Jumaat, Julai 22, 2016

PM TIDAK DISIASAT OLEH JABATAN KEHAKIMAN AMERIKA SYARIKAT

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menegaskan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Rabu jelas menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak disiasat oleh pihak berkuasa negara itu.

"Ia (siasatan) tiada kaitan dengan Najib. Apa yang disiasat adalah berkaitan 'money laundering' (pengubahan wang haram) ke atas tiga individu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Komunikasi Pasifik dan Asia (Paca) di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch dengan jelas menyatakan bahawa mereka hanya menyiasat tiga individu yang dinamakan dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman.

"Ia amat jelas, saya fikir peguam negara Amerika telah menyatakan dengan amat jelas dalam kenyataannya bahawa mereka tidak menyiasat orang lain tetapi tiga individu itu," katanya.

Salleh turut menyangkal dakwaan mengenai konspirasi antarabangsa terhadap Malaysia susulan laporan tentang tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apa pula konspirasi? Mereka hanya menjalankan tugas mereka. Apabila ada laporan, mereka mengendalikannya berdasarkan undang-undang dan peraturan negara mereka.

"Tugas kami di sini adalah untuk menjelaskan situasi itu. Bagi kami, di Malaysia kami telah
mengendalikan isu 1MDB dengan agak baik. Kami benarkan orang ramai menyatakan pandangan mereka," katanya.

Salleh berkata pihak berkuasa Amerika menyiasat sama ada berlaku pengubahan wang haram yang berkaitan dengan sistem perbankan mereka berikutan transaksi telah berlaku di negara itu.

"Mereka perlu memastikan pengubahan wang haram tidak berlaku kerana ia melibatkan pelbagai negara lain berkaitan dengan transaksi itu.

"Saya fikir mereka bimbang tentang sistem perbankan di Amerika Syarikat dan mereka melihat dari sudut itu. Biar mereka siasat," katanya.

Salleh juga berkata tiada apa yang mahu disembunyikan oleh kerajaan Malaysia berkaitan dengan apa yang telah dilakukan dalam 1MDB berikutan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah selesai menjalankan siasatan.

"Bagi kami, tiada apa untuk disembunyikan. Bagi perkara berkaitan 1MDB, kami mempunyai laporan PAC, kami telah membincangkan secara mendalam perkara itu dan tindakan akan diambil berdasarkan laporan PAC," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai 'Malaysia Official 1' dinyatakan dalam kenyataan Jabatan Kehakiman itu, Salleh berkata ia hanya sekadar dakwaan oleh pengadu.

"Kami telah dengar mengenainya sejak lama dahulu. Ia apa yang dikatakan oleh pengadu. Anda perlu ingat bahawa ia bukan apa yang dikatakan oleh peguam negara.

"Itu pengadu yang kata, tetapi mereka merumuskan yang mereka mahu menyiasat tiga individu sahaja," kata Salleh.

-- BERNAMA

BANTUAN KHAS RISDA SELESAI SEPTEMBER INI

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah dijangka selesai diagih kepada pekebun kecil berkenaan selewat-lewatnya akhir Sept ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata setakat ini sebanyak 97,000 pekebun kecil telah berdaftar untuk mendapatkan bantuan yang diagihkan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) itu.

"Saya telah umumkan seramai 84,000 orang sudah mendaftar namun kini ia meningkat kepada 97,000 dan dijangka akan berterusan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita pada Majlis Moh Beraya bersama Risda di ibu pejabat Risda di sini, Khamis.

PERKASA KEKAL SEBAGAI NGO

KUALA TERENGGANU, 21 Julai (Bernama) -- Presiden Persatuan Pribumi Perkasa (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali menegaskan bahawa persatuan itu akan terus menjadi badan bukan kerajaan (NGO) dan bukannya parti politik.

Bagaimanapun katanya, pendirian itu boleh berubah suatu masa kelak kerana Perkasa masih tertakluk kepada keputusan persidangan agung tahunan.

"Sekarang tak timbul isu Perkasa akan jadi parti politik, tetapi ia terpulang kepada ahli Perkasa melalui persidangan agung tahunan.

"Katakanlah pada masa akan datang saya dah tak jadi presiden dan ada usul dalam kepimpinan supaya Perkasa ditukar jadi parti politik...kemungkinan akan jadi sebab keputusan tukar kepada parti politik bukanlah keputusan presiden dan ahli dewan tertinggi tetapi terletak pada keputusan persidangan agung tahunan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa Perkasa di sini hari ini.

Pada sidang media itu, Ibrahim turut mengumumkan pelantikan bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said sebagai Yang Dipertua Perkasa Terengganu menggantikan Datuk Ismail Samah berkuat kuasa hari ini.

Ibrahim berkata Perkasa akan terlibat dengan parti politik atas kepentingan bangsa dan agama meskipun NGO itu bukanlah sebuah parti politik.

Mengulas mengenai pelantikan itu, Ibrahim berkata pelantikannya dibuat atas keputusan sebulat suara Perkasa negeri yang mahukan Ahmad Said menerajui Perkasa di negeri ini.

"Beliau akan membuat sedikit rombakan bagi memperkukuh barisan kepimpinan dan Insya-Allah selepas ini saya percaya Perkasa negeri ini akan seiring ataupun akan lebih hebat daripada Perkasa negeri-negeri lain,"katanya.

-- BERNAMA