Rabu, September 04, 2013
KADIR JASIN ULAS KENAIKAN MINYAK
SAYA akui bahawa sesetengah bentuk subsidi tidak lestari (unsustainable), tidak adil pembahagiannya dan wajar dirasionalisasikan.
Tetapi mengurangkan kadar subsidi dengan mendadak bukan saja membebankan pengguna dengan serta merta tetapi boleh juga menyebabkan kenaikan kadar inflasi dalam jangka masa sederhana dan panjang.
Adalah sukar meyakini dakwaan rasmi bahawa harga bahan makanan akan naik 0.1% sahaja akibat pemotongan subsidi terbaru sedangkan jumlah yang akan diselamatkan bernilai RM1.1 bilion. Apa halnya dengan kos pengangkutan, pengilangan dan penjanaan elektrik?
Kalau tujuan Mohd Najib adalah meyakinkan badan-badan penarafan antarabangsa agar tidak menurunkan “rating” Malaysia, penjimatan RM1.1 bilion itu tidak memadai kalau tidak disusuli oleh pakej ekonomi, fiskal dan mata wang yang lebih mantap, mampan dan disertai oleh pembahagian yang lebih sama rata.
POSTING ASAL
MULAI tengah malam tadi, harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter berikutan pelaksanaan seterusnya dasar rasionalisasi subsidi.
Kalau masih ada yang belum lupa, harga semua bahan petroleum naik dengan banyak pada bulan Februari 2006 apabila bekas pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan dasar itu.
Kalau ada pembaca yang berminat, bolehlah baca disini. Saya tidak mahu mengulang ulas sebab kesannya lebih kurang sama sahaja.
Inilah demokrasi berpilihan raya. Sebelum dan ketika pilihan raya, semua pihak yang berebut kuasa akan menjanjikan yang terbaik – janji ditepati.
Kita pun janganlah terperanjat sangat kalau beban kewangan yang terpaksa kita tanggung tidak berhenti di sini. Tunggulah Belanjawan 2014 tidak berapa lama lagi.
Pengurangan subsidi menyebabkan harga minyak naik dan beban pengguna meningkat. Menteri Kewangan kata, kenaikan terbaru ini akan menjimatkan kira-kira RM1.1 bilion.
Di mana penjimatan itu akan dibelanjakan kita kena tahu. Harap-harap janganlah tumpu kepada bandar saja. Ingatlah siapa yang menyelamatkan BN pada 5 Mei lalu!
Dilihat dari luar, nampak kerajaan boros. Belanja lawatan ke luar negara Perdana Menteri saja RM44.07 juta sejak Mohd Najib jadi PM lima tahun lalu. Belanja baik pulih dan ubah suai kediaman rasmi pula berapa?
Janganlah jadi cerita: Raja dalam dapur makan roti gula. Suri dalam rumah buat kira-kira. Rakyat luar pagar hidup menderita.
Langgan:
Catatan (Atom)