Memaparkan catatan dengan label pm. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label pm. Papar semua catatan

Ahad, April 28, 2019

MUHYIDDIN TOLAK JADI PM KERANA BERI LALUAN KEPADA DR MAHATHIR



KUALA LUMPUR 27 April - Rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu mengangkat sumpah di hadapan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Isnin lalu tidak dibuat oleh Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu ditegaskan oleh Pegawai Khas Tugas-Tugas Khas Kementerian Dalam Negeri, Datuk Dr. Marzuki Mohamad sambil menjelaskan dengan panjang lebar bahawa Muhyiddin berada di luar negara dan tidak terlibat langsung dalam keputusan melantik serta merombak Exco negeri tersebut.

Berikut adalah kenyataan penuh Marzuki:


Penglibatan Muhyiddin dalam rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor: Fakta sebenar

Beberapa pihak telah melemparkan tuduhan terhadap Muhyiddin Yassin berhubung isu rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor. Kononnya Muhyiddin telah membuat u-turn di saat akhir dengan membuat rombakan barisan Exco yang bercanggah dengan keputusan Kabinet supaya tiada rombakan dibuat.

Ramai ahli Bersatu menghubungi saya bertanyakan kedudukan sebenar perkara ini. Walaupun saya berasa berat hati untuk tampil membuat penjelasan kerana ini merupakan hal dalaman parti, tetapi oleh kerana fitnah terhadap Muhyiddin yang disebarkan oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab telah berleluasa, terutamanya dalam kalangan ahli-ahli Bersatu, saya berasa bertanggungjawab untuk menyatakan perkara yang sebenar.

Pertama, rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor tidak dibuat oleh Muhyiddin. Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berjumpa Muhyiddin pada 20 April 2019 untuk mendapatkan nasihat beliau mengenai pembentukan Exco Kerajaan Negeri Johor yang baharu. Saya berada bersama dalam pertemuan tersebut di mana Muhyiddin telah memberikan nasihat secara umum bahawa berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Johor, Menteri Besar berhak menasihati Sultan Johor mengenai pembentukan barisan Exco Kerajaan Negeri.

Menteri Besar Johor memberitahu Muhyiddin bahawa beliau mahukan satu pasukan Exco yang beliau percaya boleh bekerjasama dengannya dalam mengurus pentadbiran kerajaan Negeri Johor. Ini selaras dengan kenyataan Menteri Besar Johor sendiri yang dilaporkan oleh media. Oleh kerana Menteri Besar Johor mempunyai kuasa di bawah Undang-Undang Tubuh Negeri Johor untuk menyembah maklum nama-nama Exco yang akan dilantik, maka Muhyiddin menyerahkan perkara ini kepada budi bicara Menteri Besar.

Kedua, Muhyiddin berada di luar negara ketika Kabinet membuat keputusan bahawa barisan Exco Kerajaan Negeri Johor tidak boleh dirombak. Keputusan ini tidak dimaklumkan kepada Muhyiddin. Beliau hanya mengetahuinya setelah dimaklumkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada petang Isnin 22 April 2019, iaitu beberapa jam sebelum Mesyuarat Khas MPT Bersatu diadakan. Saya percaya jika Muhyiddin mengetahui keputusan ini dari awal, beliau sudah pasti menasihati Menteri Besar Johor supaya mematuhi keputusan tersebut.

Ketiga, ada pihak yang mendakwa Muhyiddin mengadap Sultan Johor pada 21 April 2019 semata-mata untuk menyembah maklum nama-nama Exco Kerajaan Negeri Johor kepada Tuanku Sultan. Saya telah jelaskan dalam tulisan saya sebelum isu rombakan barisan Exco Kerajaan Negeri Johor timbul bahawa Muhyiddin telah memohon perkenan Tuanku Sultan untuk mengadap kerana beliau tidak berkesempatan mengadap Tuanku untuk menyembah maklum nama Menteri Besar Johor kerana beliau berada di luar negara pada ketika itu. Ia tiada kaitan sama sekali dengan rombakan Exco Kerajaan Negeri Johor. Sebagai bekas Menteri Besar, Muhyiddin amat maklum bahawa bukan kuasa beliau untuk menasihati Tuanku Sultan mengenai pembentukan barisan Exco Kerajaan Negeri. Itu adalah kuasa Menteri Besar.

Saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai tulisan Tamrin Ghafar bertajuk “Jika Tak Nak Bantu Jangan Jadi Hantu”. Tulisan ini menyentuh tentang sejarah awal penubuhan Bersatu yang menggambarkan Muhyiddin sebagai seorang yang tamak kuasa dan ingin menghalang Dr. Mahathir daripada menjadi Perdana Menteri.

Saya tidak ingat bila masa Tamrin berada dalam Bersatu. Mungkin kerana dia tidak berada dalam Bersatu, dia tidak tahu sejarah sebenar.

Saya masih ingat di peringkat awal dahulu ketika beberapa pimpinan parti anggota Pakatan Harapan mula hendak menamakan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri, Bersatu masih belum membuat apa-apa pendirian rasmi mengenainya. Ada beberapa ahli MPT Bersatu datang menemui saya bertanya pendirian Muhyiddin mengenainya. Mereka merasakan Muhyiddin juga layak.

Tetapi Muhyiddin tegas mengatakan tiada orang yang lebih layak untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri selain daripada Dr. Mahathir. Malah, Muhyiddin adalah orang yang pertama membuka mulut dalam Mesyuarat MPT Bersatu mengesyorkan agar Bersatu secara rasmi menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri. Yang selebihnya adalah sejarah.

Malah, di ambang pembentukan kerajaan PH selepas 9 Mei 2018, seorang individu berpengaruh menawarkan jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin. Tetapi tawaran ini ditolak oleh Muhyiddin kerana rasa hormat beliau kepada Dr. Mahathir selain janji yang telah termeterai untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri. Tamrin tidak tahu sejarah ini kerana dia tidak berada dalam Bersatu.


Akhir kalam, kepada mereka yang gemar membuat cerita rekaan dan menabur fitnah, hentikanlah perbuatan terkutuk ini. Ingat, beban yang anda tanggung di padang Mahsyar nanti amatlah berat.

Bagi saya, sudah-sudahlah membuang masa bermain politik. Berilah ruang kepada pimpinan parti untuk menumpukan kerja membela rakyat kerana itulah sebab sebenar rakyat memilih Pakatan Harapan sebagai kerajaan

Sabtu, Disember 22, 2018

TUJUH PEMIMPIN PKR HALANG ANWAR JADI PM KE LAPAN?

oleh ABDULLAH KARIM

KUALA LUMPUR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang berdepan zon 'kritikal' untuk menjawat jawatan Perdana Menteri ke-8.

Ini adalah kerana beberapa pemimpin parti sama ada di dalam PKR mahupun BERSATU kedua mereka berusaha keras menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Menurut sumber dalaman PKR, tidak kurang enam ataupun tujuh pemimpin parti berkenaan sedang berusaha dengan pelbagai cara menghalang Ahli Parlimen Port Dickson itu mengetuai kerajaan.

"Bukan sahaja orang PKR yang tidak mahukan DSAI jadi Perdana Menteri malahan orang (pemimpin) BERSATU juga sama," katanya.

Pemimpin yang enggan namanya disiarkan berkata beliau amat mengetahui perkara ini dan sedang memerhati pergerakan mereka sebelum buat keputusan untuk menasihati Anwar supaya lakukan sesuatu.

Oleh kerana itu beliau dan rakan-rakannya sedang berusaha sedaya mungkin supaya Tun Dr. Mahathir Mohamad dapat menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan itu kepada Anwar sepertimana dijanjikan iaitu dua tahun sahaja jadi Perdana Menteri.

Beliau menegaskan sekiranya Mahathir memungkiri janjinya sepertimana selalu beliau lafazkan dalam setiap majlis, yang rugi nanti bukan Mahathir ataupun Anwar, sebaliknya orang-orang Melayulah yang akan kerugiaan.

"Sebab apa saya kata begitu sebab politik orang kita ini tidak pernah habis.

"Percakaran sesama anggota parti akan berterusan sebab masing-masing tak puas hati apabila calon mereka tak dapat jadi pemimpin.

"Akhirnya nanti pemimpin yang tak dapat jawatan ini akan terus berpolitik demi mencatur masa depan tanpa memperduli nasib masa depan rakyat," katanya.

Beliau bagaimanapun optimis bahawa Dr Mahathir akan mengotakan janji yang dibuatnya dulu apabila tiba masanya nanti.

"Di sini saya ingin merayu kepada semua pihak terutama sekali orang PKR supaya tidak membuat andaian yang bukan-bukan mengenai peralihan kuasa ini.

"Sebaliknya kita semua harus bersabar dan pada masa sama membuat pelbagai rancangan ataupun program yang boleh disertai oleh Mahathir dan Anwar," katanya.

Beliau yakin sekiranya program itu nanti boleh "menyedarkan" Tun M sehinggakan beliau terbuka hati menyerahkan jawatan kepada Anwar, itu lebih baik daripada berkata perkara yang belum tentu kebenarannya.

"Saya bagi contoh tayangan video yang memaparkan kisah anak-anak muda yang tidak dapat sesuatu akibat pergolakan dalam parti, antara cara yang boleh difikirkan sekiranya kita semua mahukan peralihan kuasa akan berjalan secara teratur," katanya.

Beliau percaya sedikit sebanyak Dr. Mahathir yang hadir dalam majlis itu nanti akan terfikir bahawa belia yang selama ini dipanggil pewaris negara akan ketinggalan dalam pelbagai perkara disebabkan perebutan kuasa.

Khamis, September 27, 2018

JANGAN GHAIRAH JADI PM ANWAR, NANTI KENA PANCUNG



KUALA TERENGGANU, 26 Sept (Bernama) -- Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa rakyat menolak sebarang andaian dan persepsi negatif berhubung hubungannya dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Anwar berkata beliau tidak mampu menolak semua desas-desus seumpama itu namun berharap kesungguhannya bersama pemimpin Pakatan Harapan (PH) dalam memberi kepercayaan kepada Dr Mahathir terus mendapat sokongan terutama dalam kalangan anggota PKR.

"Saya ambil keputusan bersama dengan kepimpinan PKR dan PH, masalah (negara) yang dihadapi besar dan kita tak mampu hadapi jika ada masalah dalam pimpinan PH. Maka kita biar(lah) kerajaan ini kuat dan di bawah (teraju) perdana menteri yang tegas barulah boleh selesaikan masalah besar seperti 1MDB.

"Tetapi ini tak menghalang orang cucuk dan mentafsir begitu begini untuk ajak saya bergaduh. Janganlah ajak saya bergaduh dengan Dr Mahathir...dah 20 tahun gaduh. Kami dah berbaik. Jangan ada adu domba politik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perjumpaan bersama pemimpin dan anggota PKR Terengganu di Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini hari ini.

Katanya walaupun PKR tidak berjaya menguasai Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Terengganu, hubungan baik dengan kerajaan negeri pimpinan PAS harus dibina demi kepentingan rakyat.

Selain itu, Anwar yang berucap kira-kira setengah jam, berkata beliau tetap bertegas menolak mana-mana anggota PKR terlibat rasuah dan langkah pemecatan akan diambil terhadap mereka yang berbuat demikian.

Bercakap pada sidang media kemudian, beliau menyifatkan tindakan beberapa bekas tokoh UMNO yang dilaporkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sama sekali tidak menggugat hubungan PKR dengan sekutunya dalam PH.



Beliau berkata sebagai parti yang sama-sama bernaung di bawah payung PH, PKR akan meneruskan jalinan kerjasama dan mengekalkan sikap saling mempercayai terhadap Bersatu dan parti komponen lain dalam pakatan itu.



"Kita masih lagi parti yang kuat dalam Pakatan (Harapan)...selagi hubungan dijalin dengan baik saya tidak harus musykil,” katanya.



"...yang penting kita harus mengekalkan hubungan baik dengan Bersatu, saling bekerjasama dan saling mempercayai...hubungan peribadi saya dengan Tun (Dr Mahathir) juga sangat baik, jadi saya tidak gusar,” katanya.



Majlis hari ini turut dihadiri Pengerusi PKR Terengganu Azan Ismail.



Dalam pada itu, Anwar, yang dinamakan calon PH bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson bulan depan, berkata beliau tidak terkejut apabila Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu dan PH memaklumkan tidak akan turun berkempen membantu beliau pada PRK itu.



Anwar berkata perkara itu telah dimaklumkan sendiri Dr Mahathir atas faktor mempunyai kekangan kerja sebagai perdana menteri.



"Sebagai perdana menteri, beliau ada beritahu tidak pernah turun berkempen pada mana-mana PRK kerana saya faham beliau ada keutamaan (sebagai perdana menteri). Tapi saya tahu beliau akan beri kerjasama dan meminta semua parti di bawah PH turut sama berkempen...dan beliau juga menasihatkan saya agar terus bekerja kuat,” katanya.

Anwar seterusnya berkata beliau tidak sesekali memandang rendah calon lain yang akan bertanding menentangnya pada PRK itu.

Katanya segala perancangan mengenai kelebihan yang bakal dinikmati penduduk di kawasan Parlimen itu termasuk dalam soal pendidikan akan diumumkan ketika mendapat peluang bertemu dengan masyarakat di sana tidak lama lagi.

-- BERNAMA

Khamis, September 06, 2018

EMPAT BULAN BERTUGAS, SETPOL AKHIRNYA ANGKAT SUMPAH

PUTRAJAYA, 5 Sept (Bernama) -- Seramai 23 setiausaha politik kepada menteri Kabinet mengangkat sumpah simpan rahsia di hadapan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini.

Majlis ringkas yang diadakan di Perdana Perdana Putra, di sini, turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ismail Bakar.

Antara yang mengangkat sumpah ialah tiga setiausaha politik kepada Perdana Menteri iaitu Muhammad Zahid Md Arip, Datuk Mohamad Nuhairi Rahmat dan Abu Bakar Yahya.

Turut serta ialah setiausaha politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Romli Ishak, Datuk Mohd Nardin Awang (Menteri Dalam Negeri), anggota Parlimen Damansara Tony Pua Kiam Wee (Menteri Kewangan), Mohd Azhar Che Mat Dali (Menteri Pertahanan) dan Mohd Nizam Morad (Menteri Pendidikan).

Bekas pengacara program Ruang Bicara di Bernama News Channel, Datuk Dahlan Maamor turut mengangkat sumpah sebagai setiausaha politik Menteri Pengangkutan

Rabu, Januari 31, 2018

PM DAN TPM SERENTAK RASMI THAIPUSAM DI DUA KUIL BERASINGAN



KUALA LUMPUR: Kuil-kuil menjadi tumpuan bagi acara keagamaan yang disempurnakan penganut Hindu pada sambutan Thaipusam yang diraikan dalam suasana meriah hari ini.

Kuil Sri Subramaniar Swamy di Kuala Selangor menerima tetamu khas dengan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak manakala timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjadi tetamu kehormat pada sambutan di kuil dengan nama serupa di Batu Caves.

Di Kuala Selangor, ribuan penganut Hindu mula membanjiri kuil berkenaan sejak malam tadi bagi bersembahyang dan membayar nazar.




Najib yang tiba pada kira-kira 11 pagi disambut mesra oleh pengunjung dan pengerusi kuil itu, T. Morgana Sundram. Turut hadir Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Pengerusi Barisan Nasional Selangor Tan Sri Noh Omar dan anggota Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim.

Rumah ibadat itu menjadi tumpuan bukan sahaja penganut Hindu malah pelancong tempatan dan asing bagi merasai sendiri pengalaman sambutan Thaipusam di Malaysia yang dianggap unik berbanding di beberapa negara lain.

Di Kuil Sri Subramaniar Swamy di Batu Caves pula, Ahmad Zahid membawa khabar gembira dengan mengumumkan peruntukan RM2 juta kepada kuil itu untuk membangunkan sebuah kompleks kebudayaan masyarakat India.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Subramaniar Swamy Devasthanam Tan Sri R Nadarajah, Duta Khas ke India dan Asia Selatan dalam bidang infrastruktur Tun Samy Vellu serta beberapa menteri kabinet, pemimpin masyarakat India selain ribuan penganut Hindu.

Thaipusam disambut penganut Hindu di seluruh dunia pada bulan 'Thai', iaitu bulan ke-10 dalam kalendar Tamil.

Pada perayaan Thaipusam, penganut Hindu menunaikan nazar dengan membawa kavadi dan bekas berisi susu. Bagi yang menyambutnya di Batu Caves, mereka menaiki ratusan anak tangga menuju ke kuil di dalam gua di situ.

Dalam perarakan tersebut, ada penganut yang membawa kavadi dan juga bekas mengandungi susu bagi upacara keagamaan. Orang ramai termasuk pelancong dalam dan luar negara turut bersesak sejak awal pagi untuk menyaksikan acara yang berlangsung.

Sementara itu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berharap agar sambutan Thaipusam tahun ini akan menjadi sumber inspirasi kepada semua masyarakat untuk terus hidup dalam suasana keamanan, perpaduan dan kestabilan.

Najib berkata sambutan perayaan oleh penganut Hindu itu diharap akan terus menjadi lambang semangat Negaraku serta kebersamaan menuju masa hadapan yang gemilang.

"Marilah kita bersama-sama menghayati semangat sambutan Thaipusam bersama keluarga, sahabat handai dan kenalan yang beragama Hindu.

"Semoga semua masyarakat Hindu di Malaysia menyambut Thaipusam dengan penuh makna pada tahun ini," kata Najib menerusi video pendek bersempena sambutan Thaipusam yang dimuat naik di laman rasmi Twitter @NajibRazak.

Manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap sambutan perayaan Thaipusam akan merapatkan jalinan perpaduan antara kaum di Malaysia.

"Hari Thaipusam merupakan keindahan masyarakat majmuk di Malaysia di mana setiap agama dan budaya tumbuh subur dan mekar tanpa sebarang sekatan.

"Hak kebebasan beragama terjamin di bawah Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Tradisi mengekalkan budaya ini adalah atas muafakat pemimpin pelbagai kaum yang berkongsi kuasa di bawah kerajaan Barisan Nasional," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan akan terus komited membangunkan aspek ekonomi, pendidikan dan struktur sosial masyarakat India di negara ini supaya mereka duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum lain.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri juga berkata sambutan Thaipusam di Batu Caves adalah yang terbesar sehingga Batu Caves disinonimkan seperti 'mini India' di mana ia dibanjiri oleh ratusan ribu penganut agama Hindu dari seluruh dunia.

"Batu Caves kini menjadi ikonik pelancongan peringkat antarabangsa. Ia juga menjadi 'lubuk rezeki' kepada para peniaga untuk membuka gerai menjual makanan, minuman, bunga, cenderahati, pakaian dan aksesori bagi menambah kemeriahan sambutan Thaipusam," katanya.

Oleh itu, pasukan keselamatan turut bersiap-siaga untuk berkawal dan menjaga keselamatan awam sepanjang sambutan.

Ahmad Zahid berkata beliau telah memberikan arahan supaya pasukan keselamatan berkawal bagi menjamin keselamatan awam.


Sambutan Thaipusam di Kuil Sri Subramaniar Swamy, Batu Caves di sini tahun ini telah dimeriahkan lagi dengan penampilan pedati emas setinggi 6.7m yang julung kali digunakan pada perarakan sambutan itu bersama pedati perak yang menjadi tradisi selama ini.

Pengerusi jawatankuasa kuil tersebut, Tan Sri R. Nadarajah berkata pedati emas bernilai RM5 juta itu dimasukkan dalam perarakan tahun ini bagi memberikan peluang kepada orang ramai untuk melihatnya.

Bagaimanapun, katanya, perarakan pedati emas tidak akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.

"Kami mahu memberi peluang kepada penganut Hindu di ibu negara untuk melihatnya kerana mereka telah turut memberikan sumbangan untuk membina pedati emas yang disiapkan khas tahun lepas bagi sambutan 'Vinyagar Sathurthi'.

"Pedati emas akan membawa arca Dewa Vinayagar manakala pedati perak seperti biasa akan menjunjung Dewa Murugan dan dua isterinya Dewi Valli dan Devi Theivanai," katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata perarakan kedua-dua pedati itu bermula dari Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S.Lee, di sini, pada jam 10 malam, Isnin lalu, dan dijangka tiba di di kuil Batu Caves pada jam 2 petang hari berikutnya.

Nadarajah berkata perarakan pulang dari Batu Caves hanya melibatkan pedati perak sahaja pada 1 Feb dan dijangka tiba di Kuil Sri Maha Mariamman pada tengah malam hari yang sama dan perarakan itu dijangka disertai seramai 200,000 penganut Hindu.


Nadarajah juga berkata seramai 1.5 juta penganut Hindu dan pelancong asing dijangka membanjiri Batu Caves yang terkenal dengan patung Dewa Murugan terbesar di dunia dengan ketinggian 42.7m pada sambutan Thaipusam tahun ini.

Beliau berkata kuil di Batu Caves yang turut menempatkan 400 gerai tidak akan ditutup dan beroperasi seperti biasa pada tempoh gerhana bulan yang dijangka berlaku pada malam hari Thaipusam.

Katanya, penganut Hindu boleh menunaikan nazar atau sembahyang pada waktu gerhana bulan pada hari berkenaan dan satu upacara khas (parigara pooja) akan diadakan pada malam itu selepas gerhana bulan.

Batu Caves merupakan kuil tunggal di negara ini yang akan membuka ruang kepada masyarakat India untuk menunaikan nazar pada tempoh berlakunya gerhana bulan.



Di Malaysia, Thaipusam turut disambut meriah di Kuil Sri Arulmigu Balathandayuthabani yang terletak di atas bukit di Pulau Pinang dan Kuil Arul Subramaniar yang terletak di kawasan batu kapur Gunung Cheruh, Ipoh, Perak.

Untuk memudahkan penganut Hindu dan pelancong pergi ke Batu Caves, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan perkhidmatan tren KTM Komuter tanpa henti selama tiga hari dua malam bermula Selasa (30 Jan) bersempena sambutan Thaipusam.

Pengurus Besar Jabatan Operasi KTMB, S. Mahendran berkata perkhidmatan tren 24 jam itu melibatkan 783 perkhidmatan dengan empat laluan tren tambahan iaitu Pelabuhan Klang-Batu Caves; Pelabuhan Klang-KL Sentral-Port Klang; Seremban-Batu Caves-Seremban dan Sentul-Batu Caves-Sentul bagi memberi kemudahan pengangkutan kepada orang ramai khususnya penganut agama Hindu serta pelancong, ke Batu Caves.

"Sepanjang tempoh tersebut, waktu operasi tren tambahan akan dilanjutkan selepas waktu perkhidmatan sedia ada terakhir, antara jam 10.50 malam hingga 5.30 pagi. Walaupun pada Rabu (31 Jan) dan 1 Feb itu jatuh pada cuti umum iaitu Thaipusam dan Hari Wilayah, waktu perkhidmatan KTM Komuter pada tempoh tersebut mengikut jadual waktu hari bekerja sedia ada dan bukannya jadual hari cuti umum.

"Ini membolehkan kekerapan perjalanan antara 15 hingga 20 minit mengikut jadual kerja biasa berbanding setengah jam sekali untuk jadual cuti umum," katanya.

Beliau berkata bagi memastikan kelancaran operasi dan keselamatan penumpang, KTMB telah menugaskan 400 kakitangan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan St. John Ambulance.

Ahad, Januari 14, 2018

TIADA FAEDAH PERBESAR ISU MAHATHIR CALON PM

PASIR SALAK, 13 Jan (Bernama) -- Pemimpin UMNO perlu bersikap profesional dan tidak terlalu memperbesarkan isu pemilihan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri oleh Pakatan Harapan, kata anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata perkara itu bukan sahaja tidak mendatangkan manfaat kepada parti, malah memberi kelebihan daripada sudut kelangsungan politik bekas perdana menteri itu.

"Rata-rata berpendapat pemilihan Dr Mahathir sebagai perdana menteri tidak sesuai berdasarkan pelbagai faktor termasuk usianya.

Kalau kita sedar tentang perkara itu, mengapa ia perlu diperbesarkan? Tiada faedah dan hanya beri kelebihan politik pada beliau," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan 45 Tahun Rancangan Tanah Belia Khas Seberang Perak di sini, hari ini.

Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam, Selangor pada 7 Jan lalu menamakan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri sekiranya gabungan tersebut memenangi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Tajuddin yang juga anggota Parlimen Pasir Salak berkata pemimpin UMNO perlu menghadapi PRU14 dengan kekuatan tersendiri dan menguar-uarkan kemajuan yang telah dibawa jika ingin terus diberi mandat untuk memerintah.

"Kita kena tunjuk kejayaan kita selama ini membela rakyat, bangunkan negara selain jaga kepentingan agama Islam. Bukannya tonjol maki hamun, fitnah dan sebagainya yang bercanggah dengan budaya Melayu," katanya.

Mengulas mengenai peluang BN memenangi PRU14, Tajuddin berkata rakyat perlu bijak memilih dan tidak menggunakan emosi dalam memilih pemimpin bagi memastikan masa depan dan keharmonian negara kekal terjamin.

"Saya lama dalam UMNO, banyak perkara yang telah dilalui dan saya harap rakyat buat pertimbangan sewajarnya dalam menentukan masa depan mereka dan negara," katanya.

-- BERNAMA

Ahad, November 19, 2017

ANWAR KATA MACAM MACAM KEPADA PM TAPI PM TETAP LAWAT ANWAR

TUMPAT, 18 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak seorang pemimpin berjiwa besar apabila sanggup mengenepikan perbezaan fahaman politik apabila melawat bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menerima rawatan selepas pembedahan di Hospital Kuala Lumpur semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata dalam politik, Anwar adalah musuh Barisan Nasional (BN) namun atas prinsip ukhuwah dan Islamiah, Najib yang juga Presiden UMNO lebih mengutamakan silaturahim.

"Sebelum ini pun, Perdana Menteri melawat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menerima rawatan di Institut Jantung Negara.

"Ini cara politik matang yang kita amalkan walaupun wujud perbezaan fahaman politik tetapi silaturahim tidak terputus," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Semarak Bahasa Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2017 peringkat Negeri Kelantan di Sekolah Kebangsaan Pulau Beluru di sini, hari ini.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata amalan politik matang tersebut juga dapat dilihat apabila Perdana Menteri bersama Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob menyelesaikan masalah rakyat ketika bah kuning pada 2014.

Pada 22 Sept lalu, Anwar yang mendapatkan rawatan untuk masalah kesihatannya di HKL, terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan dari hospital berkenaan ke Penjara Sungai Buloh.

Anwar dilaporkan menjalani pembedahan artroskopi susulan kecederaan di bahu kanannya, Ahad lepas.

-- BERNAMA

Rabu, Julai 05, 2017

PAKATAN HARAPAN BERPECAH PILIH CALON PERDANA MENTERI



KUALA LUMPUR 4 Julai - Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman lebih memilih Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berbanding Pengerusi partinya sendiri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk dicalonkan sebagai Perdana Menteri bagi Pakatan Harapan dike­tuai DAP.

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

Beliau berkata, pelantikan Dr. Mahathir untuk memegang jawatan itu sekali lagi boleh dibuat jika hanya benar-benar perlu dan harus ada garis panduan.


“Jika ia benar-benar perlu (pelantikan semula Dr. Mahathir), maka ya. Tetapi perlu ada garis panduan yang ditetapkan, seperti hanya untuk setahun bagi membantu pembaharuan negara,” katanya seperti dipetik menerusi portal berita, malaysianreview.com, hari ini.

Pakatan Harapan diketuai DAP dilanda krisis keyakinan yang kronik apabila kepemimpinan DAP dan PKR menolak cadangan untuk menjadikan Dr. Mahathir sebagai calon Perdana Menteri pada pilihan raya umum akan datang.


Bekas Perdana Menteri itu dalam satu sesi soal jawab yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook miliknya baru-baru ini mengakui mungkin terpaksa mempertimbangkan menjadi Perdana Menteri semula sekiranya itu yang dimahukan oleh kepe­mimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.


Mohamed Azmin Ali


Syed Saddiq berkata, Menteri Besar Selangor itu paling layak menerajui jawatan berkenaan berdasarkan rekod beliau mentadbir Kerajaan Negeri Selangor selain mempunyai ciri-ciri kepemimpinan yang tidak dimiliki kebanyakan pemimpin lain.

“(Kalau calon) daripada PPBM sama ada Dr. Mahathir atau Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tetapi jika tidak daripada PPBM, ia adalah Timbalan Presiden PKR itu.

“Dia (Mohamed Azmin) naik dengan usaha sendiri, tanpa hubungan yang kuat, apa yang penting adalah bahawa dia mempunyai rekod di Selangor dan dia masih muda,” katanya.



Isnin, Disember 05, 2016

MUHYIDDIN MAHU JADI PM BONEKA?



Kerajaan Malaysia tetap diketuai pemimpin Melayu walaupun Umno kalah dalam pilihan raya, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Malah dalam pertemuan saya dengan pimpinan DAP, mereka bersetuju bahawa perdana menteri Malaysia mestilah orang Melayu dan bukan daripada parti DAP," katanya dalam kenyataan semalam.

Justeru itu menurut beliau, tidak ada sebab untuk orang Melayu takut kedudukan mereka terancam jika Umno kalah dalam pilihan raya umum.

"DAP tidak akan dapat mengalahkan Umno. Yang akan mengalahkan Umno ialah parti-parti yang dipimpin oleh orang Melayu iaitu BERSATU, PAS, PKR dan AMANAH," katanya.

Bekas timbalan perdana menteri itu membuat kenyataan sebagai membidas ucapan dasar Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Agung Umno (PAU) ke-70 yang berakhir semalam.

Dalam ucapannya - serta perwakilan lain - Umno menyifatkan hak dan keistimewaan orang Melayu akan terhakis sekiranya pembangkang berkuasa.

Jelas Muhyiddin, tindakan Najib dan penyokongnya memainkan sentimen kebencian terhadap DAP untuk menakut-nakutkan Melayu menunjukkan mereka semakin gelisah apabila pengundi kini mempunyai alternatif lebih baik dan meyakinkan berbanding Umno.

Sementara itu, beliau turut membidas objektif PAU tahun ini lari dari objektifnya berbanding perhimpunan terdahulu.

"Sepanjang ingatan saya, Perhimpunan Agung Umno adalah tempat untuk presiden membicarakan hal-hal berkaitan kedudukan orang Melayu, agama Islam, masa depan negara dan kesejahteraan rakyat seluruhnya.

"Tetapi kali ini lain sekali nadanya. Presiden Umno menuntut seluruh ahli berbaiah dan memberi walak kepadanya secara membuta tuli dan tanpa soal.

"Kononnya itulah tradisi di dalam Umno dan amalan orang Melayu yang kuat pegangannya kepada Islam," jelasnya.


Najib dalam ucapan pembukaan PAU Khamis lalu mengingatkan barisan perwakilan supaya memberi kesetiaan sepenuhnyakepada pemimpin Umno.

Selain itu, perwakilan dan pemimpin yang berucap pada PAU kali ini juga menyuarakan kesetiaan mereka kepada Najib sebagai presiden mereka.

Ulasan saya, nampaknya Muhyiddin jahil dengan apa yang berlaku di Perak pada tahun 2008. Apabila Pakatan Rakyat menang di Perak DAP paling banyak kerusi tapi ADUN DAP tak boleh jadi MB maka DAP pilih ADUN PAS  jadi MB tetapi MB boneka yang diremote control oleh DAP.

Agaknya Muhyiddin mahu jadi PM yang diremote control oleh Lim Kit Siang. Baguslah Muhyiddin. Syabas. 

Khamis, September 22, 2016

KUASA MUTLAK PM BUBAR PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak mutlak untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen untuk pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh berkata kerajaan sebaliknya kini memberi tumpuan dalam menangani pelbagai isu berkaitan rakyat sebelum pembentangan Bajet 2017.

"Ia adalah prerogatif Najib untuk menentukan bila beliau mahu membubarkan parlimen... matlamat kami sebagai kerajaan bukan hanya untuk mengadakan pilihan raya, tetapi lebih kepada tumpuan dalam memberi khidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KL Converge! 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media asing yang memetik seorang pemimpin UMNO bahagian dari sebuah negeri di selatan tanah air, yang enggan dikenali, sebagai berkata pilihan raya umum akan diadakan pada Mac tahun depan. Salleh, yang juga Bendahari UMNO, berkata sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, beliau yakin rakyat akan terus menyokong kerajaan yang memerintah.

"Kami (Barisan Nasional) yakin bahawa majoriti rakyat berdiri teguh di belakang kami. Apa yang mereka mahu adalah kestabilan dan kesinambungan pembangunan tanpa campur tangan orang luar," katanya.

Mengenai paparan video tentang kemasukan pendatang asing tanpa izin Indonesia ke Tawau, Sabah, yang menjadi viral di media sosial, Salleh berkata sekiranya perkara itu benar, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.

Video selama 11 minit itu adalah hasil rakaman media asing untuk menunjukkan betapa mudah pendatang asing tanpa izin Indonesia memasuki Tawau.

Ditanya mengenai 'campur tangan' Wall Street Journal dan The New York Times berhubung isu pembiayaan Permata, beliau menjelaskan tindakan itu sebagai satu usaha untuk merosakkan nama baik negara.

"Media asing itu mempunyai agenda tertentu untuk menjejaskan kestabilan negara kita," katanya.

-- BERNAMA

Jumaat, Julai 22, 2016

PM TIDAK DISIASAT OLEH JABATAN KEHAKIMAN AMERIKA SYARIKAT

KUALA LUMPUR, 21 Julai (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menegaskan kenyataan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat yang dikeluarkan pada Rabu jelas menyatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak disiasat oleh pihak berkuasa negara itu.

"Ia (siasatan) tiada kaitan dengan Najib. Apa yang disiasat adalah berkaitan 'money laundering' (pengubahan wang haram) ke atas tiga individu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan Persatuan Komunikasi Pasifik dan Asia (Paca) di Universiti Putra Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata Peguam Negara Amerika Syarikat Loretta Lynch dengan jelas menyatakan bahawa mereka hanya menyiasat tiga individu yang dinamakan dalam kenyataan dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman.

"Ia amat jelas, saya fikir peguam negara Amerika telah menyatakan dengan amat jelas dalam kenyataannya bahawa mereka tidak menyiasat orang lain tetapi tiga individu itu," katanya.

Salleh turut menyangkal dakwaan mengenai konspirasi antarabangsa terhadap Malaysia susulan laporan tentang tindakan pihak berkuasa Amerika Syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Apa pula konspirasi? Mereka hanya menjalankan tugas mereka. Apabila ada laporan, mereka mengendalikannya berdasarkan undang-undang dan peraturan negara mereka.

"Tugas kami di sini adalah untuk menjelaskan situasi itu. Bagi kami, di Malaysia kami telah
mengendalikan isu 1MDB dengan agak baik. Kami benarkan orang ramai menyatakan pandangan mereka," katanya.

Salleh berkata pihak berkuasa Amerika menyiasat sama ada berlaku pengubahan wang haram yang berkaitan dengan sistem perbankan mereka berikutan transaksi telah berlaku di negara itu.

"Mereka perlu memastikan pengubahan wang haram tidak berlaku kerana ia melibatkan pelbagai negara lain berkaitan dengan transaksi itu.

"Saya fikir mereka bimbang tentang sistem perbankan di Amerika Syarikat dan mereka melihat dari sudut itu. Biar mereka siasat," katanya.

Salleh juga berkata tiada apa yang mahu disembunyikan oleh kerajaan Malaysia berkaitan dengan apa yang telah dilakukan dalam 1MDB berikutan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) telah selesai menjalankan siasatan.

"Bagi kami, tiada apa untuk disembunyikan. Bagi perkara berkaitan 1MDB, kami mempunyai laporan PAC, kami telah membincangkan secara mendalam perkara itu dan tindakan akan diambil berdasarkan laporan PAC," katanya.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai 'Malaysia Official 1' dinyatakan dalam kenyataan Jabatan Kehakiman itu, Salleh berkata ia hanya sekadar dakwaan oleh pengadu.

"Kami telah dengar mengenainya sejak lama dahulu. Ia apa yang dikatakan oleh pengadu. Anda perlu ingat bahawa ia bukan apa yang dikatakan oleh peguam negara.

"Itu pengadu yang kata, tetapi mereka merumuskan yang mereka mahu menyiasat tiga individu sahaja," kata Salleh.

-- BERNAMA

Isnin, April 25, 2016

PM MENGHADAP SULTAN TERENGGANU ESOK



LUNDU: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadap segera Sultan Mizan Zainal Abidin dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar berhubung isu membabitkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.


Difahamkan Najib dijangka menghadap Sultan Terengganu esok. Tanpa mendedahkan bila dan lokasi pertemuan itu bakal diadakan, Najib turut meminta rakyat tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu berkenaan.


"Saya akan menghadap Sultan Terengganu dalam tempoh terdekat untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku di sana. Kita minta semua pihak bertenang dan tidak membuat sebarang andaian berhubung apa yang berlaku. "Menteri Besar Terengganu masih melaksanakan tugas beliau seperti biasa, malah Kerajaan Terengganu tetap berfungsi seperti biasa," katanya.






Beliau berkata demikian pada sidang media bersama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem di Rumah Rehat Kerajaan, di sini sebentar tadi. Najib berkata, beliau akan membuat kenyataan rasmi selepas pertemuan tertutup itu diadakan nanti.

Isnin, September 28, 2015

PM TAK PERLU LAYAN UMI HAFILDA

Semalam Pengerusi NGO, Umi Hafilda Ali meminta PM, Najib Razak bersumpah laknat di masjid bahawa wang derma RM2.6 billion itu hanya digunakan untuk kepentngan negara dan rakyat sahaja.

NGO bernama Kuasa Suara Rakyat (KSR) itu yang baru ditubuhkan oleh Umno Hafilda mendakwa jika Najib berani bersumpah laknat tidak mengenali Altantuya Sharibu, maka beliau sepatutnya bersumpah laknat juga dalam isu wang derma tersebut.

Bagi saya, PM tak perlu layan KSR. Siapa Umi Hafilda? Banyak pengaruh ke? Baru ini dia keluAR dari Umno. Yang lucunya Umi kata dia orang lama dalam politik. Apa jawatannya? Ketua Wanita Umno Malaysia ke? Ketua Wanita Umno Bahagian Ampang ke?

Beliau hanya pengacau dalam Umno sahaja. Bukannya ada pengaruh. Dahulu dia yang fitnahkan Anwar Ibrahim sehingga Anwar terpelanting dari jawatan TPM. Selepas itu Dr Mahathir beri dia projek. Sekarang dia susah nak cari makan di zaman Najib jadi PM. Maka dia keluar dari Umno kerana nak cari makan di bawah abangnya pula, Azmin Ali yang juga MB Selangor.

Umi ingat bila dia hentam Najib orang PKR dapat terimanya. Dahulu dia jatuhkan Anwar Ibrahim. Maka ahli PKR tidak semudah itu memaafkan Umi Hafilda.

Oleh itu orang macam Umi Hafilda tak perlu layan. Duit itu memang derma peribadi kepada Najib tapi Najib gunakan untuk Umno. Setiausaha Kerja BN Bandar Tun Razak, Zaharin Mohd Yasin mengesahkan menerima cek dari Najib untuk Umno bahagian Tun razak dan BN Bandar Tun Razak.

Malah banyak ketua bahagian yang menerima cek pertolongan Najib untuk membantu bahagian tetapi mereka tidak mengakuinya. Pengerusi BBC pun, Shahrir Samad turut mengaku ada menerima cek dari Najib.

Maka kalau benar RM2.6 billion itu ada juga digunakan Najib untuk peribadinya, apa salahnya kerana atas usahanya dia yang dapat duit itu dari negara Arab. Najib bukan gunakan untuk peribadinya sahaja malah membantu BN dan Umno.

Selepas BN gagal memenangi PRU dengan majoriti dua pertiga pada tahun 2008, ramai korporat yang bermuka-muka. Mereka bukan sahaja menderma kepada BN malah turut menderma kepada pembangkang seperti Syed Mokhtar Albukhary, Vincent Tan. Maka Najib sudah tidak percaya kepada mereka lagi.

Sebab kita kita patut bersyukur ada negara Arab yang sudi menderma RM2.6 billion kepada Najib untuk mengekalkan kuasa BN pada PRU yang akan datang. Saya percaya wang itu masih banyak untuk digunakan dalam dua PRU lagi.

Oleh itu Najib tak perlu layan Umi Hafilda. Siapa Umi hafilda? Tak ada pengaruh pun. Sekarang ini pelbagai cara nak cari publisiti murah. Maka dengan mudah Umi mendapat publisiti dari portal berita pembangkang. Kalau anda tak percaya, anda tubuh NGO hari ini, panggil Malaysiakini dan The Malaysian Insider, anda hentam Najib maka hari ini anda terkenal sekelip mata. Betapa mudahnya mencari publisiti murahan di zaman sekarang.

Selasa, Januari 28, 2014

ANWAR DARI PM JADI MB PULAK?

PETALING JAYA: Pagi semalam pejabat Menteri Besar Selangor menafikan Tan Sri Khalid Ibrahim akan meletakkan jawatan. Begitu juga Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan akan menjadi Menteri Besar menggantikan Khalid. Begitulah orang politik. Hari ini nafi, esok jadi kenyataan. Petang semalam ADUN Kajang, Lee Chin Cheh meletakkan jawatan. Jadi khabar-khabar angin Anwar akan bertanding pada pilihanraya kecil (PRK) Kajang begitu kuat bertiup. Pagi ini Khalid mengesahkan Anwar akan jadi calon PKR pada PRK Kajang nanti. Adakah PRK Kajang membazir? Sudah tentu bagi SPR membazir kerana ia terpaksa diadakan walaupun wakil rakyatnya tidak meninggal dunia. Rakyat Kajang sudah tentu marah kepada PKR kerana menyusahkan mereka kerana mereka kena keluar mengundi semula selepas lapan bulan memilih wakil rakyat mereka. Menurut bekas calon Ketua Pemuda Umno 2013, Syed Rosli Syed Harman al Jamalulail PKR tidak boleh disalahkan kerana ia adalah jalan terbaik untuk meletakkan calon MB baru menggantikan Khalid. Jika Khalid digantikan oleh Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali sebagai Menteri Besar, sudah tentu Khalid tidak mahu. Maka jalan terbaik terpaksa menurunkan Anwar Ibrahim untuk meredakan pertelingahan di antara Khalid dengan Azmin. Inilah akibatnya PKR tidak mengamalkan konsep parti menguasai kerajaan. Jika PKR amal konsep ini, Azmin selaku Pengerusi PKR Selangor yang sepatutnya jadi menteri besar dan bukannya Khalid Ibrahim. Sebagai bekas tokoh korporat, Khalid bijak mengurus negeri tetapi sebagai orang politik beliau gagal. Ini yang menimbulkan kemarahan para penyokong PKR. Khalid dikatakan boneka Elizabeth Wong di mana banyak projek pembangunan di Selangor Elizabeth yang cadang, Khalid terus setuju. Menurut Syed Rosli lagi, kenapa marah kepada PKR terpaksa membazirkan wang rakyat untuk buat PRK Kajang sedangkan PKR mencontohi BN. Pada tahun 1997, BN sanggup mengadakan PRK Permatang untuk membolehkan Tan Sri Abu Hassan Omar dilantik sebagai Menteri Besar menggantikan Tan Sri Muhammad Muhd Taib. Jadi PKR meniru BN mengadakan PRK Kajang untuk membolehkan Anwar Ibrahim dilantik sebagai Menteri Besar Selangor. Soalnya, adakah rakyat Pulau Pinang boleh menjadi Menteri Besar Selangor? Menurut ADUN Kelana Jaya, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam perlembagaan Selangor tidak mengatakan hanya rakyat Selangor sahaja yang layak jadi menteri besar.Soalnya, sanggupkah Sultan Selangor beri perkenan kepada Anwar Ibrahim sebagai menteri besar? Jika Sultan Selangor tidak berkenan, maka krisis Selangor akan menjadi lebih buruk lagi. Atau mungkin Azmin Ali yang terpaksa dilantik sebagai menteri besar yang baru kerana beliau adalah anak Selangor. Kesanggupan Anwar menjadi calon Menteri Besar Selangor turut dipersoal. Selama ini beliau mahu jadi Perdana Menteri Malaysia, kenapa tiba-tiba beliau mahu menjadi Menteri Besar Selangor pula? Adakah kerana cita-citanya nak jadi Perdana Menteri sudah tidak nampak jalan lagi? Majoriti rakyat tetap bersama BN maka Presiden Umno selama-lamanya akan menjadi perdana menteri maka peluang Anwar tidak akan menjadi kenyataan selama-lamanya. Menyedari hakikat ini, maka baginya lebih baik menjadi Menteri Besar daripada menjadi Perdana Menteri yang mustahil sama sekali. Bukankah Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga pernah jadi Menteri Besar? Atau adakah Anwar mengorbankan dirinya dengan menerima jawatan yang lebih rendah semata-mata untuk menyelamatkan PKR pada PRU ke 14? Beliau nampak jika krisis dalaman PKR tidak selesai maka Selangor akan jadi seperti Kedah. PAS Kedah tewas pada PRU ke 13 kerana perebutan kuasa sesama para pemimpin PAS. Sama-samalah kita tunggu apabila Anwar menang nanti dalam PRK Kajang, beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor atau tidak. Atau adakah Anwar akan mencatat sejarah sebagai orang luar yang pertama yang akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor? Manusia hanya merancang, Allah yang menentukan.

Khamis, Oktober 10, 2013

SETIAUSAHA POLITIK KATA PM BODOH

KEMAMAN: Seorang perwakilan Umno Bahagian Kemaman kesal dengan ucapan Setiausaha Politik Menteri Besar Terengganu, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Hamid (gambar dari kiri) yang mengatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bodoh. Menurut mereka, seorang Setiausaha Politik tidak sepatutnya bercakap begitu kepada Perdana Menteri. “Apatah lagi ucapannya dibuat secara terbuka kepada 300 perwakilan DUN Kijal pada 8hb Oktober lalu ketika beliau berkempen kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said yang mempertahankan jawatan Ketua Umno Bahagian Kemaman,” kata seorang perwakilan kepada FMT yang enggan namanya disebut. Ahmad Said akan ditentang seorang bekas penghulu, Mat Dalam Awang dalam pertandingan dua penjuru pada 19 Oktober depan. Menurut perwakilan itu lagi, bukannya Najib menentang Ahmad Said. “Kenapa Wan Ahmad Nizam perlu bodohkan Najib?” soal beliau. Dalam ucapannya, Wan Ahmad Nizam yang dicabar jawatan Naib Ketua Bahagian oleh ADUN Air Puteh, Wan Hakim Wan Mokhtar berkata betapa susahnya Ahmad Said nak jadi Menteri Besar buat penggal kedua selepas pilihanraya umum Mei lalu. Katanya, Ahmad Said telah pergi menemui Perdana Menteri di pejabatnya untuk ambil watikah perlantikan Menteri Besar tetapi beliau diberitahu Setiausaha Sulit Kanan Perdana Menteri bahawa Najib amat sibuk buat persiapan untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Wan Ahmad Nizam mendakwa Ahmad Said dan beliau pergi ke rumah Najib dan menunggu Najib di rumahnya. Bila Najib sampai di rumah, Najib benarkan Ahmad Said menemuinya tetapi Najib suruh Ahmad Said balik terlebih dahulu kerana Najib tidak puas hati kerana BN menang 17 kerusi sahaja di Terengganu. “Bodoh betul Najib. Ahmad Said nak pergi ambil watikah, dia suruh balik dulu,” kata Wan Ahmad Nizam dalam ucapannya itu yang mengejutkan semua hadirin. Menurut perwakilan itu, dalam pertandingan Ketua Bahagian, jangan babitkan Perdana Menteri kerana bukannya beliau menaja Mat Dalam Awang menentang Ahmad Said. “Oleh itu saya amat kesal dengan sikap Setiausaha Politik Menteri Besar yang celupar itu,” katanya lagi.

Jumaat, September 27, 2013

SURAT SITI HAJAR KEPADA PM

Assalamualaikum Dato’ seri.. Tujuan saya menulis surat ini adalah sebagai seorang anak Malaysia yang ingin negaranya membangun dan mengurangkan kemiskinan di negara sendiri.. Beberapa isu ingin saya ketengahkan kepada Dato’ Seri dan saya berharap apa yang saya perkatakan ini memberi idea dan impak kepada semua rakyat Malaysia. Saya menulis surat ini adalah sifat keberanian dalam diri saya dimana saya ingin menjadikan Malaysia ini sebuah Negara Membangun Pesat bukan Negara Yang Sedang Membangun. Sejak akhir-akhir ini isu minyak diperkatakan. Ada yang mengatakan negara-negara jiran kita lebih mahal minyak jika dibandingkan di Malaysia. Ya. Saya setuju tentang kenyataan itu tetapi idea untuk menaikkan harga minyak adalah sesuatu yang memang terang lagi bersuluh bukan idea yang bijak. Jika hari ini kerajaan telah menaikkan harga minyak sebanyak 20 sen, ia bukan sekadar memberi impak kepada golongan muda sahaja tetapi juga golongan miskin dan juga seluruh rakyat Malaysia. Hari pertama harga minyak naik, food court ditempat kerja saya menaikkan harta roti sebanyak 30 sen. Lihat! Impak terhadap kenaikan minyak. Tetapi jika satu hari nanti harga minyak turun walaupun sebanyak 50 sen sekalipun, harga roti yang naik 30 sen ketika harga minyak naik akan kekal sama dan tiada pengurangan. Mungkin ianya kecil pada mata orang-orang yang kaya nilai 20 sen itu tetapi ia cukup berharga kepada kami yang baru sahaja memulakan kehidupan. Perjalanan hidup saya masih jauh. Umur baru 27 tahun.Belum berkahwin. Tetapi saya dah rasakan bebanan yang saya akan hadapi untuk 10 tahun akan datang. Bagaimana pula sahabat-sahabat saya yang sebaya dengan saya, yang telah berumahtangga? Pasti mereka lebih terbeban akibat krisis kenaikan harga minyak. Boleh dikatakan golongan muda belia ini sangat diperlukan bagi menjamin kesejahteraan Negara pada masa akan datang, tetapi saya tidak nampak bagaimana kami mampu memajukan Negara sedangkan saya sendiri rasa ianya satu penindasan ke atas kami. Apa yang dikatakan penindasan? Mengenai BR1M. Pada mereka yang diberikan BR1M, pasti mereka akan gembira. Kenaikan BR1M telah memberi impak positif yang besar kepada kerajaan kerana kerajaan telah melaksanakan sebahagian tanggungjawab untuk membantu rakyat, tetapi pada masa yang sama kenaikan harga memberi impak negatif yang lebih besar kepada seluruh rakyat Malaysia baik yang menerima BR1M atau tidak. Mengapa tidak bajet BR1M itu digunakan bagi memberi subsidi minyak? Kerajaan mengatakan bahawa pemberian BR1M kepada rakyat bagi mengurangkan bebanan terhadap mereka yang berpendapatan rendah. Tetapi saya tidak nampak semua itu. Seperti saya katakan tadi, apabila harga minyak melambung, maka harga barang juga turut melambung. Jadi pemberian itu tidak memberi makna apa-apa terhadap rakyat. Ia umpama buruk siku. Lepas bagi, ambil balik. Dato Seri, Kadang-kadang saya terfikir, apakah keistimewaan saya sebagai rakyat Malaysia? Adakah hanya sekadar penyumbang ekonomi negara tanpa mendapat sebarang kebaikan daripada negara sendiri? Gaji saya di dalam golongan middle income (RM3,000 – RM5,000). Saya tidak layak menerima BR1M malah saya juga di dalam kategori pembayar tax kepada kerajaan. Golongan middle income pada hari ini masih sukar untuk membeli rumah kerana kos sara hidup yang tinggi. Apakah keistimewaan kami yang mana suatu hari nanti bakal menerajui negara sendiri? Seterusnya pula, Boleh dikatakan golongan lepasan Ijazah yang belum berkahwin, gaji permulaan bermula RM2200. Maka mereka tidak layak untuk menerima BR1M. Syarat untuk menerima BR1M bagi individu adalah bawah RM2000. Manakala bagi mereka yang telah berkahwin dibawah RM3000. Walaupun gaji mereka Bawah RM3000 dan layak untuk menerima BR1M, ia masih tidak mencukupi kerana mereka ada tanggungan yang perlu ditanggung bukan setakat anak isteri tetapi juga pinjaman pembiayaan pelajaran. Untuk memulakan hidup, saya pasti Dato’ Seri pun tahu bagaimana gigihnya seseorang untuk menanggung keluarga. Beban atas kenaikan minyak amat dirasai pada golongan kami. Gaji kasar : RM2300 (fresh graduate) Gaji bersih : RM2032 (masih tidak layak menerima BR1M) Kereta : RM 400 (Kawasan yang sukar mendapatkan public transport seperti di kawasan Damansara, maka kami memerlukan kereta) Tol: RM1.60 x 2 kali sehari : RM 3.20 x 23 hari = RM73.60 (melalui LDP, masih tidak menerima 20% rebate touch n go) Parking : 23 hari x RM5 = RM115 Minyak : RM 12 x 23 hari = RM230 (dari Taman Melati ke Damansara dan untuk ke kerja sahaja) Sewa : RM 200 (paling murah di Kuala Lumpur untuk satu bilik) PTPTN : RM150 (minimum) Makan untuk sebulan = RM 450 (sehari RM15) Ibu Ayah = RM200 Baki : RM2032 – RM400 – RM73.60 – RM115 – RM230 – RM200 – RM150 – RM450 – RM200 TOTAL BAKI : RM213.40 Ini apa yang pernah saya lalui. Tak dinafikan ada juga beberapa bulan saya tidak dapat membayar PTPTN apabila dalam keadaan yang terdesak seperti memperbaharui roadtax dan insurans kereta dan apabila hari Raya menjelma. Dua keadaan yang perlu dilalui yang memerlukan duit tambahan. Apabila kita melihat baki bulanan yang sebanyak RM213.40, maka pembelian rumah untuk kami memang jauh sekali. Cuba Dato’ Seri lihat harga rumah pada hari ini. Di Taman Melati, Setapak harga rumah bagi 660 sqf adalah RM150,000 dan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun,maka setiap bulan perlu membayar RM717. Bagaimana golongan belia pada hari ini mahu memangkin ekonomi masa hadapan? Sedangkan perlaburan terbaik datangnya daripada Pelaburan Hartanah. Saya telah kira RM213 hanya mampu membeli rumah berharga RM40,000 dengan interest rate sebanyak 4% untuk 30 tahun. Bagaimana kami mampu membantu menjana ekonomi Negara sedangkan gaji kami hanya mampu membayar rumah RM40,000 sahaja? Dan dimanakah rumah yang berharga RM40,000 ini? Di kawasan pedalaman yang memang tidak boleh untuk membuat pelaburan. Kita perlu melihat ke hadapan. 10 tahun akan datang, kami golongan belia bakal menerajui Malaysia. Tetapi ianya tak akan berjaya jika pihak atasan tidak memandang idea dan mendengar suara kami. Seterusnya lagi, berkaitan tentang gaji lepasan Ijazah dan diploma. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat swasta tidak mahu membayar gaji mengikut qualification yang kami ada. Mereka menganggap kami lepasan ijazah sama seperti lepasan SPM. Gaji yang ditawarkan tidak sepadan dengan gaji yang sepatutnya. Alhamdulillah, saya bekerja di sektor GLC dan gaji yang saya perolehi dianggap memuaskan. Tetapi bagaimana rakan-rakan saya dan belia lain pula? Nasib mereka tidak seperti saya. Saya mencadangkan Dato’ Seri melihat bagaimana pekerja di US. Mungkin US telah maju sekarang ni. Kita buat perbandingan di negara Australia menerima gaji bulanan bagi lepasan ijazah. Sangat berbeza jika dibandingkan di negara kita. Seterusnya, mengenai status penjawat awam mahupun swasta. Ini masalah yang besar kami hadapi. Kebanyakan syarikat-syarikat baik GLC mahupun Semi- Government mahupun swasta, mereka akan menetapkan setahun kontrak dan selepas itu diserap menjadi penjawat tetap dan ada juga sesetengah syarikat langsung tidak menjadikan penjawat tetap malah akan kekal sebagai penjawat kontrak. Apa masalah yang ingin saya ketengahkan ini adalah berkaitan dengan pinjaman perumahan yang amat sukar. Walaupun sebelum ini telah lama bekerja tetap dan selepas itu mendapat tawaran lebih baik tetapi ianya kontrak, apabila membuat pinjaman perumahan, ia akan ditolak atas alasan pekerja kontrak. Maka harga rumah semakin hari semakin meningkat. Jika ingin menunggu setahun kemudian setelah disahkan penjawat tetap, harga rumah itu juga telah melambung tinggi dan kami tidak dapat membelinya. Ini masalah yang saya hadapi sekarang ini. Saya sebagai seorang rakyat Malaysia dan juga sebagai seorang yang berpegang kepada pucuk pimpinan Barisan Nasional, saya merayu agar Dato’ Seri dapat memikirkan masalah yang kami hadapi sekarang ini. Sebagai pemimpin disegani di seluruh dunia, saya pasti Dato’ Seri mampu mengubah dan memperbetulkan apa yang dirasakan membebankan kami. Terima kasih Ikhlas, Siti Hajar binti Aladin

Rabu, April 24, 2013

PM KATA KENAIKAN ROYALTI MINYAK TAK BERI MANFAAT KEPADA RAKYAT SABAH

Datuk Seri Najib Tun Razak menempelak pembangkang yang mahu menaikkan royalti minyak di Sabah sehingga 20 peratus kerana tindakan itu tidak akan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini dan negara. Perdana Menteri sebaliknya menegaskan, kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai formula lebih baik dalam memastikan Sabah terus mendapat faedah yang besar dalam kemajuan industri minyak dan gas. Antaranya, beliau berkata, kerajaan telah mula membangunkan kawasan-kawasan telaga minyak marginal yang mempunyai rizab minyak rendah di negeri bagi meningkatkan hasil industri tersebut. "Dengan teknologi dan teknik baharu serta dengan insentif yang disediakan kerajaan, kawasan-kawasan marginal ini boleh kita hasilkan dan minyak itu boleh kita keluarkan seterusnya royalti minyak akan kita berikan kepada kerajaan negeri," katanya. Beliau berucap dalam majlis Yayasan Sabah Bersama Rakyat di Padang Pekan Kuala Penyu di sini hari ini. Jelas Najib, sekiranya royalti minyak dinaikkan sehingga 20 peratus seperti dilaungkan pembangkang, tindakan itu akan memberi kesan kepada perancangan lain seperti kerajaan tidak mempunyai insentif untuk membangunkan kawasan marginal. "Apa yang berlaku seperti dalam peribahasa iaitu angsa yang keluarkan telur emas tetapi angsa itu kita bunuh. Sebaliknya di bawah perjanjian kita hari ini, angsa kita ini hidup dan akan mengeluarkan lebih banyak lagi telur emas yang memberi manfaat kepada rakyat Sabah," katanya. Najib berkata, rakyat tidak perlu gusar mengenai perjanjian royalti itu.

Khamis, Mac 28, 2013

MUHYIDDIN PM BARU JIKA BN GAGAL MENANG DUA PERTIGA

Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan beliau tidak mempunyai cadangan calon untuk menggantikan Datuk Seri Najib Razak sekiranya Barisan Nasional (BN) gagal untuk mendapatkan kembali majoriti tradisi dua pertiga di Parlimen dalam Pilihan Raya 2013. Bekas perdana menteri itu walau bagaimanapun, tidak menjangkakan perkara itu akan berlaku dalam pilihan raya tidak lama lagi. “Saya tidak ada sebarang calon, itu cuma teori jika Umno dan BN tewas, tapi saya tidak menjangkakan itu akan berlaku,” kata Dr Mahathir selepas merasmikan seminar Yayasan Human Life Advancement Foundation di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini merujuk kepada pengganti Najib sekiranya BN tidak mendapatkan dua pertiga. Pada 24 Mac lalu, bekas perdana menteri itu dilaporkan oleh media berkata Umno akan menolak Najib sebagai perdana menteri, presiden Umno dan pengerusi BN jika gagal memperbaiki keputusan Pilihan Raya 2008. Dr Mahathir berkata demikian kepada agensi berita AFP dan menambah beliau bimbang jika perubahan berlaku kerana menjangkakan kekacauan agama dan huru-hara akan terjadi jika BN tewas. “Sudah pasti, jika beliau tidak berjaya, sudah pasti ada keperluan untuk menukar kepimpinan,” katanya dipetik dari AFP.Bekas perdana menteri itu juga lantang mengkritik seorang lagi bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan mendesak perdana menteri kelima itu meletakkan jawatan selepas BN gagal mempertahankan majoriti dua pertiga dalam parlimen disamping kehilangan empat buah negeri kepada pakatan pembangkang. AFP melaporkan Dr Mahathir mempunyai pengaruh yang cukup kuat, terutamanya kepada majoriti Melayu kerana membawa kejayaan, kestabilan dan mempertahankan ketuanan Melayu di bawah kepimpinannya. "Mahathir masih berpengaruh dalam Umno, dan masih mampu mendapat sokongan yang cukup ramai dari kalangan akar umbi," kata Ibrahim Suffian, ketua kepada pemantau kajian Merdeka Center. Tetapi dengan tentangan hebat untuk menamatkan pentadbiran autokratik, Mahathir cuba untuk melindungi legasinya. Dr Mahathir di khalayak umum mempersoalkan liberalisasi oleh Najib, dan memberi amaran huru-hara dalam masyarakat berbilang kaum di mana minoriti Cina dan India akan melawan ketuanan Melayu, menurut laporan AFP lagi. Ia juga melaporkan bahawa Dr Mahathir dikatakan rapat kepada timbalan Najib, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang dilihat sebagai nasionalis Melayu, dan cuba mendapatkan pengaruh dalam pemilihan Umno yang dijangka selepas pilihan raya umum. "Najib kini dalam perhatian dan orang yang akan menentukan masa depan Najib ialah Mahathir," kata pemimpin pembangkang Lim Kit Siang memberitahu AFP. Laporan AFP juga mengatakan Dr Mahathir, yang bergerak perlahan sejak akhir-akhir ini tetapi masih lagi sinikal tetapi kebimbangan beliau bahawa kemenangan pembangkang membuatkannya kembali bersuara. Ulasan saya, Jika BN gagal menang dua pertiga maka Najib kena beri laluan kepada Tan Sri Muhyiddin untuk jadi PM Malaysia yang baru. Bila Pak Lah gagal menang dua pertiga, maka Najib kena ikuti langkah yang telah diasas oleh Pak Lah.

Jumaat, Jun 04, 2010

PERLANTIKAN MENTERI HAK PM


Ramai yang pertikai perlantikan menteri dan timbalan menteri dalam rombakan kecil kabinet baru-baru ini. Presiden PPP, Datuk M. Kayveas hairan kenapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib mengekalkan musuhnya, Murugiah yang sudah dipecat dari PPP sebagai timbalan menteri.

Walaupun Najib melantik orang baru, Maglin sebagai timbalan menteri tetapi Kayveas hairan Murugiah masih dikekalkan. Apa yang dihairankan kerana perlantikan menteri dan timbalan menteri adalah hak Najib. Najib bebas buat apa saja. Mungkin prestasi Murugiah amat baik menyebabkan Najib tidak menggugurkan beliau.

Pada masa yang sama Ketua Pemuda UMNO Sabah mencadangkan supaya ketua pemudanya, Khairy Jamaluddin dilantik menteri atau timbalan menteri. Najib mungkin ada sebab kenapa tidak lantik Khairy. Pertama, rombakan ini tidak melibatkan UMNO. Kedua, Najib mahu Khairy buktikan dirinya berjaya sebagai Ketua Pemuda terlebih dahulu.

Apa yang Khairy buat setelah setahun jadi Ketua Pemuda? Suaranya tidak lantang memperjuangkan nasib orang Melayu. Yang lebih lantang mempertahankan hak orang melayu ialah Presiden Perkasa, Datuk Haji Ibrahim Ali. Kalau Ibrahim masih dalam UMNO, Ibrahim yang lebih layak mengetuai Pemuda UMNO dari Khairy.

Bila anak Samy Vellu menuduh UMNO terlibat dengan gerakan anti Samy Vellu, Khairy diam. Jadi di mana letaknya keberanian pemuda UMNO? Kalau Datuk Harun masih hidup dan masih memimpin Pemuda UMNO, Harun orang pertama membela UMNO. Jadi atas asas apa Najib mahu lantik Khairy sebagai menteri atau timbalan menteri?

Oleh itu Najib ada perkiraaan jika seseorang itu dilantik menteri atau tidak. Oleh itu Khairy perlu buktikan bahawa beliau menjadi Ketua Pemuda yang lantang dan berani terlebih dahulu sebelum layak dipertimbangkan ke jawatan kerajaan. Selamat berjuang Khairy!