Khamis, Oktober 17, 2013

ALI TETAP BERJUANG WALAUPUN KALAH PILIHANRAYA

PETALING JAYA: Calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata kalah dalam pilihan raya tidak bermakna perjuangan tidak perlu diteruskan. Katanya, banyak pemimpin yang kalah dalam pilihan raya seperti Lim Kit Siang dan Karpal Singh, tetapi mereka terus berjuang. “Malah Tun Dr Mahathir pernah kalah di Kedah pada tahun 1969 tetapi beliau terus berjuang. Atas asas ini saya terus berjuang walaupun kalah dalam pilihanraya umum 5 Mei lalu,” kata beliau dalam wawancara khas dengan Minguan Malaysia Ahad lalu. Katanya lagi, kekalahan beliau dalam pilihan raya lepas kerana tsunami pengundi Cina. “Kalau buat perbandingan, saya boleh teruskan perjuangan bagi membela nasib orang Melayu, bumiputera dan agama Islam untuk pastikan ia terus dipertahankan mengikut Perlembagaan,” tegasnya. Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata beliau tidak nampak tanpa jawatan dalam kerajaan, undinya akan terjejas. “Dalam lawatan saya ke beberapa tempat, nampaknya sambutan masih lagi baik seperti dahulu. Ada jawatan pun ada kelebihan, tiada jawatan pun ada juga sedikit kelebihan.,” katanya. Katanya lagi, beliau boleh bertemu dengan lebih kerap dengan akar umbi dan ahli-ahli parti bagi mendengar masalah mereka dan bawa ke peringkat tertinggi. Ini membantu memperkuatkan lagi parti, kerajaan dan membantu juga Presiden dan Timbalan Presiden UMNO. Menjawab soalan sama ada penyertaannya dalam pertandingan Naib Presiden Umno bertentangan dengan usaha meremajakan Umno, Ali berkata kalau kita lihat semua calon-calon Naib Presiden, semuanya melepasi usia 40 tahun, semua dah masuk golongan pertengahan usia. “Saya, walaupun sudah berusia 64 tahun tetapi saya ikut cara di Jepun, ‘Life began at 60′ (hidup bermula pada 60). Walaupun usia saya 64 tahun tetapi tenaga saya macam 24 tahun, masih boleh bekerja lagi,” katanya. Beliau menambah tentang usia, beliau berpendapat orang lama juga perlu bersama. Tiada yang lama, tiada yang baharu. Bercakap tentang peluangnya untuk menang, Ali yang juga Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) berkata macam sahabat-sahabat yang lain, semuanya kata yakin berjaya mengisi salah satu daripada tiga tempat Naib Presiden. “Bila semua kata mereka boleh berjaya, saya pun nampak saya boleh mengisi salah satu daripada tiga tempat Naib Presiden. Semua ada peluang yang baik,” katanya lagi.