Khamis, Oktober 17, 2013

PERWAKILAN KEMAMAN DICUCUK HIDUNG?

KEMAMAN: Para perwakilan Umno Bahagian Kemaman akan ‘dicucuk hidung’ supaya mengundi 20 orang calon ahli majlis tertinggi Umno yang direstui oleh Umno Bahagian. Menurut Setiausaha Umno Bahagian Kemaman, Rosli Ahmad atau Si Pendek , senarai itu akan dikeluarkan pada pagi 19 Oktober untuk memudahkan 900 orang perwakilan mengundi calon-calon ahli majlis tertinggi. “Senarai itu akan diedar sewaktu para perwakilan mendaftar nanti,” katanya ketika berucap di rumah bekas ADUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera (gambar) malam tadi di majlisperjumpaan dengan perwakilan Umno dari DUN Chukai. Si pendek turut berkata pengiraan undi akan dibuat di tempat lain supaya tidak mengganggu perjalanan persidangan perwakilan Umno Bahagian di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) pada Sabtu ini. Menurut seorang perwakilan, apa motif pengiraan undi dibuat di tempat lain. “Adakah si pendek merancang penipuan mengira undi seperti berlaku pada calon Ketua Pemuda semalam, Along?” soal perwakilan yang enggan namanya disebut. Semalam Hazarul Ifdaz (Along) kalah teruk kepada Fikri Ibrahim (Bulat). Bulat mendapat 302 undi manakala Along mendapat 67 undi. Bulat menang dengan majoriti 235 undi. Perwakilan itu mendakwa si pendek itu yang merancang penipuan kira undi pada tahun 2008 yang menyebabkan Naib Ketua Bahagian, Datuk Mohamad Rahim Husin kalah kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid. Malah Setiausaha Bahagian, Zahari Zaid yang dapat undi popular setiap tahun turut kalah dalam pemilihan 2008 sebagai ahli jawatankuasa bahagian setelah ditipu kira undi oleh si pendek. Perwakilan itu meminta semua calon yang bertanding Sabtu ini membuat bantahan jika benar seperti kata si pendek pengiraan undi hendak dibuat di tempat lain. Pertandingan Sabtu ini amat sengit di antara Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dengan seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang ( gambar) bagi jawatan Menteri Besar. Ahmad Said ketika menjadi Penolong Pegawai Daerah Kemaman pada tahun 1980an pernah tewas kepada Mat Dalam Awang dalam pertandingan Pengerusi 4B Daerah Kemaman. Satu lagi pertandingan sengit pada Sabtu ini ialah di antara penyandang jawatan Naib Ketua Bahagian, Wan Ahmad Nizam Wan Hamid dengan ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar.