Isnin, Januari 04, 2016

SIAPA HINA ISLAM, SIS ATAU DR KHAIRUDIN?

Ini yang susahnya apabila orang jahil tentang Islam bercakap tentang Islam. Sudah sampai masanya bagi KDN melalui Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk membatalkan NGO yang menggunakan nama Islam seperti Sister In Islam (SIS) kerana ia jahil tentang tentang Islam.


Nak bercakap tentang Islam, pakai tudung pun tidak sedangkan perempuan Islam diwajibkan menutup aurat. Nampak sangat SIS memperalatkan nama Islam untuk memperjuangkan hak wanita Islam.


SIS mendakwa Ketua penerangan Dewan Ulama PAS Pusat menghina Islam dengan cadangannya yang perkahwinan akan menyelesaikan masalah rogol bawah umur yang tinggi di negara ini.


Organisasi bukan kerajaan yang memperjuangkan hak wanita Islam itu berkata, kenyataan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di laman sosial baru-baru ini sangat mengejutkan dan salah.


“Islam tidak membenarkan perkahwinan bawah umur, terutama sekali kepada pemangsa itu sendiri, misalnya perogol gadis bawah umur itu.

“Selaku ahli Parlimen, sangat mengejutkan yang Khairuddin memperlekehkan keseriusan dan trauma emosi yang dialami mangsa dalam kes rogol bawah umur,” kata SIS merujuk kepada posting di Facebook ahli Parlimen Kuala Nerus itu Rabu lalu.









Khairuddin juga berkata di laman sosial itu, "bernikah adalah ubat paling mujarab disediakan Islam dalam aspek membendung gejala sosial ini.”


“Masyarakat khususnya ibu bapa mesti menggalakkan dan memudahkan urusan perkahwinan anak-anak.


“Manakala kerajaan pula mesti membantu menyediakan insentif tertentu bagi meringankan beban pasangan yang bakal berkahwin,” beliau menulis di Facebook pada 30 Disember.


Ahli Parlimen PAS itu mengulas statistik jenayah seksual dikeluarkan Bukit Aman yang menunjukkan 920 daripada 1,794 kes dilaporkan tahun ini melibatkan kes rogol bawah umur.


Khairuddin juga mendakwa kira-kira 90% kes rogol bawah umur adalah di bawah "kategori suka sama suka" manakala 10% sahaja "kategori paksaan".


SIS menyifatkan kenyataan Khairuddin tidak bertanggungjawab dan mengelirukan.


“Perbuatan rogol tidak boleh jadi suka sama suka walaupun gadis bawah umur terlibat tidak mengatakan ‘tidak’, kerana itulah wujud istilah rogol bawah umur.


"Tiba masanya kita melihat rogol sebagai satu jenayah yang sebenarnya dan pelanggaran hak manusia.


“Rogol ialah perbuataan hina yang berdosa di sisi Islam dan tidak boleh diberikan ganjaran perkahwinan.”


SIS menambah Malaysia, yang menandatangani Konvensyen Menghapuskan semua bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) dan Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC), bertanggungjawab memastikan gadis bawah umur memperolehi peluang pendidikan tinggi dan mencapai potensi diri mereka, bukannya membenarkan perkahwinan kanak-kanak sebagai penyelesaian kepada masalah rogol bawah umur.


Selain mencadangkan pernikahan sebagai ubat paling mujarab, Khairuddin dalam postingnya turut mencadangkan definisi rogol, kaedah pendakwaan dan perbicaraan serta hukuman ke atas pesalah dan hak mangsa yang digunapakai ketika ini disemak semula dan diselarikan dengan undang-undang jenayah syariah.


Sebenarnya siapa yang hina Islam? Dr Khairuddin ke atau SIS yang hina Islam. SIS yang jahil sejarah Islam. Berapa umur Siti Aishah kahwin dengan Nabi Muhammad s.a.w? Bukankah 10 tahun? Umur 10 tahun itu bawah umur ke atau atas umur?


Oleh itu sebelum menuduh Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS itu menghina Islam, SIS hendaklah mengkaji sejarah perkahwinan dalam Islam itu sendiri.


Malah pada tahun 50an, 60an, nenek kita umur 15 tahun sudah kahwin. Tetapi bila zaman berubah akibat pendidikan maka umur lelaki dan perempuan kahwin semakin meningkat.


Apa yang dimaksudkan oleh Dr Khairudin ialah bagi pasangan bawah umur yang suka sama suka supaya kahwin kerana mereka tidak minat belajar lagi. Bukannya orang yang dirogol mengahwini lelaki yang merogolnya. Istilah rogol berkanun digunakan untuk pasangan bawah umur berzina walaupun mereka rela hati bersetubuh.


Justru itu pandangan Dr Khairuddin supaya mereka berkahwin adalah pandangan yang baik jika mereka tidak minat belajar lagi.Oleh itu pandangan beliau bukannya menghina Islam.