Sabtu, Oktober 29, 2016

HAJI HADI MENEMUI DR SALLEH BINCANG ISU SEMASA



Langkah yang diambil oleh Presiden PAS, Datuk Seri Haji Hadi Awang mengunjungi Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak di pejabatnya  memang wajar diberi pujian. Walaupun beliau adalah pemimpin parti pembangkang tetapi beliau sanggup merendah diri menemui menteri Umno.

Melestari budaya politik matang dan sejahtera, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang selaku Presiden PAS terus memacu perjuangan ini merentas pelbagai sempadan dan tembok yang melingkar dalam usaha mengarusperdanakan perjuangan dan penyelesaian Islam*yang diperjuangkan oleh PAS.

Minggu lepas menyaksikan satu lagi siri pendekatan yang mempertemukan Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan Menteri Komunikasi dan Multi MediaMalaysia, Datuk Seri Dr Salleh Tun Said di pejabatnya Angkasapuri.

Mengiringi Datuk Seri Tuan Guru ialah Naib Presiden PAS ,Ustaz Idris Ahmad dan Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beberapa isu penting dibincangkan dalam pertemuan tersebut melibatkan kepentingan negara dan rakyat.

Datuk Seri Tuan Guru yang juga di atas sifatnya sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Antarabangsa telah memberi penglibatan untuk sama - sama mencari jalan mengatasi isu penculikan di perairan Sabah dan menegaskan perlunya satu penyelesaian yang lebih menyeluruh dalam merungkai isu tersebut.

Subjek penting dalam pertemuan itu juga ialah saranan Datuk Seri Tuan Guru kepada pihak berkuasa kementerian agar dapat mewujudkan inisiatif kerjasama pemberitaan dikalangan negara serantau terutama untuk melawan pelampau media dengan pemberitaan palsu dan fitnah mereka yang berleluasa mutaakhir ini termasuklah mendepani keganasan media dan agensi berita asing dengan pemberitaan yang direka cipta untuk melunaskan agenda tersembunyi mereka.

Datuk Seri Tuan Guru turut menarik perhatian agar isu menangani media sosial dan ia menjadi tanggungjawab semua pihak dalam meneliti kesahihan dan kewajaran maklumat yang di muat naik ke dunia siber itu.

Justeru itu, Datuk Seri Tuan Guru turut menegaskan betapa keganasan dan pelampau media ini sangat bahaya dan mampu menggugat keharmonian masyarakat atau rakyat dalam negara kita.

Kunjungan ini turut mempamerkan pendekatan PAS sebagai Pembangkang Konstruktif (Pembangkang Yang Membina). Bertemu dan memberi pandangan, kritikan serta membantu untuk sama - sama ambil tanggungjawab bagi merungkai masaalah semasa yang membelenggu negara dan rakyat.