Khamis, Mei 04, 2017

SESUDAH LAPAN BULAN TERBUKTI DZULKIFLI LEBIH HEBAT DARIPADA ABU KASSIM

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad berpuas hati dengan hasil operasi SPRM sepanjang lapan bulan beliau menerajui SPRM dan kini ingin memperkenalkan inisiatif baharu.

Antara langkah itu ialah menubuhkan kumpulan yang terdiri daripada pihak-pihak
yang berkepentingan dalam usaha membanteras rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata demikian pada pertemuan pertama "Anti-Corruption Media Caucus" (ACMC) yang ditubuhkan untuk mempertingkatkan kerjasama antara pihak media dan SPRM dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Pasukan itu terdiri daripada para editor kanan media cetak dan media elektronik dan para pegawai kanan SPRM.

Selain mengambil pihak media sebagai rakan strategik, sebuah lagi kumpulan serupa telah ditubuhkan oleh SPRM dalam membanteras rasuah dan salah guna kuasa berkaitan alam sekitar seperti pembalakan dan pengeluaran hasil bumi secara haram.

Kumpulan itu antara lain dianggotai badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang selama ini serIng menyuarakan isu-isu kemusnahan alam sekitar yang dikaitkan dengan rasuah dan salah guna kuasa.

Dzulkifli berkata inisiatif lain yang akan dilaksanakan oleh SPRM ialah melancarkan kempen "Gerakan Revolusi Anti Rasuah" (Gerah) yang merupakan revolusi sosial yang cuba dicetuskan dalam kalangan rakyat untuk membenci rasuah dan salah guna kuasa.

Beliau berkata rasuah berlaku dalam semua peringkat dan melangkaui batas kaum dan parti politiik.

Ketua Pesuruhjaya itu yang sebelum ini berjanji untuk menghapuskan rasuah dalam tempoh tiga tahun sehingga tahun 2020, yakin matlamat itu akan dapati dicapai dengan kerjasama semua pihak.

"Saya mahu masyarakat bangkit menentang rasuah dan salah laku," kata beliau .

Dzulkifli dilantik ke jawatan itu menggantikan Tan Sri Dr Abu Kassim Mohamed pada 1 Ogos 2016.

Katanya SPRM juga akan melancarkan inisiatif Kembara Jelajah Anti Rasuah (Kejar).

-- BERNAMA