BERA, 19 Jun (Bernama) -- Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kawasan Parlimen Sungai Besar dan Parlimen Kuala Kangsar jelas menunjukkan keyakinan rakyat terhadap parti itu kian meningkat dan dalam masa yang sama menggambarkan referendum rakyat yang menolak pakatan pembangkang.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kemenangan itu juga jelas membayangkan rakyat menolak politik kebencian, fitnah dan pembohongan yang selama ini dibawa pembangkang.
"Pembangkang sebelum ini mengatakan PRK Kuala Kangsar dan PRK Sungai Besar akan menjadi referendum rakyat kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, iaitu jika rakyat menolak calon BN bermakna rakyat menolak kepimpinan beliau.
"Mereka menganggap ini menjadi referendum rakyat kepada Datuk Seri Najib tetapi sebenarnya ia menjadi referendum kepada kepimpinan pembangkang. Kalau BN kalah mereka suruh Najib berhenti, kenapa pula kalau pembangkang kalah pemimpin mereka tidak berhenti?.
"Jadi saya berharap mereka juga kena berani (buat apa yang dikata)," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyampaian sumbangan kepada golongan memerlukan di Masjid Batu Kampung Papan di sini, Ahad.
Dalam keputusan PRK Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar semalam, BN bukan sekadar berjaya mempertahankan kerusi di dua parlimen berkenaan, tetapi turut melakar kejutan dengan peroleh majoriti lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-13.
Calon BN Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi memperoleh 16,800 undi dengan majoriti 9,191 undi manakala calon BN Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid mendapat 12,653 undi dengan majoriti 6,969 undi.
Ismail Sabri berkata, kemenangan tersebut turut menunjukkan rakyat menyokong Najib serta dasar yang telah kerajaan laksanakan menerusi pelbagai pendekatan bagi membantu rakyat.
Jelasnya rakyat juga tidak lagi mahu mendengar segala fitnah yan ditaburkan pembangkang, sebaliknya lebih suka kepada perancangan dibuat kerajaan untuk memberi bantuan dan pembangunan kepada mereka.
"Rakyat masih percaya dan memberikan keyakinan terhadap BN dan semua dasar-dasar yang diperkenalkan oleh Najib yang selama ini banyak memberikan tumpuan kepada pembangunan masyarakat luar bandar,"katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ismail Sabri yang juga Anggota Parlimen Bera menegaskan, segala janji yang dibuat semua pemimpin BN dalam PRK berkenaan akan ditepati dan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Kerajaan, katanya akan memberikan tumpuan bagi melaksanakan segera segala perancangan seperti mana janji dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak yang telah mula dilaksanakan pada masa ini.
-- BERNAMA