugas walaupun ada calon baru menawarkan perubahan,” katanya lagi.
Ditanya adakah kementerian yang diterajuinya memberi kelebihan kepada beliau kerana beliau dilihat lebih tegas dari bekas menteri (Hishamuddin), Dr Ahmad Zahid menjelaskan sama ada di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) atau di Kementerian Pertahanan atau di Kementerian Dalam Negeri, ia tidak lebih dari memberikan penerajuan dalam sesebuah kementerian.
“Saya lakukan tidak lebih dari menteri lain. Mungkin pendekatan saya lebih berbeza dari mereka yang menyebabkan timbulnya persepsi ini,” katanya.
Dr Ahmad Zahid menolak dakwaan bahawa mereka menjual nama presiden parti untuk menang.
“Saya tidak fikir Presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak menyokong calon-calon tertentu kerana beliau cukup berlaku adil kepada mana-mana calon yang bertanding,” katanya.
ALI TETAP BERJUANG WALAUPUN KALAH PILIHANRAYA
PETALING JAYA: Calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kalah dalam pilihan raya tidak bermakna perjuangan tidak perlu diteruskan.
Katanya, banyak pemimpin yang kalah dalam pilihan raya seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh, tetapi mereka terus berjuang.
“Malah Tun Dr Mahathir pernah kalah di Kedah pada tahun 1969 tetapi beliau terus berjuang. Atas asas ini saya terus berjuang walaupun kalah dalam pilihanraya umum 5 Mei lalu,” kata beliau dalam wawancara khas dengan Minguan Malaysia Ahad lalu.
Katanya lagi, kekalahan beliau dalam pilihan raya lepas kerana tsunami pengundi Cina.
“Kalau buat perbandingan, saya boleh teruskan perjuangan bagi membela nasib orang Melayu, bumiputera dan agama Islam untuk pastikan ia terus dipertahankan mengikut Perlembagaan,” tegasnya.
Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata beliau tidak nampak tanpa jawatan dalam kerajaan, undinya akan terjejas.
“Dalam lawatan saya ke beberapa tempat, nampaknya sambutan masih lagi baik seperti dahulu. Ada jawatan pun ada kelebihan, tiada jawatan pun ada juga sedikit kelebihan.,” katanya.
Katanya lagi, beliau boleh bertemu dengan lebih kerap dengan akar umbi dan ahli-ahli parti bagi mendengar masalah mereka dan bawa ke peringkat tertinggi. Ini membantu memperkuatkan lagi parti, kerajaan dan membantu juga Presiden dan Timbalan Presiden UMNO.
Menjawab soalan sama ada penyertaannya dalam pertandingan Naib Presiden Umno bertentangan dengan usaha meremajakan Umno, Ali berkata kalau kita lihat semua calon-calon Naib Presiden, semuanya melepasi usia 40 tahun, semua dah masuk golongan pertengahan usia.
“Saya, walaupun sudah berusia 64 tahun tetapi saya ikut cara di Jepun, ‘Life began at 60′ (hidup bermula pada 60). Walaupun usia saya 64 tahun tetapi tenaga saya macam 24 tahun, masih boleh bekerja lagi,” katanya.
Beliau menambah tentang usia, beliau berpendapat orang lama juga perlu bersama. Tiada yang lama, tiada yang baharu.
Bercakap tentang peluangnya untuk menang, Ali yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata macam sahabat-sahabat yang lain, semuanya kata yakin berjaya mengisi salah satu daripada tiga tempat Naib Presiden.
“Bila semua kata mereka boleh berjaya, saya pun nampak saya boleh mengisi salah satu daripada tiga tempat Naib Presiden. Semua ada peluang yang baik,” katanya lagi.
MUKHRIZ NAFI MAHU JATUHKAN NAJIB
PETALING JAYA: Calon Naib Presiden Umno, Datuk Mukhriz Mahathir berkata beliau tidak pernah langsung terlintas dalam fikiran hendak menjatuhkan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak jika beliau menang pada 19 Oktober ini.
Katanya, sewaktu Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin datang ke Sungai Limau baru-baru ini beliau bertanya Muhyiddin mengenai laporan media asing kononnya beliau dengan Muhyiddin mahu menjatuhkan Perdana Menteri, beliau hanya gelak.
“Selepas PRU ke 13, Umno makin kuat dapat 88 kerusi di parlimen dan dapat tawan semula Kedah, maka sebab itu mereka ada agenda dengan membuat laporan yang bukan-bukan seperti itu untuk melaga-lagakan kita,” katanya dalam wawancara khas dengan sebuah akhbar harian baru-baru ini.
Menurut Menteri Besar Kedah itu, usaha itu tidak akan berjaya kerana kita tahu apa sebenarnya isi hati kita dan perkara seperti itu memang tidak wujud.
Mukhriz bertanding jawatan Naib Presiden Umno Sabtu ini bersama lima calon lain iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Isa Samad dan Datuk Seri Ali Rustam.
Beliau berkata beliau bertanding jawatan Naib Presiden Umno kerana mahu membuat transformasi dalam Umno berdasarkan keputusan pilihan raya umum 2008 dan 2013.
“Sekiranya tidak ada suatu transformasi yang berlaku pada parti seperti mana yang disebut Presiden Umno dan timbalannya, maka mungkin kita akan terima padahnya.,” katanya.
Katanya lagi, kita tahu transformasi ini bukan mudah untuk dilakukan.
“Lebih-lebih lagi kalau tidak sedar bahawa kita tidak sepatutnya ada zon selesa. Maka, kita bimbang masa depan kita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.
Peluang terakhir
Beliau menambah berdasarkan kepada pengalaman menawan semula Kedah dalam PRU-13, ada sesuatu yang beliau boleh sumbangkan bagi meningkatkan keupayaan parti menghadapi cabaran getir itu.
Mukhriz berharap ada gabungan pemimpin pusat dan negeri dalam barisan Naib Presiden Umno.
“Saya berpendapat gandingan pengalaman di Kerajaan Pusat dan kerajaan negeri itu sangat berharga dan bernilai untuk saya kongsikan. Kita sudah ada Menteri bukan hanya di peringkat Naib Presiden tetapi juga di peringkat Majlis Tertinggi (MT). Saya ingat agak bernilai juga sumbangan idea dan pandangan oleh seorang Menteri Besar yang lebih memahami dan terdedah kepada isu-isu setempat,” ujarnya.
Beliau menolak dakwaan bahawa terlalu awal baginya bertanding kerusi Naib Presiden Umno sedangkan beliau tidak pernah menjadi ahli majlis tertinggi Umno.
“Saya bimbang dalam tempoh lima tahun ini kalau sokongan kepada BN itu terus menurun, mungkin tidak ada lagi kali yang selepas ini,” katanya.
Katanya, itu yang menimbulkan rasa cemas bagi diri beliau bahawa sesuatu perlu dilakukan dengan lebih cepat. Kita mesti memberi respons lebih awal kepada kehendak pengundi.
“Saya menganggap diri saya ini seperti Johnny come lately. Kalau saya tidak menawarkan diri bertanding peringkat Naib Presiden sekarang, saya fikir lebih ramai lagi tokoh-tokoh atau pemimpin muda yang lebih layak daripada saya selepas ini,” katanya lagi.
Ditanya apa kelebihan beliau berbanding lima calon lain, Mukhriz berkata beliau mempunyai idea-idea yang bersifat di luar kotak.
“Cara saya mengendalikan jentera pada PRU-13 tidak diduga pihak lawan. Kita sangat low profile, tidak terlalu ke depan. Kita bergerak banyak di bawah,” dakwanya.
Pendekatan luar kotak
Sebagai contoh, sambungnya lagi, di Kedah kita memberi penekanan kepada soal agama khususnya kita masuk secara senyap-senyap berjumpa dengan warga pondok agama, maahad tahfiz, sekolah agama rakyat di mana sepatutnya menjadi kekuatan kepada Umno yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara.
“Selalu disebut agama yang pertama tetapi entah mengapa Umno tidak dilihat sebagai pejuang agama,”katanya.
Katanya, pendekatan ini sangat sesuai untuk seluruh negara bukan hanya untuk Kedah sahaja.
“Saya fikir semua orang boleh buat tetapi pendekatan luar kotak ini yang sangat diperlukan oleh parti kerana pihak lawan cukup mengenali kita kerana ramai dalam kalangan pemimpin mereka berasal dari Umno,” katanya.
NAIB PRESIDEN UMNO: KETUA BAHAGIAN JADI KING MAKER
PETALING JAYA: Khairy Jamaluddin menang besar bagi jawatan Ketua Pemuda pada 12 Oktober lalu apabila 189 bahagian mengundinya. Empat calon lain yang bertaraf ketua pemuda cawangan iaitu Akramsyah Sanusi, Syed Rosli Syed Harman, Abd Karim Ali dan Irwan Ambak tidak mendapat sebarang undi.
Nampaknya pencabar Ketua Puteri, Jamilah Hanim Othman lebih kuat dari pencabar-pencabar Ketua Pemuda kerana beliau mampu mendapat 43 undi manakala Mas Ermieyati Samsuddin menang dengan 138 undi.
Kesimpulannya, pastikan nama anda sudah gah di peringkat kebangsaan baru boleh mencabar Ketua Pemuda Umno Malaysia. Kalau setakat ketua pemuda cawangan, tak payahlah buat keputusan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno Malaysia. Yang peliknya banyak bahagian yang pro Datuk Mukhriz Mahathir pada tahun 2009 tidak dapat membantu Akramsyah mendapatkan sebarang undi.
Bagaimana pula nasib enam orang calon Naib Presiden pada hari Sabtu ini? Berapakah undi yang mampu dipungut oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Hishamuddin Hussein, Datuk Seri Shafie Apdal, Tan Sri Isa Samad, Datuk Seri Ali Rustam dan Mukhriz Mahathir?
Nampaknya dalam pertandingan Naib Presiden Umno, Ketua Bahagian menjadi “king maker”. Mereka akan berunding dengan calon-calon Naib Presiden Umno kerana setiap Bahagian akan mengundi tiga orang sahaja. Jadi tidak mustahil Ketua Bahagian akan tawar menawar dengan calon-calon Naib Presiden Umno.
Tidak dapat tidak, politik wang tidak dapat dielakkan. Ia akan menjadi kuasa “bargaining power” untuk menentukan tiga orang Naib Presiden mendapat undi di setiap Bahagian. Sejauh mana dakwaan ini benar tidak dapat disahkan tetapi perwakilan akan mengugut calon, kalau tiada hulur, mereka tidak akan undi calon tertentu.
Walaupun calon ahli majlis tertinggi Umno, Zaharin Mohd Yassin berpendapat bahawa politik wang dapat dielakkan dengan tidak tunduk kepada ugutan para perwakilan, tetapi calon-calon yang bertanding sedikit sebanyak kena hulur juga kepada perwakilan kalau mahu menang. Walaupun Umno sudah banyakkan bilangan perwakilan sehingga 146,000 orang tetapi politik wang tetap tidak dapat dielakkan.
Politik wang sudah menjadi budaya dalam politik Umno. Jika Mukhriz berpegang kepada pesanan ayahandanya Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak terlibat dalam politik wang, Mukhriz akan mengalami nasib yang sama yang dihadapinya pada tahun 2009 ketika kalah di tangan Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Dr Khir Toyo dalam pertandingan Ketua Pemuda.
Mahukah Mukhriz menerima nasib yang sama sedangkan calon-calon lain terlibat dalam politik wang (walaupun sukar dibuktikan)? Terpulanglah kepada beliau untuk menangani isu politik wang dengan sebaik mungkin.
Pakatan
Sejauh mana pula Pakatan Trio (Zahid-Hishamuddin-Shafie) kuat sehingga tidak mampu dilanggar oleh Isa, Ali dan Mukhriz? Kalau benar ada pakatan di antara mereka bertiga, semua perwakilan Perak, Johor dan Sabah yang mengundi mereka bertiga sudah pasti mereka mampu mengalahkan Isa, Ali dan Mukhriz.
Sejauh mana pula Isa, Ali dan Mukhriz mampu mendapat undi dari Johor, Sabah dan Perak? Ini yang menjadi tanda tanya kepada kita.
Isa dan Ali pernah menang jawatan ini maka sedikit sebanyak pengaruhnya masih ada dalam perwakilan Umno yang seramai 2,500 orang dahulu. Untuk menembusi 146,000 perwakilan, mereka akan menentukan nasib Isa dan Ali pada hari Sabtu ini.
Isa selaku Pengerusi FELDA berbangga kerana 56 kawasan parlimen yang ada FELDA merupakan kubu kuat BN. Sejauh mana 56 bahagian ini dapat membantu Isa dalam pemilihan ini?
Mukhriz pula bergantung pada nama Dr Mahathir. Sejauh mana pengaruh Dr Mahathir masih kuat dalam Umno? Jika Mukhriz berjaya menumbangkan Pasukan Trio (sama ada Zahid-Hishamuddin-Shafie tersingkir), ia disebabkan para perwakilan masih menghormati Dr Mahathir.
Siapa yang tersingkir di antara Pasukan Trio? Ada yang mengatakan Hishamuddin yang akan tewas kerana beliau adalah menteri yang lemah di Kementerian Dalam Negeri (KDN) dahulu. Beliau terpaksa ambil cuti untuk berkempen di seluruh negara.
Malah Sultan Pahang digunakan untuk menjemput semua perwakilan dari Pahang. Sultan Pahang sempat berkempen supaya para perwakilan mengundi Hishamuddin yang mana isterinya adalah anak saudara Sultan Pahang.
Zahid dikatakan sukar tewas. Apa yang dilakukan di KDN memikat hati para perwakilan. Beliau dilihat Menteri Dalam Negeri yang tegas dan berani. Cuma kedudukannya belum pasti di nombor berapa. Dalam wawancaranya dengan FMT, beliau tidak kesah dapat nombor berapa.
Bagaimana pula nasib Shafie Apdal? Enam bahagian di Sabah tidak mengundi Jamawi Jaafar, pegawai khas beliau dalam pertandingan Naib Ketua Pemuda Umno Malaysia. Adakah enam bahagian yang sama tidak akan mengundi Shafie Sabtu ini yang membuktikan betapa Shafie tidak akan dapat undi yang solid dari Sabah.
Keputusan Naib Presiden Umno dijangka sengit. Tambahan pula para perwakilan sudah mengenali keenam-enam calon ini. Tidak seperti empat calon Ketua Pemuda yang tidak dikenali perwakilan, mereka hanya mengenali Khairy Jamaluddin sahaja maka Khairy menang besar pada Sabtu lalu. Akan tetapi keputusan pemilihan Naib Presiden Umno akan berlainan nanti.
Langgan:
Catatan (Atom)