Selasa, Mei 10, 2016

MAMPUKAH UMNO KEKAL 70 TAHUN LAGI?

KEMAMAN, 10 Mei (Bernama) -- Mampukah UMNO kekal 70 tahun lagi untuk diwariskan kepada generasi akan datang atau hanya mengenang sejarah 70 tahun yang boleh hilang ditelan zaman.

Veteran UMNO Datuk Abu Bakar Ali berkata mengekalkan apa yang telah ada tentunya sukar namun jika tidak diingatkan, parti ini boleh lenyap dan menghampakan nenek moyang yang telah bertungkus lumus membina dan mengukuhkannya.

Beliau yang berkecimpung dalam politik sejak 1970 berkata perjuangan UMNO dahulu dan sekarang tentunya jauh berbeza namun semua pihak tidak boleh menidakkan bahawa pemimpin terdahulu telah berjuang habis-habisan bagi memastikan UMNO dapat diwarisi seperti hari ini.

"Kita kena ingat perjuangan nenek moyang kita dari 1946, begitu tinggi semangat perjuangannya dan mereka berikrar pada masa itu untuk mewariskan perjuangan UMNO ketika itu untuk anak cucu akan datang.

"Kita takut 70 tahun dahulu nenek moyang kita tinggalkan dengan keadaan yang begitu baik dan UMNO yang comel...tetapi bolehkah kita simpan perjuangan UMNO ini dan kita wariskan pula kepada anak cucu kita 70 tahun akan datang?" katanya dalam nada sebak ketika wawancara eksklusif bersama Bernama sempena ulang tahun UMNO ke-70 esok.

Abu Bakar, 70, yang pernah menjadi Anggota Dewan Undangan Negeri Kemasik selama empat penggal bermula 1990 hingga 2008 berkata dahulu hubungan sesama anggota UMNO begitu erat dan perpaduan yang utuh.

"Dulu perpaduan sangat kukuh sebab ketika itu masing-masing berjuang untuk mendapatkan kemudahan asas di kampung, sebab sekitar tahun 1966 hingga awal 70-an keadaan kampung masih kekurangan dari segi kemudahan asas, jadi mereka berjuang di peringkat cawangan dan bahagian untuk mendapatkan kemudahan asas hingga membuatkan UMNO bertambah kuat.

Abu Bakar yang menganggap ulang tahun UMNO kali ini sangat istimewa kerana seiring dengan usianya, berkata dahulu, dalam mesyuarat agung pemilihan cawangan dan bahagian, masing-masing akan menolak untuk menjadi anggota jawatankuasa tetapi kini ramai yang berebut untuk memegang jawatan kerana ada kepentingan diri.

Katanya anggota UMNO perlu kembali bangkit dari 'tidur yang lena' dan meneruskan perjuangan parti sebagaimana yang telah diwarisi dari nenek moyang dahulu.

Ditanya sama ada UMNO akan kekal diwarisi dalam tempoh 70 tahun akan datang atau tidak, Abu Bakar berkata sekiranya UMNO masih berada ditakuk sekarang dan tidak diubah ia agak sukar untuk dipertahankan.

"Kalau begini keadaannya, agak sukar...kita kena baiki, perbetulkan UMNO hari ini supaya kita dapat mewariskan UMNO ini kepada anak cucu kita akan datang kalau tidak...anak cucu kita akan merempat di tanah air sendiri sekiranya UMNO hilang kuasa.

"Nak perbaiki UMNO, pertama sekali perpaduan dan imej pemimpin UMNO perlu dipulihkan, tolak ansur antara satu sama lain perlu ada, pemimpin perlu rapat dan berbakti kepada masyarakat supaya mereka kenal siapa UMNO dan terhutang budi dengan UMNO, ini cara yang terbaik," katanya.

Tambah Abu Bakar anggota UMNO juga perlu bersatu dan membantu presiden parti untuk memberi keyakinan kepada rakyat dalam menangkis segala tohmahan tidak benar termasuk isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Inilah masanya untuk pemimpin di pelbagai peringkat termasuk cawangan, bahagian, negeri dan pusat memainkan peranan. Kita kena beri keyakinan kepada rakyat dengan menerangkan apa yang dilemparkan tak betul kerana mereka masih ragu-ragu dan masih belum dapat penjelasan sebenar mengenai isu-isu yang sengaja ditimbulkan.

Beliau berkata perpaduan dalam kalangan anggota UMNO amat penting terutamanya di peringkat kepimpinan pusat dan negeri yang menjadi tunjang utama bagi pengukuhan parti.

"Bersatu perlulah bermula dari atas (pucuk pimpinan), kalau atas tak bersatu macam mana bawah (rakyat) nak bersatu? Kalau nak mula dari bawah memang agak susah. Kalau rakyat tengok atas elok, mereka pun akan rasa lega," katanya.

Ditanya kedudukan UMNO dalam pilihan raya akan datang, Abu Bakar berkata beliau yakin kedudukan UMNO akan dapat dipulihkan sebelum pilihan raya ke-14 (PRU14).

"Bagaimanapun, jangan ada lagi perkara (konflik) lain yang berlaku di peringkat pusat selepas ini. Kalau ada perkara besar lagi berlaku di peringkat pusat, saya tak yakin dalam masa terdekat ia boleh diselesaikan sebab PRU14 dah tak lama lagi," katanya.

Abu Bakar berkata PRU14 akan menjadi PRU paling kritikal memandangkan pada PRU13 bilangan majoriti undian dan bilangan kerusi di pusat dan negeri dilihat terjejas.

"Kalau dulu di Terengganu, kita boleh menang 28 kerusi, orang yang sama juga mengundi. Kenapa sekarang 17? Itu bermakna pengundi lari, inilah masanya wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung untuk menawan semula hati mereka.

Abu Bakar yang kini masih bergiat dalam politik dengan memegang jawatan Ketua UMNO Cawangan Kerteh sejak 1986 berkata beliau berharap UMNO akan bertambah kukuh dan keadaan akan kembali berubah seperti UMNO dahulu.

-- BERNAMA

CINTA NORIAH DAN ASMUNI TETAP KUKUH WALAUPUN 30 TAHUN BERPISAH



MEREKA bertemu ketika remaja, jatuh cinta namun terpaksa berpisah. Tetapi...walaupun selepas lebih daripada 30 tahun dan telah mempunyai kehidupan masing-masing, namun cinta mereka tetap kuat dan utuh.

Itulah kisah cinta antara Allahyarhamah Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon dan Mohd Asmuni Abdullah, kedua-duanya, 52, dijemput Ilahi pada Khamis lalu, selepas helikopter yang mereka naiki terbabit nahas di Sungai Batang Lupar, Sarawak.

Kebahagian mereka hanya bertahan lapan bulan, sesudah berkahwin pada September lalu selepas bertemu semula melalui Facebook.

Adik Noriah, Saiful Baharim, 44, ketika mengimbau kembali kisah cinta kakaknya berkata, mereka berdua berpisah lebih daripada 30 tahun lalu, selepas ibunya membantah hubungan mereka berdua.

"Mereka belajar di sekolah rendah yang sama di SK Sungai Burong, Selangor. Mereka mahu berkahwin apabila mereka selesai belajar di sekolah menengah tetapi ibu tidak membenarkannya kerana dia berkata, sambung belajar lebih penting.

"Akhirnya, mereka terpaksa melupakan hasrat untuk bersatu demi melanjutkan pengajian masing-masing.

"Asmuni pergi ke Amerika Syarikat untuk belajar seni bina manakala Noriah menyambung pengajian dalam bidang undang-undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia," katanya petik laporan The Star yang menemui Saiful di rumah keluarganya, di Kampung Batu 12, Sungai Burong, di sini semalam.

Beliau berkata, kedua-dua terputus hubungan dengan satu sama lain dan Noriah kemudian berkahwin dan mempunyai lima orang anak daripada tiga perkahwinan terdahulu, termasuk mempunyai seorang anak angkat yang berusia tiga tahun, manakala Asmuni juga mempunyai empat orang anak dan menetap di New York selepas menamatkan pengajiannya.

Saiful berkata, pasangan itu hanya 'bertaut semula' pada awal tahun lalu apabila Noriah membuat 'reunion' untuk mengimpunkan alumni sekolah rendah beliau melalui Facebook.

Menyedari bahawa mereka masih mempunyai perasaan cinta antara satu sama lain, mereka terus berhubung dan berkahwin pada September lalu.

"Ia adalah benar-benar sebuah kisah cinta abadi kerana mereka suka antara satu sama lain sejak kecil," katanya sambil menunjukkan gambar-gambar lama Noriah dan Asmuni semasa zaman kanak-kanak dan remaja.

Sementara itu kakak Noriah, Sunarsih, 55, pula berkata, adiknya dilihat lebih gembira dan bahagia selepas berkahwin dengan Asmuni, dan acapkali bercakap tentang keluarganya.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan helikopter yang membawa Noriah dan enam penumpang lain dilaporkan hilang pada Khamis lalu, pesawat itu dalam penerbangan dari Betong ke Kuching.

Helikopter itu berlepas dari Betong jam 4.12 petang dan sepatutnya tiba di Kuching sekitar 5 petang, namun terbabit nahas yang mengakibatkan berlakunya tragedi.

Rentetan daripada itu, pasukan mencari dan penyelamat telah menjalankan misi menyelamat setakat ini lima mangsa sudah ditemui.

Sementara, mayat suami Allahyarham Noriah, Asmuni Abdullah, dijumpai pada 3.20 petang semalam, berhampiran tempat mayat Noriah ditemukan.

Selain Noriah dan Mohd Asmuni, tragedi berkenaan turut mengorbankan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad; Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Sundaran Annamalai dan pengawal peribadi Noriah, Lans Koperal Ahmad Sobri Harun.

Seorang lagi mangsa adalah, juruterbang warga Filipina, Kapten Rudolf Rex Ragas.