Khamis, September 22, 2016

KUASA MUTLAK PM BUBAR PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 22 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai hak mutlak untuk menentukan tarikh pembubaran Parlimen untuk pilihan raya umum akan datang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Salleh berkata kerajaan sebaliknya kini memberi tumpuan dalam menangani pelbagai isu berkaitan rakyat sebelum pembentangan Bajet 2017.

"Ia adalah prerogatif Najib untuk menentukan bila beliau mahu membubarkan parlimen... matlamat kami sebagai kerajaan bukan hanya untuk mengadakan pilihan raya, tetapi lebih kepada tumpuan dalam memberi khidmat kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KL Converge! 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media asing yang memetik seorang pemimpin UMNO bahagian dari sebuah negeri di selatan tanah air, yang enggan dikenali, sebagai berkata pilihan raya umum akan diadakan pada Mac tahun depan. Salleh, yang juga Bendahari UMNO, berkata sekiranya pilihan raya umum diadakan awal, beliau yakin rakyat akan terus menyokong kerajaan yang memerintah.

"Kami (Barisan Nasional) yakin bahawa majoriti rakyat berdiri teguh di belakang kami. Apa yang mereka mahu adalah kestabilan dan kesinambungan pembangunan tanpa campur tangan orang luar," katanya.

Mengenai paparan video tentang kemasukan pendatang asing tanpa izin Indonesia ke Tawau, Sabah, yang menjadi viral di media sosial, Salleh berkata sekiranya perkara itu benar, tindakan sewajarnya harus diambil terhadap individu yang bertanggungjawab.

Video selama 11 minit itu adalah hasil rakaman media asing untuk menunjukkan betapa mudah pendatang asing tanpa izin Indonesia memasuki Tawau.

Ditanya mengenai 'campur tangan' Wall Street Journal dan The New York Times berhubung isu pembiayaan Permata, beliau menjelaskan tindakan itu sebagai satu usaha untuk merosakkan nama baik negara.

"Media asing itu mempunyai agenda tertentu untuk menjejaskan kestabilan negara kita," katanya.

-- BERNAMA