Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman berkata spekulasi mengenai pertukaran empat menteri besar sebelum pilihan raya umum akan datang, disebarkan pihak yang mahu menimbulkan konflik sesama ahli Umno.
"Usah peduli dengan apa sahaja spekulasi dan khabar angin yang tersebar ketika ini," katanya kepada pemberita selepas majlis menyambut kepulangan beliau dan isteri Halina Zakaria dari Tanah Suci selepas menunaikan ibadah haji, di Seri Iman di Kuala Terengganu hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta ahli Umno supaya tidak terpengaruh dengan spekulasi itu kerana ia sekadar khabar angin.
Menurutnya kepimpinan Terengganu akan meneruskan agenda dan fokus pilihan raya umum akan datang dengan berusaha menunaikan janji untuk memanfaatkan rakyat negeri ini.
Sebelum ini, spekulasi tersebar kononnya Ahmad Razif, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan akan ditukar sebelum pilihan raya umum diadakan.
- Bernama