Khamis, Mei 04, 2017

SESUDAH LAPAN BULAN TERBUKTI DZULKIFLI LEBIH HEBAT DARIPADA ABU KASSIM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad berpuas hati dengan hasil operasi SPRM sepanjang lapan bulan beliau menerajui SPRM dan kini ingin memperkenalkan inisiatif baharu.

Antara langkah itu ialah menubuhkan kumpulan yang terdiri daripada pihak-pihak
yang berkepentingan dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata demikian pada pertemuan pertama "Anti-Corruption Media Caucus" (ACMC) yang ditubuhkan untuk mempertingkatkan kerjasama antara pihak media dan SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Pasukan itu terdiri daripada para editor kanan media cetak dan media elektronik dan para pegawai kanan SPRM.

Selain mengambil pihak media sebagai rakan strategik, sebuah lagi kumpulan serupa telah ditubuhkan oleh SPRM dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa berkaitan alam sekitar seperti pembalakan dan pengeluaran hasil bumi secara haram.

Kumpulan itu antara lain dianggotai badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini serIng menyuarakan isu-isu kemusnahan alam sekitar yang dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Dzulkifli berkata inisiatif lain yang akan dilaksanakan oleh SPRM ialah melancarkan kempen "Gerakan Revolusi Anti Rasuah" (Gerah) yang merupakan revolusi sosial yang cuba dicetuskan dalam kalangan rakyat untuk membenci rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata rasuah berlaku dalam semua peringkat dan melangkaui batas kaum dan parti politiik.

Ketua Pesuruhjaya itu yang sebelum ini berjanji untuk menghapuskan rasuah dalam tempoh tiga tahun sehingga tahun 2020, yakin matlamat itu akan dapati dicapai dengan kerjasama semua pihak.

"Saya mahu masyarakat bangkit menentang rasuah dan salah laku," kata beliau .

Dzulkifli dilantik ke jawatan itu menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed pada 1 Ogos 2016.

Katanya SPRM juga akan melancarkan inisiatif Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar).

-- BERNAMA

SATU PERMULAAN KEPADA POLITIK MATANG

MARANG, 4 Mei (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kehadiran beliau pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Anggota Parlimen Marang turut berterima kasih kepada Ahmad Shabery atas undangan untuk menghadiri program tersebut.

"Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

"Kerjasama hari ini (PAS dan UMNO) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas yang telah dileraikan di perairan Pulau Kapas, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kerjasama UMNO dan PAS itu akan menimbulkan persepsi negatif dan perasaan kurang senang pihak-pihak tertentu, Abdul Hadi berkata ia akan difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.

"Insya Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.

"Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ni warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik 'hand brake' dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata beliau telah memaklumkan kerjasama Abdul Hadi dalam program itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana menteri bukan sahaja merestui, malah beliau awal-awal lagi telah mendoakan agar program ini berjalan dengan lancar dan mengirimkan salam kepada tuan guru (Abdul Hadi).

"Insya-Allah akan ada lagi program bersama melibatkan pemimpin UMNO dan PAS demi kepentingan rakyat pada masa akan datang� saya akan maklumkan," katanya.

Ahmad Shabery dalam ucapannya berkata walaupun berbeza pendapat, pemimpin atasan UMNO dan PAS tetap akan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

"Kita boleh lihat sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di atas pentas sama bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas isu Rohingya.

"Tetapi yang sukar ialah untuk merapatkan hati-hati dalam kalangan kita rakyat di peringkat bawah. Namun, hari ini telahpun menjadi kenyataan," katanya.

Terdahulu Ahmad Shabery yang tiba di Marang Waterfront untuk majlis perasmian program itu turut bersarapan pagi bersama-sama Abdul Hadi dan warga nelayan sebelum menaiki bot ke Pulau Kapas untuk menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan itu.

-- BERNAMA

UMNO SABAH LEBIH BERSATU SEKARANG

KUALA LUMPUR, 3 Mei (Bernama) -- UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Sabah tidak pernah berada dalam kedudukan lebih bersatu seperti sekarang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata menyedari bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjadi sasaran komplot, UMNO BN Sabah telah mengukuhkan perpaduan dan berdiri teguh di belakang Ketua Menteri Musa Aman.

"Pihak pembangkang hanya angan-angan jika mereka fikir berlaku perebutan kuasa di Sabah, yang akan mengakibatkan pertukaran kerajaan negeri.

"Sabah telah membuktikan kesetiaan kepada parti dan kepimpinan parti dan akan terus berbuat demikian," kata Salleh menerusi catatan dalam blog terbaharu beliau, malam ini.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah berkata dakwaan mengenai perpecahan dalam UMNO atau BN Sabah telah berlarutan selama lebih sepuluh tahun dan terus timbul dari semasa ke semasa.

Beliau berkata sebenarnya dakwaan bahawa Sabah sepatutnya menjadi tulang belakang "16 September" apabila 10 daripada 30 anggota parlimen sepatutnhya menyeberang ke parti pembangkang dikatakan dari Sabah, hanya dakwaan semata-mata.

"Akhirnya, tiada apa yang berlaku pada setiap masa. Tetapi itu tidak menghalang pihak pembangkang daripada membangkitkan semula dan mengkitar semula cerita itu. Dan mereka melakukannya setiap kali mereka menghadapi masalah dan perlu untuk mengalihkan perhatian rakyat kepada kedudukan pembangkang yang berada dalam keadaan kucar-kacir," kata Salleh.