(sudah disiarkan dalam Berita Harian 22 September)
Oleh SHAHBUDIN HAJI EMBUN.
Pada 22hb September semalam berlangsungnya Persidangan Tahunan Majlis Perundingan Melayu (MPM) yang ke 7 . Penulis akan menceritakan sedikit tentang latar belakang majlis ini bagi memberi sedikit penerangan tentang MPM, khasnya bagi pembaca yang masih tidak tahu akan peranan dan tugas MPM .
MPM ialah sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang menjaga kepentingan bangsa Melayu di Malaysia dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum , etnik, budaya, agama dan sebagainya. Secara umumnya tujuan penubuhan MPM ialah untuk memperkukuh saf perpaduan dalam memperkasa masyarakat Melayu.
MPM dianggotai oleh pelbagai tokoh dan individu Melayu dan bumiptera yang mencipta nama dalam pelbagai bidang di Malaysia. Antara tokoh-tokoh yang terdapat dalam MPM ialah seperti Tun Mohamad Haniff Omar, Tan Sri Abu Zahar Ujang, Tan Sri Dr Yusuf Noor , Tan Sri Abdul Aziz Rahman serta ramai lagi ahli professional dan cendiakawan yang telah memberi sumbangan yang besar kepada negara.
Setiausaha Agong Majlis Perundingan Melayu (MPM) Datuk Dr Hasan Mad mengharapkan juga anak-anak muda hari ini memandang tokoh –tokoh yang terdapat dalam MPM ini sebagai satu model peranan untuk golongan ini."Kehadiran tokoh-tokoh ini boleh menimbulkan semangat mereka untuk menjadi bangsa Melayu yang berjaya,"ujar beliau lagi.
Dan pastinya ramai di antara kita yang masih ingat lagi akan Perhimpunan Gerakan Perpaduan Melayu yang telah dianjurkan pada tahun 2015. Perhimpunan ini telah dianjurkan oleh MPM dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Dewan Bahasa dan Pustaka, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), dan Biro Tatanegara (BTN) .
Dalam perhimpuanan tersebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah menggariskan tujuh amanat utama sebagai panduan untuk bangsa Melayu melangkah maju di abad ke-21 dan menjadi sebuah bangsa yang kuat, hebat dan bermaruah.
Amanat tersebut termasuklah keperluan melatih orang Melayu menjadi bangsa berpengetahuan dan mengukuhkan ekonomi mereka. memperjuang kepentingan agama Islam dan syiarnya; mempertahan institusi raja Melayu dan keistimewaan orang Melayu; menegakkan maqasid syariah dengan bersikap sederhana; menjaga nilai-nilai murni; dan menjaga institusi keluarga.
Ini hanyalah imbas kembali apa yang berlaku pada tahun lepas. Dan pastinya kita mengharapkan segala yang dikrar sedang dan akan terus diusahakan demi memantapkan lagi perpaduan dan kekuatan bangsa Melayu.
Jika dilihat pada sejarah pula, bangsa Melayu sebenarnya sudah lama hebat sejak dari beribu tahun yang lampau. Daripada beberapa kajian yang telah dilakukan terdapat bukti untuk mempercayai bahawa sejak dari dahulu lagi dikatakan bangsa Melayu sudah mula bertapak serta pernah membina tamadun yang lebih hebat daripada barat dan juga Negara China.
Dan perlu diingatkan juga bahawa satu ketika dahulu Kerajaan Melayu Melaka merupakan antara kerajaan Melayu terhebat serta mendapat pengiktirafan sebagai pusat dagangan utama di dunia . Mungkin yang paling penting, ialah mengapa semenjak dari dahulu lagi, kita sering mendengar daripada kajian-kajian yang dilakukan bahawa, bangsa Melayu sentiasa dikaitkan dengan perkembangan, ketamadunan dan peradaban yang tinggi, khasnya di rantau Asia Tenggara ini.Dan dalam kajian terbaru, Tapak Warisan Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang, kini dipercayai sebagai tamadun tertua di Asia Tenggara.
Penemuan ini juga berkemungkinan besar membuktikan bahawa bangsa Melayu selama ini adalah sebuah bangsa yang pernah mempunyai satu ketamadunan yang maju dan tinggi .Bahkan tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Orang Melayu adalah kumpulan pertama yang mendiami dan membina tamadun di Alam Melayu dan Pentas Sunda.
Apa yang dijelaskan di atas menggambarkan bahawa Bangsa Melayu pernah menjadi satu bangsa yang hebat. Generasi hari ini perlu diberitahu akan kehebatan bangsa Melayu yang telah wujud sejak lama dahulu.
Dan diharapkan persidangan MPM yang bakal diadakan ini, akan terus membincangkan pelbagai agenda yang boleh menjadikan Melayu sebagai sebuah bangsa yang lebih hebat , bermaruah dan berkat.