Selasa, Mei 29, 2018

KHAIRUDDIN DAKWA PAS SENTIASA BERDOLAK DALIK



KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mengajak rakyat melihat pada wadah perjuangan PAS yang senantiasa cuba ambil kesempatan dari titik peluh Pakatan Harapan.

Katanya,mereka senantiasa memikir cara untuk ambil kesempatan dari daya usaha orang lain saja.

"Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah selaku Naib Presiden PAS mengakui mereka pun tidak mampu untuk nak selesaikan hutang negara yang amat membebankan yang ditinggalkan oleh kerajaan kleptokrasi yang pernah dipimpin oleh perdana menteri paling korup iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya dalam posting terbaharu Facebooknya.

Katanya lagi, secara tidak langsung, kenyataan Nik Mohd Amar turut mengakui bahawa parti PAS tiada wawasan dan mereka tidak mempunyai kebolehan untuk hendak selesaikan permasalahan negara sepertimana pada hari ini.

"PAS mahukan kerajaan Pakatan Harapan selesaikan semua hutang-hutang negara yang terlalu besar yang tidak mampu untuk diurus oleh parti mereka terlebih dahulu; selepas itu baru sanggup rampas putrajaya," tambahnya lagi.

Katanya lagi, kenyataan Nik Mohd Amar ini bernada cukup 'bacul' yang melambangkan jatidiri hipokrasi pemimpin-pemimpin PAS.

"Setelah selesai semua permasalahan hutang-hutang negara barulah mereka berhajat hendak tawan putrajaya," jelasnya.

Beliau mendakwa Naib presiden PAS itu sedang memberitahu 32 juta rakyat Malaysia bahawa mereka tidak mempunyai kebolehan untuk memimpin negara di saat yang paling mencabar sepertimana pada hari ini

Beliau yang juga bekas calon PKR bagi parlimen Jasin berkata kerajaan Pakatan Harapan secara jujur dan ikhlas sanggup berjuang untuk ambil alih tampuk pemerintahan negara di saat Malaysia berada di ambang kehancuran dan selesaikan semua permasalahan melalui kepimpinan unggul pemimpin-pemimpin yang berkualiti demi kesejahteraan masa depan anak cucu kita.


"Kerajaan Pakatan Harapan amat tulen. Bukan hanya pandai beretorik macam pemimpin-pemimpin PAS," tegasnya.

Tambahnya, inilah bedanya perjuangan hipokrit PAS dengan Pakatan Harapan

"Saya amat yakin Tuhan pun tidak akan berkati 'angan-angan mat jenin' parti PAS yang senantiasa cuba menunggang di atas kebolehan orang lain," ujarnya.

Beliau mendakwa PAS terlalu kuat berangan-angan. Sebab itu pada pru14 yang lalu mereka tersalah pilih kuda. Tokoh-tokoh pemimpin PAS yang tidak berwawasan ini telah pilih 'kuda lumba' yang tempang

Katanya lagi, sebelum ini pemimpin-pemimpin PAS kata keadaan ekonomi serta pentadbiran negara di bawah kepimpinan Najib tidak ada masalah.

"Sebab itu PAS sanggup bersekongkol denganUumno dan BN yang pada hakikatnya sudah pun dikategorikan sebagai 'kuda lumba tempang," ujarnya.

Khairuddin menambah dulu PAS puji Perdana Menteri paling korup Najib tetapi kini PAS mengakui pula hutang negara terlalu besar khususnya hutang syarikat 1MDB yang mana mereka pun tak mampu untuk selesaikannya.

Tegasnya lagi, Arul Kanda selaku Ketua Eksekutif syarikat 1MDB pun mampu memperbodohkan Presiden PAS dengan pemimpin-pemimpin kanan yang lain

Secara sinis beliau berkata mengapa tidak lantik Arul Kanda saja jadi Presiden PAS kerana dia ini 'kaki putar alam' yang mampu memperbodohkan PAS

"Bagi saya Arul Kanda layak jadi presiden PAS," katanya lagi.

Katanya, inilah sebabnya kita tidak boleh percaya pada parti PAS yang senantiasa berdolak-dalik. Mereka ini semua orang politik yang senantiasa bersandiwara.

"Perjuangan PAS kini sudah tersimpang jauh dari wadah perjuangannya yang asal," tegasnya lagi.