Sabtu, Oktober 29, 2016

HAJI HADI MENEMUI DR SALLEH BINCANG ISU SEMASA



Langkah yang diambil oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang mengunjungi Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di pejabatnya  memang wajar diberi pujian. Walaupun beliau adalah pemimpin parti pembangkang tetapi beliau sanggup merendah diri menemui menteri Umno.

Melestari budaya politik matang dan sejahtera, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS terus memacu perjuangan ini merentas pelbagai sempadan dan tembok yang melingkar dalam usaha mengarusperdanakan perjuangan dan penyelesaian Islam*yang diperjuangkan oleh PAS.

Minggu lepas menyaksikan satu lagi siri pendekatan yang mempertemukan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Menteri Komunikasi dan Multi MediaMalaysia, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said di pejabatnya Angkasapuri.

Mengiringi Datuk Seri Tuan Guru ialah Naib Presiden PAS ,Ustaz Idris Ahmad dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beberapa isu penting dibincangkan dalam pertemuan tersebut melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Datuk Seri Tuan Guru yang juga di atas sifatnya sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Antarabangsa telah memberi penglibatan untuk sama - sama mencari jalan mengatasi isu penculikan di perairan Sabah dan menegaskan perlunya satu penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam merungkai isu tersebut.

Subjek penting dalam pertemuan itu juga ialah saranan Datuk Seri Tuan Guru kepada pihak berkuasa kementerian agar dapat mewujudkan inisiatif kerjasama pemberitaan dikalangan negara serantau terutama untuk melawan pelampau media dengan pemberitaan palsu dan fitnah mereka yang berleluasa mutaakhir ini termasuklah mendepani keganasan media dan agensi berita asing dengan pemberitaan yang direka cipta untuk melunaskan agenda tersembunyi mereka.

Datuk Seri Tuan Guru turut menarik perhatian agar isu menangani media sosial dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak dalam meneliti kesahihan dan kewajaran maklumat yang di muat naik ke dunia siber itu.

Justeru itu, Datuk Seri Tuan Guru turut menegaskan betapa keganasan dan pelampau media ini sangat bahaya dan mampu menggugat keharmonian masyarakat atau rakyat dalam negara kita.

Kunjungan ini turut mempamerkan pendekatan PAS sebagai Pembangkang Konstruktif (Pembangkang Yang Membina). Bertemu dan memberi pandangan, kritikan serta membantu untuk sama - sama ambil tanggungjawab bagi merungkai masaalah semasa yang membelenggu negara dan rakyat.

MEMPERTAHANKAN KEDAULATAN BAHASA MELAYU


Oleh Shahbudin Haji Embun

(sudah disiarkan dalam Utusan Malaysia)



“Pemimpin Melayu juga, jangan begitu cepat mencurah air daripada tempayan, kerana mendengar dentuman guruh di langit. Anak Melayu yang sudah tinggi pengajiannya, sudah tinggi ilmunya, sudah tinggi jawatannya, berhentilah daripada bersifat kacang lupakan kulit. Janganlah ilmu dan pengetahuan, status dan pangkat, yang membolehkan anak Melayu sudah pandai bersarapan keju dan sosej, menjadikan anak Melayu terlupa daratan.

“Justeru, memberikan martabat dan kemuliaan kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan itu adalah sebahagian daripada semangat perjanjian kemerdekaan yang perlu terus dihidupkan dan obor memperjuangkannya hendaklah dinyalakan sepanjang masa,” Begitulah antara titah ucapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam Majlis Titah Diraja di Dewan Bahasa dan Pustaka baru-baru ini.

Apa yang dititahkan oleh Sultan Nazrin merupakan satu saranan yang perlu diberikan perhatian yang serius agar bahasa Melayu terus dimartabatkan sebagai bahasa kebangsan yang semestinya menjadi kebangaan seluruh rakyat Malaysia.Dan dalam kita mengejar arus pembangunan dan pemodenan, inilah cabaran yang perlu dihadapi oleh seluruh masyarakat Malaysia iaitu untuk  terus mempertahankan kedaulatan bahasa kebangsaan .

Pada suatu ketika  dahulu, ketika Kerajaan Melayu Melaka terkenal di serata dunia, bahasa Melayu juga telah dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan  bahasa undang-undang serta ketatanegaraan.Manakala elemen kesusateraaan bahasa Melayu yang tinggi telah menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang paling unggul di rantau ini.

Namun ini adalah senario beratus-ratus tahun dahulu. Kini tidak salah jika ada pihak yang beranggapan bahawa Bahasa Melayu tidak  lagi berfungsi dengan sebaik-baiknya untuk  dijadikan sebagai bahasa tamadun. Mungkin kenyataan ini dianggap keterlaluan tetapi pada masa yang sama kemungkinan itu boleh berlaku jika kita membiarkan bahasa Melayu terus tenggelam di bawah arus kemajuan dan pemodenan.

Lihat sahaja ibu bapa hari ini yang terus mendidik anak-anak  sejak dari kecil lagi supaya pandai berbahasa Inggeris. Tidak ada salahnya usaha ini. Bahkan ianya merupakan satu usaha yang baik.Apatah lagi jika seseorang itu mempunyai penguasaan bahasa Inggeris  yang baik, maka pastinya akan membuka peluang yang lebih luas untuk mendapatkan pekerjaan.Namun apa yang menyedihkan ialah apabila bahasa Melayu dianaktirikan oleh sebilangan masyarakat kita sendiri termasuklah mereka yang berbangsa Melayu.Mungkin ada yang beranggapan masyarakat akan lebih memandang tinggi pada mereka yang fasih dalam bahasa Inggeris.

Penulis bernasib baik kerana pernah berbual kosong  dengan pakar bahasa Melayu dan Inggeris ,Adibah Amin tentang isu bahasa Melayu ini. Daripada pengalaman yang Adibah lalui, beliau ada menceritakan bagaimana orang kita lebih suka menggunakan alasan “kalau gunakan Bahasa Inggeris senang sikit dan lagi sedap bunyinya , tapi kalau gunakan bahasa Melayu, janggal sungguh bunyinya” apabila kehilangan idea untuk berkarya dalam bahasa Melayu.

Dalam hal ini Adibah pernah memberikan nasihat supaya kita rajin sedikit mencari ayat dalam bahasa Melayu yang boleh menandingi mahupun lebih baik daripada bahasa asing.Orang kita lebih suka mengambil jalan mudah dan menyalahkan bahasa Melayu yang dikatakan tidak cukup hebat.Rasanya tidak perlu diingatkan bahawa Bahasa Melayu ini kaya dengan perbendaharaan dan kiasannya. Kehalusan bahasa Melayu mampu meruntun  jiwa mereka yang mendengarnya. Manakala sindirannya pula sukar untuk ditandingi oleh bahasa asing yang lain.

Penulis juga pernah membaca temuramah Dr Lim Swee Tin dengan sebuah akhbar tempatan tentang isu bahasa Melayu. Lim Swee Tin, merupakan penyair, penulis dan pakar bahasa Melayu yang hebat dan pernah dianugerahkan S.E.A Write Award 2000,iaitu satu penghargaan tertinggi dalam bidang kesusasteraan di Asia Tenggara oleh kerajaan Diraja Thailand.

Dan ada juga di antara karya –karya beliau dalam bahasa Melayu yang telah diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Cina, Thai, Jerman, Portugis, serta beberapa lagi bahasa dunia yang lain.Kejayaan beliau membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah milik semua bangsa di Malaysia. Bahasa Kebangsaan inilah yang akan merapatkan lagi perhubungan dan keharmonian sesama kaum di Malaysia.

Sebagaimana maklum, bulan Oktober ialah ialah bulan bahasa Kebangsaan. Difahamkan juga banyak program yang telah dirancang dan telah dilaksanakan untuk terus memartabatkan bahasa kebangsaan kita ini. Janganlah program yang telah diatur ini hanya bersemarak pada bulan Oktober sahaja dan kemudian terus menyepi sehingga tahun depan. Bahasa Melayu pernah merasai zaman gemilangnya dan terpulang kepada kita semua untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan bahasa Melayu di rantau ini.