Rabu, November 28, 2018

TAKKAN POLIS NAK GUNA WATER CANNON DI RUMAH IBADAT?

SUBANG JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Polis mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam mengawal kekecohan khususnya apabila melibatkan kawasan rumah ibadat.

Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata dalam insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 di sini, pihaknya perlu bertindak mengikut kesesuaian bagi mengelakkan keadaan menjadi bertambah buruk.

“Ini kawasan ibadat, takkan kita nak gunakan water cannon, lojik ke? Kalau buat demikian kita akan lebih diserang dan kalau kita ‘serang’ kita akan disalahkan sedangkan bila kita beri bantuan pun disalahkan.

“Kita buat kawalan kita tidak jangka ada kumpulan tertentu yang didalangi pihak tertentu bertindak awal. Kawalan kita berterusan dan kita tidak boleh sekat kalau orang nak lakukan ibadat (di kuil itu),” katanya dalam sidang media di Pusat Perubatan Subang Jaya di sini, hari ini.

Mohamad Fuzi berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pihak tertentu yang mempersoalkan mengapa pihak polis tidak bertindak awal untuk menyuraikan rusuhan termasuk menggunakan kaedah semburan air.

Beliau sebelum itu meluangkan masa menziarahi anggota bomba dari Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Subang Jaya, Muhammad Adib Mohd Kassim yang cedera parah akibat dipukul sekumpulan perusuh.

Mengulas lanjut, Mohamad Fuzi berkata kejadian yang menimpa anggota bomba itu adalah satu perkara yang amat menyedihkan.

“Ini satu perkara yang amat dukacita, bomba hanya membantu padamkan kebakaran atau bantu mangsa yang memerlukan bantuan. Jadi kita rasa amat sedih dengan apa yang berlaku dan saya datang untuk lihat sendiri keadaannya.

“Saya juga telah ziarah anggota saya yang turut cedera (dalam rusuhan) yang mana dia patah tangan. Kita doakan mereka berdua dapat pulih semula dan kembali sihat seperti biasa,” katanya.

Ditanya mengenai dakwaan pihak polis tidak bertindak menghalang kumpulan perusuh yang menyerang anggota bomba berkenaan serta One City Mall, Mohamad Fuzi berkata kumpulan perusuh itu bertindak demikian di kawasan yang tidak dikawal pihak polis.

“Polis tidak berada 100 peratus di tempat itu, bila kita tidak ada di situ baru dia serang. Bila kita berkawal di situ mereka tidak buat, mereka nampak ada ruang untuk bertindak mereka lakukan (serangan) termasuk serang One City Mall.

“Perusuh menyelinap masuk ke kawasan tidak ada polis. One City Mall agak jauh dari kuil kira-kira satu kilometer, bagaimana anda boleh mengharapkan kami untuk kawal (semua kawasan) kecuali jika kami ada maklumat khusus,” katanya.

Ditanya sama ada pihak pengurusan syarikat pemaju One City Development telah membuat laporan polis berhubung insiden tersebut, Mohamad Fuzi berkata setakat ini beliau tidak dapat mengesahkannya kerana belum menerima sebarang maklumat lanjut.

Beliau turut meminta orang ramai membantu pihak polis bagi mengenal pasti dan menangkap pihak yang bertanggungjawab mencetuskan rusuhan tersebut.

“Operasi buru mereka yang bertanggungjawab sedang dilancarkan, harap orang ramai bantu kenal pasti mereka yang bertangungjawab melakukan perbuatan terkutuk itu.

“Mengenai dalang utama, kami ada beberapa petunjuk dan sedang menyiasat dan kumpulan awal (yang lakukan serangan terhadap kuil) dah dikenal pasti tapi kami perlukan maklumat lanjut daripada mereka yang saksikan kejadian itu,” katanya.

Mohamad Fuzi juga sekali lagi mengingatkan semua pihak supaya tidak mendengar khabar angin dan berita palsu yang boleh mengeruhkan keadaan serta memberi jaminan pihaknya akan terus mengambil langkah-langkah yang perlu untuk menjaga ketenteraman awam.

-- BERNAMAv