Khamis, Mei 04, 2017

SATU PERMULAAN KEPADA POLITIK MATANG

MARANG, 4 Mei (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengakui kehadiran beliau pada majlis pelancaran program tukun tiruan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek hari ini adalah permulaan kepada politik matang antara parti itu dan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Anggota Parlimen Marang turut berterima kasih kepada Ahmad Shabery atas undangan untuk menghadiri program tersebut.

"Terima kasih kerana beri peluang untuk saya sama-sama menyertai program ini yang sangat bermakna untuk semua, untuk orang politik, dapat kembali semula kepada politik matang.

"Kerjasama hari ini (PAS dan UMNO) adalah politik matang, politik yang tidak berkelahi, politik kepentingan bersama. Politik boleh berbeza pendapat tapi untuk apa sahaja isu kepentingan rakyat, kita mesti bersama," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan iaitu kerangka pelantar minyak milik Petronas yang telah dileraikan di perairan Pulau Kapas, di sini, hari ini.

Ditanya sama ada kerjasama UMNO dan PAS itu akan menimbulkan persepsi negatif dan perasaan kurang senang pihak-pihak tertentu, Abdul Hadi berkata ia akan difahami oleh mereka terutama rakyat di peringkat akar umbi.

"Insya Allah rakyat akan faham bila rakyat menyedari yang kepentingan dan hak mereka dijaga dengan baik. Rakyat boleh berfikir dengan matang di dalam perkara ini kerana pelaksanaan secara praktikal itu lebih penting berbanding teori.

"Apa yang berlaku, kita kena ingat negara kita ni warisan penjajah yang banyak benda negatif perlu dihapuskan, perkara yang boleh menimbulkan ketegangan kita kena hentikan, tarik 'hand brake' dan menyelamatkan negara dan rakyat. Itu lebih penting, mengatasi segala-galanya," katanya.

Sementara itu, Ahmad Shabery berkata beliau telah memaklumkan kerjasama Abdul Hadi dalam program itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perdana menteri bukan sahaja merestui, malah beliau awal-awal lagi telah mendoakan agar program ini berjalan dengan lancar dan mengirimkan salam kepada tuan guru (Abdul Hadi).

"Insya-Allah akan ada lagi program bersama melibatkan pemimpin UMNO dan PAS demi kepentingan rakyat pada masa akan datang� saya akan maklumkan," katanya.

Ahmad Shabery dalam ucapannya berkata walaupun berbeza pendapat, pemimpin atasan UMNO dan PAS tetap akan mengutamakan kepentingan rakyat dan negara mengatasi segala-galanya.

"Kita boleh lihat sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berada di atas pentas sama bersama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas isu Rohingya.

"Tetapi yang sukar ialah untuk merapatkan hati-hati dalam kalangan kita rakyat di peringkat bawah. Namun, hari ini telahpun menjadi kenyataan," katanya.

Terdahulu Ahmad Shabery yang tiba di Marang Waterfront untuk majlis perasmian program itu turut bersarapan pagi bersama-sama Abdul Hadi dan warga nelayan sebelum menaiki bot ke Pulau Kapas untuk menyaksikan proses melabuhkan tukun tiruan itu.

-- BERNAMA