Sabtu, Mei 06, 2017

RAHMAN DAHLAN KE SEPANGGAR?

KOTA BELUD, 5 Mei (Bernama) -- Sesiapapun boleh menawarkan diri sebagai calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kota Belud pada pilihan raya umum akan datang, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata namun amalan UMNO dan Barisan Nasional (BN) adalah menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk memutuskan pemilihan calon yang memenuhi kriteria ditetapkan.

"Tradisi UMNO dan Barisan Nasional ini, kita serahkan kepada kebijaksanaan perdana menteri (selaku presiden UMNO dan pengerusi BN) dan ketua menteri Sabah sebagai pengerusi badan perhubungan UMNO negeri untuk menentukan siapa calon," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan sumbangan van dan wang tunai untuk masjid di Kota Belud di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang secara terbuka menyatakan kesediaan kembali aktif dalam politik dan turut menyatakan minatnya untuk bertanding kerusi DUN dan Parlimen di Kota Belud.

"Bagi saya, saya berpandangan terbuka. Semua boleh menyatakan (hasrat mereka jadi calon) ... oleh sebab Tan Sri (Pandikar) sudah menyatakan demikian, kita serahkan kepada perdana menteri dan ketua menteri Sabah untuk menentukannya," katanya.

Ulasan saya, Rahman adalah timbalan ketua Umno bahagian Tuaran yang diberi laluan oleh Datuk Aliasgar Basri. Jika Aliasgar lawan Rahman, Rahman kalah tetapi oleh kerana Rahman adalah seorang menteri maka Aliasgar beri laluan kepada beliau untuk menjadi orang nombor dua Datuk Hajiji.

Oleh kerana kerusi parlimen Tuaran adalah bukan kerusi Umno, maka Rahman bertanding di Kota Belud menggantikan Datuk Seri Salleh Said Keruak di zaman Pak Lah. Sebagai setiausaha pemuda Umno di Zaman Khairy Jamaluddin (KJ) maka KJ cantas Salleh untuk beri peluang kepada Rahman bertanding di Kota Belud pada tahun 2008.

Salleh dilantik Senator pada tahun 2015 dan Menteri Komunikasi dan Multi Media. Rakyat Kota Belud bertuah kerana ada dua orang menteri, Rahman dan Salleh. Apabila Salleh dilantik menteri maka pada PRU akan datang Salleh akan bertanding kerusi parlimen Kota Belud. 

Apatah lagi beliau kini adalah Bendahari Umno Malaysia dan jika orang Sabah diperlukan untuk mengisikan kuota Naib Presiden Umno yang ditinggalkan Datuk Seri Shafie Apdal, maka Sallehlah yang layak menggantikan Shafie dan bukannya Rahman.

 Jika Rahman bertanding peluang KJ untuk menang naib presiden Umno akan tipis kerana undi pemuda berpecah dua kepada KJ dan Rahman. Maka Rahman tak jadi tanding naib presiden Umno. Jadi Salleh akan jadi calon tunggal dari Sabah untuk bertanding naib presiden Umno.

Maka Rahman terpaksa berpindah ke parlimen Sepanggar menggantikan Datuk Jumat Idris yang digantung keahlian Umno.Jadi jika Pandikar Amin mahu aktif politik, beliau mungkin bertanding di DUN Tempasuk dan keputusannya untuk bertanding kerusi DUN akan mencetuskan spekulasi sebagai pengganti Datuk Seri Musa Aman.